Eja selepas berhijrah.
WAJAHNYA jarang dilihat di layar perak, namun tidak di kaca televisyen. Berjaya membintangi puluhan drama dan telefilem, sehingga kini Eja atau nama sebenarnya, Siti Shahrizah Saifuddin, 43, masih berbisa dalam lakonannya.
Buktinya, dia tercalon sebagai Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM27) menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia. Pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Janin untuk FFM24, Eja tidak meletakkan harapan tinggi bagi pencalonan tersebut.
"Saya boleh dikategorikan orang drama, bukan orang filem. Memang dari dulu saya jarang berlakon filem. Tetapi kalau saya bersetuju untuk berlakon filem, maknanya filem itu punya impak yang kuat meskipun watak yang ditawarkan sekadar flashback.
"Walaupun babak saya sedikit, tapi saya yakin dengan keputusan juri kerana sesiapa sahaja yang menontonnya akan dapat merasa kehadiran Kak Aida (wataknya) dalam filem itu," katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis sidang media FFM27, baru-baru ini.
Mula mencipta nama sebagai pengacara bersama untuk program Roda Impian di Astro, Eja turut berterima kasih kepada pengarah filem tersebut, Bernard Chauly, yang tetap memberikan peluang untuknya meskipun ketika itu dia membuat keputusan untuk berhijab.
"Sebaik sahaja pulang dari Makkah, saya terus menghubungi produksi untuk menolak tawaran itu setelah mengenangkan watak Kak Aida itu memang tidak bertudung. Tapi Bernard tetap mahukan saya berlakon dan sedia menerima pendirian saya.
"Saya sangat berterima kasih pada Bernard di atas keterbukaannya. Kalau bukan kerana dia, saya tak mungkin berada di sini dan tercalon untuk kategori ini.
"Saya anggap ini sebagai rahmat dan rezeki atas pengiktirafan terpilih bagi kategori tersebut,” katanya.
Keluarga nombor satu
Akui lakonan bukan lagi keutamaannya, kata Eja, dia perlu bersikap selektif dalam menerima tawaran yang datang, agar ia tidak mengganggu masanya bersama keluarga. Sementelah anak tunggalnya, Nur Eishal Mohd Silahuddin, 6, bakal memasuki alam persekolahan.
"Saya lebih suka ambil tawaran dekat dengan rumah dan tidak lama untuk sesi penggambaran.
“Kerana saya tidak mahu berpisah lama dengan anak yang kini dalam tempoh membesarkan dan bakal memulakan sesi persekolahan tahun depan,” katanya.
Pernah berehat lama dalam bidang lakonan, Eja berkata, minatnya dalam bidang seni itu tidak pernah terpadam, namun tanggungjawab sebagai isteri dan ibu perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Suami saya pun ada memberi syarat sekiranya masih mahu berlakon, saya perlu memberi keutamaan pada keluarga terutama anak.
“Saya juga sudah memasuki setengah bersara dalam bidang lakonan apabila tidak berlakon dalam drama bersiri dan tidak ke luar daerah.
“Saya tidak menyesal dengan apa saya lakukan kini iaitu mengehadkan lakonan,” katanya.
Mengulas mengenai pandangan pihak industri dengan syarat dan perubahan yang berlaku pada dirinya, Eja berkata, pihak industri sangat menghormati keputusannya.
"Suami saya sering ke luar negara, jadi sayalah yang perlu luangkan banyak masa bersama anak. Ia menyebabkan saya tidak boleh terlalu fokus pada lakonan seperti dahulu.
"Sebelum terima tawaran, biasanya kami akan berbincang dulu,” katanya.
0 Comment to "Eja: Hikmah selepas hijrah"
Post a Comment