NAMPAKNYA rezeki pelakon yang juga usahawan berjaya dalam perniagaan Hot Burger dan serunding, Fizo Omar semakin melimpah apabila dia mula meluaskan kemahirannya dalam bidang perundingan pula.
Buktinya, kebelakangan ini, dia sering diundang menjadi penceramah untuk seminar perniagaan.
“Jemputan setakat ini Alhamdulillah, kerana di samping berniaga, saya juga dapat berkongsi ilmu dalam perniagaan.
“Ia juga menjadikan satu kerjaya baru kepada saya,” katanya ketika ditemui Zass, baru-baru ini.
Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar juga menanam impian untuk mencapai matlamat hidupnya iaitu berjaya dalam perniagaan, justeru kini lebih fokus dalam bidang tersebut.
Sementelah itu, sejak dua tahun kebelakangan ini, kelibatnya dalam drama atau filem semakin tidak kelihatan.
Perkara itu diakui sendiri Fizo yang kini terpaksa mengorbankan lakonannya demi berjaya dalam perniagaan.
“Dalam bidang lakonan, buat sementara waktu saya perlahankan aktiviti itu.
“Namun tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon kerana saya cintakan dunia ini,” katanya.
Tambah pelakon kelahiran Kelantan ini, apabila perniagaannya mula menampakkan kejayaan memasuki tahun ketiga ini, komitmen untuk menambah ilmu di dada juga akan dilakukannya.
“Oleh itu, September ini, saya akan sambung pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Utara Malaysia kampus di Kuala Lumpur dalam jurusan Perniagaan dan Pentadbiran.
“Selepas itu saya terus sambung Doktor Falsafah (PhD). Pada saya ilmu juga tidak perlu dipengaruhi sesiapa, jika diri sendiri nak cari ilmu, maka dapatlah,” katanya.
0 Comment to "Fizo Omar kini jadi perunding"
Post a Comment