Wednesday 5 August 2015

Jurang dingin Hans, Maya


MAYA KARIN dan Hans Isaac bergandingan buat julung-julung kalinya sebagai pasangan dalam sebuah filem berjudul Nota.

JIKA dilihat secara lahiriah, pasti ramai yang merasakan pasangan pelakon bagai diciptakan untuk bersama. Elok paras rupa, cocok pula dengan keperibadian, gandingan Hans Isaac dan Maya Karin bagai sebuah kisah dongeng percintaan putera raja bersama sang puteri.

Atas nama cinta, kedua-duanya memegang erat memeterai janji, ikrar sehidup semati melayari bahtera perkahwinan yang dibina lebih 10 tahun lalu.

Menjadi adat berumah tangga, setiap pasangan mendambakan kehadiran cahaya mata selaku pelengkap hidup. Menyandang gelaran ibu dan bapa pastinya menjadi keinginan.

Namun, masih wujud garis halus antara cinta dan benci. Langit yang sering disangkakan cerah, akhirnya mendung hadir secara tiba-tiba.

Hubungan menjadi semakin dingin, bagai retak menanti belah apabila hadirnya insan ketiga dalam suasana yang seharusnya dinikmati berdua.

Pasti ramai yang curiga bagaimana pasangan aktor dan aktres itu sanggup membelakangkan peminat demi mengejar cinta apabila usia perkahwinan mereka sebenarnya telah mencecah 10 tahun!


Usah mudah melatah, semua itu hanya permainan ilusi naskhah arahan pengarah Jepun, Yasu Tanaka berjudul Nota.

Berlatarbelakangkan kekuatan sinematografi sekitar kawasan Taman Negara Bako di Sarawak, filem tersebut memaparkan sisi berbeza berbanding karya komersial yang sinonim dengan penonton.

Pertama kali digandingkan di layar perak, ternyata Hans Isaac tidak mempunyai masalah untuk beraksi di sisi Maya Karin walaupun sepanjang usia karier seni, mereka belum berkesempatan untuk berkongsi naskhah yang sama.

Lantas, tempoh hampir 15 tahun mengenali aktres tersebut digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan impak.

“Agak seronok apabila berpeluang berlakon dengan kawan sendiri kerana ia lebih mudah untuk berbincang dan berkomunikasi antara satu sama lain.

“Namun untuk Nota, ia sedikit berbeza kerana kami seboleh-bolehnya tidak mahu mewujudkan keserasian demi menghidupkan watak hubungan pasangan suami isteri yang sedang dilanda masalah,” jelas Hans yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Buli Balik pada Festival Filem Malaysia ke-19.


MELAKUKAN aksi ranjang pada hari pertama penggambaran antara cabaran terbesar buat Hans dalam filem Nota.

Tidak serasi

Berbeza dengan karya lain, filem Nota mempamerkan pelbagai sisi ‘asing’. Memiliki kekuatan dengan menampilkan dua nama besar selaku tunjang utama, ternyata Nota sebuah filem Melayu wajib tonton pada tahun ini.

Sengaja meletak jurang, Hans dan Maya mengambil langkah drastik apabila tidak berkomunikasi antara satu sama lain sewaktu berada di set penggambaran.

Meletakkan syarat agar tidak melepasi ‘sempadan’ masing-masing, kedua-dua pelakon sebaliknya selesa untuk mengekalkan emosi sama demi memudahkan watak Kamal lakonan Hans dan Erin (Maya) diterjemah dengan sempurna.

“Jika kebanyakan filem komersial sebelum ini memerlukan pelakon utama mewujudkan keserasian agar tidak kekok di hadapan kamera tetapi Nota jauh menyimpang daripada teori asal.

“Kami mengekalkan jarak antara satu sama lain demi ‘menghidupkan’ karektor masing-masing. Jelasnya, watak berkenaan jauh berbeza daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini,” kata Hans.

Beralih kepada Maya, jutawan hartanah itu hanya tersenyum saat disoal mengenai jurang keserasian hubungan antaranya dengan Hans menerusi filem Nota.

“Secara teknikalnya, teori itu yang kami perlukan untuk mewujudkan emosi antara watak dan penonton. Biar mereka melihat dan menilai bagaimana kehidupan Erin yang berdepan dengan masalah rumah tangga ekoran kegagalan mendapatkan zuriat.

“Watak Erin mungkin boleh dikatakan psiko tetapi hati wanita mana yang tidak sakit apabila suaminya main kayu tiga,” jelas Maya sambil berseloroh.

Aksi ranjang Hans

Hampir 20 tahun bergelumang dalam kancah perfileman, aura aktor berusia 44 tahun itu tidak perlu disangkal. Penampilan dan wajah tampan miliknya mampu mencairkan hati ramai wanita.

Pastinya berbekalkan pengalaman sedia ada, tidak sukar bagi Hans untuk mendalami apa sahaja watak. Namun, berbeza dengan Nota apabila dia terpaksa berdepan dengan adegan ranjang pada hari pertama penggambaran.

Biarpun pernah melakukan babak romantis dalam filem-filem lain termasuk adegan bercium bersama pelakon Filipina, Bea Alonso, Hans mengakui tetap berasa kekok. Tambahan, adegan sebegitu pasti akan menyentuh sensitiviti masyarakat tempatan.

“Saya benar-benar terkejut apabila diminta untuk menanggalkan pakaian di hadapan individu yang tidak dikenali iaitu pelakon dari Jepun, Rin Izumi. Bagi saya, perkara itu sedikit keterlaluan kerana tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat tempatan tetapi ia mungkin berbeza di negara Jepun.

“Agak janggal apabila kami berdua berada di bawah selimut untuk berlakon adegan intim, padahal kami tidak mengenali satu sama lain. Pastinya sukar, namun kami berjaya melakonkan adegan itu dengan sekali penggambaran sahaja,” tutur Hans sambil melepaskan ketawa besarnya.

Tambah pelakon Ringgit Kasorrga itu juga, selain cabaran babak ranjang, menjayakan watak Kamal sebagai seorang doktor antara suatu cabaran besar dalam filem ini. Kamal divisualkan sebagai seorang lelaki yang terlalu mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap keluarga setelah 10 tahun berkahwin.

Sanggup makan banyak dan memakai baju ketat bagi menonjolkan perut buncit, Hans berkata, penampilan seumpama itu disifatkan sebagai langkah seseorang yang mengalami tekanan melampiaskan emosi yang terdesak.

“Sewaktu di lokasi penggambaran, saya akan memastikan makan antara rutin utama agar dapat menambahkan berat badan demi membawa watak Kamal. Selain itu, pemilihan baju yang ketat juga banyak memainkan peranan untuk lebih menonjolkan watak lelaki bermasalah,” jelasnya.


MAYA mengakui kesukaran melakonkan watak Erin dalam filem Nota kerana banyak bermain dengan emosi dan bahasa tubuh tanpa banyak berdialog.

Permainan emosi Maya

Melepasi usia satu dasawarsa bergelar pelakon, Maya Karin bukan satu jenama asing dalam industri hiburan tempatan. Mengukuhkan portfolionya, aktres itu menerima tawaran membawa watak berat demi mencari kelainan.

Berbeza dengan kisah cinta, pengorbanan mahupun komedi, filem terbitan 42nd Pictures Sdn. Bhd. itu yang bakal ditayangkan pada 13 Ogos ini mencabar Maya menguasai komunikasi menggunakan bahasa tubuh, berbanding lontaran dialog.

“Menjadi suatu cabaran besar apabila saya perlu banyak bermain dengan emosi selain menggunakan bahasa tubuh dan reaksi wajah bagi menonjolkan perasaan Erin.

“Sebelum ini, dialog yang banyak membantu dalam menzahirkan emosi, namun kali ini berbeza. Secara kasarnya, lontaran dialog kebanyakannya lebih kepada monolog dalaman,” kata pelakon berusia 36 tahun itu.

Teruja berpeluang berlakon di bawah arahan Yasu Tanaka, filem yang menelan kos sebanyak RM10.8 juta itu telah membuatkan pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Seram & Fantasi Estepona itu meletakkan harapan tinggi buat karya baharunya.

Maya meletakkan harapan bukan sahaja penonton, malah penggiat seni agar turut bersedia melakukan anjakan dalam melahirkan karya berbeza dan kreatif. Bergelumang dengan emosi, Nota tidak hanya mempertaruhkan Maya dan Hans. Sebaliknya, penglibatan Allahyarham Ramli Hassan turut menyumbang kekuatan tersendiri.

“Jika sebelum ini ramai beranggapan filem Malaysia tidak bermutu tinggi, jadi pergi menonton filem Nota untuk mencari kelainan yang jauh berbeza daripada karya sedia ada,” ujarnya.

Kurangnya skrip berkualiti juga antara punca pemilik nama sebenar, Maya Karin Roelcke mengehadkan aksi di layar perak. Tidak bermaksud memilih karya berdasarkan kroni, sebaliknya dia mencari kepuasan dalam setiap naskhah yang ditawarkan.

“Disebabkan kesukaran mendapatkan skrip berkualiti, saya kurang berlakon. Ini bukan kritikan tetapi demi mencari kepuasan peribadi, saya akui bersikap selektif terhadap watak yang ditawarkan,” jelasnya menutup bicara tentang Nota.

- Jurang dingin Hans, Maya

SHARING GOOD

0 Comment to "Jurang dingin Hans, Maya"

Post a Comment