Tuesday 4 August 2015

Facebook platform seni Sarah Hilderbrand



JARI telunjuk wanita berdarah kacukan Melayu-Amerika itu ligat menatal pad sesentuh yang terletak di tengah-tengah papan kekunci komputer peribadi miliknya.

Sesekali, anak matanya yang berwarna coklat gelap terhenti pada untaian suapan berita dan deretan iklan yang terpapar ringkas di akaun Facebook. Sepasang matanya itu dibiarkan ligat menari ke kiri dan kanan, mencari jika terdapat peluang pekerjaan yang memerlukannya beraksi sebagai model bagi produk jualan mahupun editorial majalah.

Begitulah rutin harian Sarah Hilderbrand, 25, sebaik sahaja pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian di sekolah tinggi Conway Senior High School, Arkansas, Amerika Syarikat (AS) sekitar enam tahun lalu.


“Saban hari, saya akan melayari Facebook dan mencari jika ada syarikat ataupun majalah yang memerlukan khidmat saya sebagai model.

“Begitulah rutin saya sekembalinya ke tanah air. Dalam tempoh beberapa bulan, saya kerap memenuhi undangan fotografi menerusi iklan yang dimuat naik di laman Facebook,” tuturnya lembut membuka bicara.

Ujar pemilik nama sebenar Nur Sarah Marie Hilderbrand Asyraf itu, kekerapannya melayari laman sosial bagi mendapatkan pekerjaan akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya terpilih untuk menyertai sebuah pertandingan pencarian bakat dan seterusnya dinobatkan sebagai juara.

“Sehingga pada suatu hari, sedang leka melayari Facebook, saya terbaca tentang pertandingan pencarian Gadis M2 yang dianjurkan oleh sebuah akhbar tempatan. Dari situ, kehidupan saya mula berubah,” jelasnya.

Langkah mula

Penyertaan Sarah dalam pertandingan Gadis M2 pada awalnya didasari dengan perasaan ingin mencuba dan minatnya terhadap dunia peragaan.

Lebih-lebih lagi, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu pada awalnya menyangkakan format pertandingan tersebut mirip seperti pertandingan pencarian model popular dari AS, America’s Nex Top Model.

“Saya datang ke sesi uji bakat kerana menyangkakan Gadis M2 mirip seperti rancangan America’s Next Top Model.

“Kemudian, hati saya menjadi berbelah bahagi apabila mendapat tahu bahawa Gadis M2 merupakan sebuah pertandingan pencarian selebriti serba boleh.

“Namun, apabila dipujuk oleh pihak penerbit selepas beberapa kali menolak tawaran untuk menyertai pertandingan tersebut, saya terus bersetuju dan mula menanam azam untuk melakukan yang terbaik dalam cabaran yang diadakan.

“Alhamdulillah, saya telah dinobatkan sebagai juara dan ia membuka peluang untuk saya lebih mengenali dunia hiburan tempatan,” ujar Sarah lagi.

Selepas berjaya merangkul gelaran juara dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, wajah Sarah mula muncul di kaca televisyen sebagai pelakon iklan dan video klip.

“Selepas menjayakan iklan makanan ringan Perfecto, saya dilamar oleh pihak Astro untuk membintangi video klip bagi lagu Hujung Waktu nyanyian Azhael.

“Menerusi proses penggambaran video klip berkenaan, saya dapat menimba sedikit pengalaman berlakon bersama Nazim Othman.

“Sejujurnya, penglibatan dalam pembikinan klip video itu telah mengetuk pintu hati saya untuk menceburi bidang lakonan dengan lebih serius,” ujarnya lagi.


AKUI Sarah, penguasaan bahasa Melayunya agak lemah sewaktu pulang ke Malaysia.

Rezeki berganda

Bertitik tolak daripada penglibatannya dalam klip video itu, Sarah kemudiannya dilamar oleh penerbit dan pengarah Rashid Sibir untuk membintangi telemovie pertamanya, Hujan Pagi.

Telemovie yang disiarkan bersempena dengan kedatangan hari raya tersebut menggandingkan Sarah bersama pelakon berbakat besar seperti Fauziah Nawi, Pekin, Zul Huzaimy dan Amar Baharin.

Tutur Sarah, walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, banyak perkara yang dipelajarinya sewaktu sesi penggambaran telemovie tersebut beberapa bulan lalu.

“Banyak yang saya belajar sewaktu membawakan watak Ati dalam telemovie Hujan Pagi. Watak yang memerlukan saya mengenakan tudung itu pada mulanya agak sukar untuk dijayakan.

“Namun, atas bantuan Rashid Sibir dan rakan-rakan pelakon yang lain, saya berjaya membawakan watak tersebut dengan baik,” ujarnya sambil tersenyum.

Walaupun usianya dalam dunia seni masih setahun jagung, namun, Sarah sudah mampu tersenyum dengan pencapaiannya sebagai anak seni setakat ini.

Baru sahaja selesai menjayakan sebuah lagi telemovie arahan Rashid Sibir berjudul Jalan Singkat Ke Syurga, Sarah kini giat mempersiapkan diri bagi menjayakan sebuah teater berjudul Y Sebuah Muzikal yang dijadualkan menemui penonton pada 22 hingga 30 Ogos ini di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Saya sungguh bersyukur kerana permulaan sebagai pelakon dibantu oleh naskhah-naskhah yang besar. Selepas dua telemovie, saya kini dalam proses latihan bagi menjayakan teater berjudul Y Sebuah Muzikal.

“Menerusi teater ini, saya memegang watak Maya dan bergandingan dengan pelakon Arja Lee. Apa yang boleh dikatakan, saya bersyukur kerana digandingkan dengan pelakon yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang teater.

“Arja banyak mengajar saya terutama dari segi penghayatan watak dan karakter,” katanya yang turut bergandingan dengan Fathia Latiff dan Aiman Hakim Ridza menerusi teater tersebut.

Menurut Sarah, dia mahukan perkembangan karier yang positif agar apa yang dilakukannya sekarang bakal diingati oleh khalayak pada masa akan datang.

“Saya mahu menjadikan apa yang saya buat ini satu perkara yang akan diingati. Baik sebagai pelakon drama mahupun pelakon teater. Saya ingin fokus dalam pekerjaan dan tidak mahu melakukan sesuatu perkara secara sambil lewa.

“Saya mahu nama dan jenama Sarah Hildebrand itu diingati atas apa yang saya lakukan dalam bidang seni,” jelas Sarah yang mengakui turut mengintai peluang untuk beraksi di layar lebar.


SELEPAS terlibat dengan dua telemovie, Sarah bakal mewarnai pentas teater menerusi teater Y Sebuah Muzikal.

Tiada sasaran

Pada pertemuan kami, Sarah juga dengan terbuka berkongsi banyak hal tentang dirinya. Selain bercerita tentang soal karier yang semakin cantik dan mekar berkembang, wanita berambut coklat gelap itu turut berbicara perihal keluarga dan latar belakang bapanya, Jeffrey L. Hildebrand, 65, seorang warganegara Amerika yang kini menetap di Indiana, AS.

“Bapa saya berkahwin dengan ibu sekitar penghujung tahun 80-an. Percaya atau tidak, mereka berkenalan menerusi khidmat sahabat pena yang pernah popular di majalah dan akhbar suatu ketika dahulu.

“Menerusi perutusan surat dan gambar, akhirnya bapa saya datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan ibu saya. Atas dasar suka sama suka, mereka berdua mendirikan rumah tangga,” ungkap Sarah sambil menyingkap kembali kisah pertemuan kedua orang tuanya itu.

Begitupun, Sarah memberitahu, selepas dia dilahirkan, bapanya tidak betah untuk terus tinggal di Kuala Lumpur lalu mengambil keputusan untuk membawa mereka dua berpindah ke AS.

“Selepas saya dilahirkan, bapa mengajak ibu untuk berpindah semula ke AS. Bapa berkata, agak sukar untuk meneruskan kehidupan di sini. Jadi, kami anak beranak berpindah ke sana,” ujarnya lagi.

Namun, perancangan keluarga kecil Sarah pada ketika itu tidak menemui titik bahagia. Kedua ibu bapanya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing ketika Sarah berusia sembilan tahun.

“Sebaik sahaja proses penceraian selesai, ibu membawa saya pulang ke Kuala Lumpur dan meneruskan hidup sebagai seorang ibu tunggal. Namun pada usia 16 tahun, saya mengambil keputusan untuk terbang ke AS dan tinggal bersama bapa selama tiga tahun sebelum kembali ke Malaysia pada tahun 2009.

“Selepas pulang dari AS barulah saya berjinak-jinak dengan dunia peragaan sehinggalah bergelar sebagai seorang pelakon,” ujarnya panjang lebar.

Diusik dengan soalan mengenai status hubungannya dengan pengacara Nabil Mahir, Sarah berkata, dia ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya sebelum berfikir tentang soal cinta.

“Kami mula berkenalan sejak tahun lalu dan saya akui sudah mengenali hati budinya. Memang saya teringin untuk berkeluarga dan mempunyai anak, namun, buat masa ini, tidak mahu meletakkan sebarang sasaran kerana mahu memberi perhatian penuh terhadap kerjaya.

“Saya mempunyai impian. Saya tidak mahu bergelar parasit yang hanya menyedut glamor dunia hiburan tanpa membuktikan apa-apa kepada umum. Nabil faham dan sejujurnya, saya tidak mempunyai sebarang target bilakah saya akan mengakhiri zaman bujang. Hal ini kerana sasaran saya sekarang adalah masuk ke dalam industri dan membina nama,” ujarnya positif.

- Facebook platform seni Sarah Hilderbrand

SHARING GOOD

0 Comment to "Facebook platform seni Sarah Hilderbrand"

Post a Comment