Friday 7 August 2015

Raihan belum lenyap


SEKITAR tahun 1996, nama Raihan pernah mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri nasyid di tanah air.

Namun, seiring dengan peredaran masa, nama kumpulan nasyid ini seolah-olah ‘lenyap’ seketika dan semakin dilupakan masyarakat setempat dari sehari ke sehari.

Bahkan, hampir 20 tahun kumpulan nasyid ini bertapak dalam industri seni, populariti Raihan dilihat lebih melonjak naik di negara luar berbanding di negara sendiri.

Tidak kecil hati dengan situasi itu, Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza sebaliknya beranggapan ia adalah asam garam bagi seseorang bergelar selebriti.

"Kami faham dengan senario ini. Lagipun, sifat populariti itu ada turun naiknya. Walaupun media tempatan kurang membuat liputan, kami masih lagi sibuk dengan pelbagai aktiviti dan program.

"Undangan dalam negara pula masih ada cuma tidak ‘selebat’ dulu. Bagi persembahan di luar negara, kami memenuhi jemputan Islamic Relief International mengadakan siri jelajah di United Kingdom dan Perancis. Malah, kerjasama ini telah terjalin sejak tahun 2002 lagi.

"Jujurnya, kami juga tiada perancangan untuk kembali popular lantaran selesa dalam memenuhi pelbagai komitmen yang ada sekarang," katanya kepada Zass.


Pada masa sama, kata Che Amran, Raihan kini dilantik sebagai Duta Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) sejak Januari lalu.

"Kami banyak bergerak atas pelbagai aktiviti kemanusiaan dan juga misi bantuan pada masyarakat atau mangsa kurang bernasib baik khususnya yang terlibat dalam bencana dan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak kira dalam negara mahupun di luar negara," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Raihan bakal terlibat sama dalam konsert ‘Ku Mohon’ Tuhan Beri Aku Cinta anjuran IRM di Stadium Malawati, Shah Alam.

"Kami akan menyanyikan empat hingga lima lagu seperti Iman Mutiara dan beberapa lagu popular lain termasuk dalam bahasa Inggeris.

"Jujurnya, kami sangat teruja dapat sama-sama berganding bahu dalam usaha mengutip dana demi kemanusiaan sejagat," katanya.

Konsert yang diadakan pada 31 Oktober ini, turut menampilkan nama-nama besar seperti Opick dan Ebiet G Ade dari Indonesia, Humood AlKhudher (Kuwait), serta Zain Bikha (Afrika Selatan).

Selain Raihan, konsert ini juga melibatkan artis tempatan popular seperti Anuar Zain dan Akim & The Majistret.

Konsert ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM5 juta yang akan disalurkan ke projek pembangunan dan kemanusiaan dalam negara.

Sebanyak 9,000 tiket akan dijual kepada orang ramai, persatuan, badan kerajaan dan korporat.

Tiket-tiket berharga RM100 hingga RM300 boleh dibeli secara online menerusi www.ticketpro.biz bermula 30 Jun lalu.

Maklumat lanjut berhubung saluran sumbangan dana boleh didapati dengan melayari laman web www.islamic-relief.org.my atau hubungi talian 03-89263434.


Punca tiada album

Tiada album baharu daripada Raihan adalah salah satu penyumbang utama kepada ‘kesenyapan’ kumpulan nasyid ini dalam industri muzik negara.

Apa tidaknya, kali terakhir Raihan muncul dengan album penuh adalah Selawat Terapi, kira-kira tiga tahun lalu.

Selepas itu, kumpulan yang pernah mencatat jualan tertinggi menerusi album pertama, Puji-Pujian ini lebih banyak menyanyikan lagu lama mereka.

Mengakui akan hal itu, Raihan bagaimanapun tidak punya sebarang perancangan untuk mengeluarkan sebarang album penuh ekoran kecewa dengan pasaran muzik semasa yang kurang memberangsangkan.

"Belum sampai masa hasilkan album baharu. Sekarang ini, kos pembikinan album sangat tinggi sedangkan jualan tidak seberapa. Kami tidak mahu ambil risiko.

"Album terakhir kami, Selawat Terapi hanya terjual 12,000 unit walhal album Puji-Pujian pada 1996 pernah mencatatkan angka jualan sehingga 700,000 unit," katanya sambil berharap dapat menghasilkan album baharu, suatu hari nanti.

Dalam perkembangan lain, Raihan turut mengajak peminat untuk menyertai rombongan Kembara Ilmu ke Acheh, Indonesia bersama dengan Ustaz Haslin Baharim dan Ustaz Abdullah Khairi pada 11 hingga 14 September ini.

Selain itu, Raihan juga membuka peluang kepada peminat untuk sama-sama mengerjakan Umrah selain melawat Istanbul dan Turki pada 30 November hingga 14 Disember depan.

"Pakej kembara ilmu bermula dari harga RM1590 seorang manakala pakej Umrah pula RM7990 seorang.

"Tujuan kami melakukan aktiviti seperti ini adalah sebahagian daripada proses mendekatkan kami bersama peminat yang telah lama menyokong perjuangan kami," katanya.

Sementara itu, Raihan juga bakal mengorak langkah ke hadapan dalam bidang perniagaan apabila mengeluarkan jenama pakaian sendiri, tidak lama lagi di bawal label, Raihan Collection.

- Raihan belum lenyap

SHARING GOOD

0 Comment to "Raihan belum lenyap"

Post a Comment