Fazley dan isterinya Azrene Soraya Abdul Aziz
MUNCUL sebagai Juara MasterChef Selebriti Malaysia 2012, Fazley mengakui teruja dengan bidang baharu yang telah diceburinya itu sejak empat tahun lalu.
Rasa terujanya itu dapat dilihat apabila pelantun lagu Cerita Asmara ini mengambil kesempatan dengan mengadakan demonstrasi masakan membuat biskut, kek dan pastri kepada media di restoran miliknya, SukaSucre Bistro pada Ramadan lalu.
"Hari ini, saya berkongsi ilmu dengan mengajar beberapa cara masakan kepada rakan-rakan media agar dapat sama-sama berkongsi pengalaman dan memori istimewa.
"Harapan saya agar rakan media dapat menyelami sendiri dunia baharu saya sebagai chef. Saya ini seorang yang percaya kepada pengalaman dan kenangan sebab itu saya mahu anda semua merasainya," katanya.
Menurutnya, kepakaran memasak juga menjadi salah satu faktor utamanya ketika memikat hati isteri tercintanya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz yang dikahwininya sejak November 2006.
"Itu sudah tentu (senyum). Ketika kami bercinta, masakan pertama saya adalah stik istimewa dihidangkan dengan sos rahsia ciptaan saya sendiri.
"Saya berpegang teguh pada kata-kata nenek, jika mahu ‘membeli’ hati orang, maka ‘belilah’ dengan perutnya. Tak kiralah, ia perempuan mahupun lelaki.
"Seorang wanita, jika tak pandai memasak, tak mengapa kerana ia boleh dipelajari. Bahkan, saya percaya, kemahiran memasak yang ada pada setiap wanita adalah bonus," katanya yang turut dipilih mempromosi jenama Panasonic, King’s Ice Cream dan susu Ideal.
Tidak ketinggalan, tiga anaknya, Ahmad Fardiz Shah, Ahmad Fieradz Shah dan Ahmad Firudz Shah turut menunjukkan minat dalam bidang masakan.
"Alhamdulillah, anak-anak saya juga menunjukkan minat dalam bidang ini. Apa saja yang diterapkan oleh bapa, Datuk Yaakob Mohammad, saya akan ‘turunkan’ pada mereka.
"Setakat ini, anak-anak saya sudah boleh buat kerja-kerja asas membuat kek dan pastri.
"Biarpun saya jumpa individu yang berlainan dalam setiap setiap bidang ini, namun apa yang saya pelajari, semua manusia perlukan perhatian," katanya yang bakal melancarkan buku masakannya bersama MPH sempena Festival Halal Sedunia di tiga negara terpilih iaitu
Singapura, Malaysia dan Paris sekitar Ogos depan.
Elak gula
Dalam pada itu, sebagai pakar masakan, Fazley mempunyai kaedah tersendiri demi menjaga tahap kesihatan dan kecergasannya agar sentiasa tampil sihat dan bertenaga.
Siapa sangka, artis berusia 38 tahun ini amalkan diet yang memerlukannya untuk mengelakkan pengambilan gula, sejak tiga tahun lalu.
Kesannya, dia kini tampil dengan bentuk badan ideal, selain dilihat lebih awet muda berbanding sebelum ini.
"Memang agak kelakar. Saya sendiri memasak dan mengajar orang memasak. Tapi, saya sendiri tak ambil gula. Biasanya, jika saya perlu merasai sesuatu makanan dimasak, saya hanya akan merasanya di hujung lidah.
"Saya hanya makan makanan berasaskan protein. Kalau terasa nak minum air manis, saya ambil jus semula jadi atau letak air bersama strawberi atau tembikai.
"Dua buah berkenaan makanlah banyak mana pun, berat tak akan naik. Tapi berbeza dengan buah mangga yang kandungan gulanya sangat tinggi.
"Lemak yang terkandung akan disimpan di bahagian perut dan punggung, jadi elaklah makan buah mangga," katanya.
Kata Fazley, sebelum ini, berat badannya pernah menjangkau sehingga 90 kilogram (kg) selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
"Tapi, selepas saya amalkan cara ini, saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 20 kg dalam sebulan.
"Bahkan, perubahan juga dapat dirasai apabila kulit pada seluruh badan saya lebih sihat dan tidak kusam," katanya.
Biarpun sangat berjaga-jaga dalam diet pemakanannya, Fazley bagaimanapun tidak pernah menyekat sebarang makanan yang diinginkan oleh tiga anaknya.
"Sebagai kanak-kanak, mereka perlukan gula untuk membesar, jadi saya tidak menyekat sebarang makanan yang diinginkan.
"Tetapi saya akan memastikan mereka mendapat makanan yang sihat dan bernutrisi. Harusnya, makanan itu perlulah dimasak sendiri oleh isteri saya," katanya.
Tolak berlakon
Beralih kepada soal karier seninya, Fazley ternyata ada kisahnya tersendiri.
Meskipun bergerak aktif dalam bidang pengacaraan dan nyanyian, pelakon Janji Diana ini terpaksa katakan tidak kepada bidang lakonan walaupun masih lagi menerima tawaran sehingga ke hari ini.
"Berlakon terlampau ‘mencuri’ masa saya. Oleh sebab itu, saya terpaksa menolaknya. Tapi, jika sekadar melakukan cameo, saya masih boleh mempertimbangkannya.
"Dalam bidang pengacaraan pula, saya ada menerima beberapa tawaran daripada saluran TV di Singapura tapi ia masih lagi dalam perbincangan," kata hos Juara Joran ini.
Malah, sempena Syawal ini, Fazley baru saja melancarkan album kompilasi rayanya, Ku Mohon Maaf Sayang yang memuatkan lima lagu termasuk lagu lama Dendang Perantau, Seribu Kemaafan, Dendang Anak Merantau, Pesan Raya (duet dengan kumpulan Classmates) dan
Ku Mohon Maaf Sayang.
"Album ini sebagai isyarat saya masih menyanyi walaupun dilihat lebih banyak dalam dunia masakan,” katanya.
Sempat melahirkan rasa syukur, Fazley mengakui terkejut dengan sambutan hangat terhadap lagu raya terbaharunya, Ku Mohon Maaf Sayang.
Katanya, dia sedar lagu raya baharu agak sukar untuk mendapat tempat di hati peminat.
"Saya tak sangka ia mendapat respons yang baik. Betul kata bapa saya, lagu raya sepatutnya berunsur keinsafan dan kemaafan yang mana muziknya perlu tradisional, baharulah orang terima.
"Saya akan jadikannya sebagai batu loncatan untuk terus menghasilkan album dan lagu raya pada masa akan datang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fazley juga bakal melancarkan album terbaharunya selepas Aidilfitri kelak.
0 Comment to "Fazley Yaakob teruja jadi chef"
Post a Comment