SHEERA ISKANDAR akan bernikah dengan Doul pada bila-bila masa, bulan ini.
Perihal jodoh dan takdir adalah sesuatu yang bukan dalam kawalan kita sebagai manusia malah hadirnya juga kadangkala tidak disangka.
Bagi pelakon Sheera Iskandar, 30, titipan doa untuk bertemu jodoh akhirnya dibalas dengan hadiah paling berharga apabila dia bakal memegang status isteri sekitar bulan ini.
Kosmo! menghubungi pemilik nama sebenar Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, yang juga merupakan anak kepada aktres terkenal Aznah Hamid itu untuk berbicara lanjut tentang hari bahagianya.
Terdahulu, Sheera pernah bertunang dengan jejaka bernama Fendy sewaktu berusia 18 tahun sebelum putus pada tahun 2007, pada usianya 21 tahun.
Artis Meletop!: Apa khabar Sheera sekarang? Tahniah kerana bakal bernikah tidak lama lagi. Boleh ceritakan sedikit detik-detik perkenalan antara anda dan bakal suami?
SHEERA: Alhamdulillah, khabar baik. Terima kasih atas ucapan tahniah itu. Sebenarnya saya juga masih dalam fasa tidak percaya kerana akhirnya penantian jodoh saya, Insya-Allah akan berakhir tidak lama lagi. Bakal suami saya ialah seorang cef bernama Doul Harun dan berusia 31 tahun. Saya mengenalinya sejak lima tahun lalu dan sebelum ini kami sekadar berkawan seperti biasa. Dia pernah menyatakan perasaan suka pada saya namun waktu itu, masih belum bersedia membuka pintu hati untuk cinta sesiapa. Tetapi kuasa tuhan, cuba lari sejauh mana pun, sudah tertulis dialah jodoh saya.
Bagaimanakah bibit-bibit cinta antara anda berdua bermula?
Sejujurnya, sangat baru kerana ketika adik saya, Sabreena melangsungkan pertunangan pada bulan Mei lalu, saya masih solo. Cuma diakui, sejak dari itu memang saya sering berdoa agar jodoh saya dipercepatkan tambahan adik juga tidak mahu langkah bendul. Sebulan selepas itu, Doul menyatakan hasrat meminang dan terus hantar rombongan ke rumah.
Adakah keputusan untuk terus bernikah ini datang daripada pihak keluarga ataupun anda berdua?
Ia sebenarnya datang secara kebetulan selepas keluarga bakal suami datang merisik sekitar Jun lalu. Saya dan Doul sedang dalam persiapan untuk melangsungkan majlis pertunangan. Rupa-rupanya majlis tunang juga menelan belanja yang besar jadi secara tidak sengaja saya berkata majlis tunang pun dah banyak keluar duit, baik nikah terus. Doul pula terus bersetuju dan apabila dibincangkan dengan ahli keluarga, majlis pertunangan pada Ogos ditukar menjadi pernikahan. Majlis resepsi pula hanya akan diadakan tahun hadapan kerana November ini adik akan selesaikan hal perkahwinan dia dahulu baru tumpukan pada majlis saya pula.
Menurut laporan di internet, kali terakhir anda berjumpa Doul adalah empat tahun lalu? Adakah ia benar?
Tidaklah, sebelum ini kami ada berjumpa dan keluar tetapi sebagai rakan. Mana mungkin empat tahun tidak jumpa terus ajak nikah (tertawa).
Apakah yang membuat anda yakin menerima Doul sebagai bakal suami memandangkan anda sendiri pernah mengalami sejarah hitam dalam percintaan dan pertunangan?
Salah satu sebabnya ialah apabila dia berjumpa Mama (Aznah Hamid), mama sukakannya dan merestui niat murni itu. Mama bukan seorang yang cepat suka pada seseorang jadi apabila saya bersama Doul, Mama tiada halangan apa-apa. Selain itu, saya boleh nampak kesungguhannya memenangi hati saya dan keluarga serta menerima kurang lebih diri ini.
Apakah perkembangan terkini anda?
Sekarang saya sibuk mempromosi produk Dara Anggun. Aktiviti lakonan pula masih seperti biasa cuma sejak bertudung ini, memang saya selektif terhadap tawaran yang diberikan.
0 Comment to "Bakal nikah, Sheera Iskandar syukur doa makbul"
Post a Comment