Friday 18 September 2015

Amelina belum sedia bertudung


BAGI penyanyi dangdut ini, dia akan berhijrah apabila benar-benar sudah bersedia dan stabil dalam kehidupan.

Kemunculan semula penyanyi dangdut, Amelina ke persada muzik tanah air telah mengubat kerinduan peminat setianya. Di sebalik penerimaan umum terhadap dirinya, Amelina tidak terlepas daripada pertanyaan tentang imejnya yang dikatakan masih seksi biarpun sudah berusia.

Sementelah, ramai dalam kalangan selebriti seusia dengannya sudah mengenakan hijab sebagai pelengkap kehidupan. Ibu kepada enam orang anak itu sebaliknya masih selesa tampil dengan imej rambut perang dan berbaju ketat.

Kata penyanyi berusia 41 tahun itu, situasi kewangan yang belum stabil antara alasan membuatkan kesediaan bertudung masih tertangguh.

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu menyimpan harapan agar para peminat terus mendoakan pintu hatinya terbuka luas untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Ikuti penjelasan lanjut daripada bekas ratu dangdut itu mengenai hakikat kehidupannya, yang barangkali dipandang sebelah mata oleh masyarakat.


Artis Meletop!: Selepas hampir tiga bulan melancarkan single baharu, bagaimana Amelina melihat sambutan yang diterima?

AMELINA: Selepas single pertama Cinta Harus Seksi dikeluarkan, penerimaan peminat sangat positif. Sejujurnya saya rasa sewaktu membuat kemunculan pada penghujung tahun lalu, kehadiran saya seperti tidak dialu-alukan. Lama-kelamaan, perasaan negatif seperti berlalu seperti angin. Alhamdulillah, rezeki dipermudahkan dan perjalanan seni saya dalam industri juga berjalan lancar.

Apa pula perkembangan terkini anda?

Sekarang saya dilantik menjadi duta kempen #YUKDANGDUT yang dilancarkan Astro Indopek untuk saluran Bintang (141) dan Pelangi (142). Selaku duta, saya membantu mempromosikan genre dangdut menerusi program dan beberapa jelajah yang akan diadakan. Sedikit sebanyak saya boleh membantu menghidupkan semula kehangatan irama dangdut yang semakin dilupakan peminat sekarang.

Muncul semula selepas 15 tahun menyepi, ada pihak yang mendakwa anda hanya mahu mengembalikan populariti. Benarkah?

Saya berani bersumpah bahawa kemunculan semula saya ini kerana mahu mencari rezeki demi anak-anak. Kalau bukan kerana masalah kewangan dan mahu mencari sesuap nasi, saya tidak sanggup. Sebelum membuat keputusan sebegini, sudah lama saya berfikir secara rasional dan pada akhirnya menyerahkan semua perkara ini kepada Tuhan.

Seperti kata orang, kalau berlandaskan kepada niat yang baik, insya-Allah semuanya akan dipermudahkan. Itulah yang terjadi kepada saya sekarang.

Sejujurnya, saya kembali bukan kerana populariti. Saya sudah puas mengecap gelaran dan perasaan itu suatu ketika dahulu. Sewaktu menyepikan diri, tidak pernah langsung timbul perasaan ralat memikirkan populariti yang pernah saya kecapi dulu. Kalau benar saya mahukan nama, sudah lama saya buat.

Banyak dalam kalangan rakan seperjuangan kini sudah tampil dengan imej berhijab. Anda pula bagaimana?

Untuk melihat saya ke arah itu, minta doa semua agar dipermudahkan jalan. Memang ramai rakan artis wanita yang sudah bertudung, mungkin rezeki mereka lain. Kewangan mereka sudah stabil dan tiada masalah dalam hidup.

Namun, saya masih belum punya apa-apa. Kewangan juga masih belum stabil sepenuhnya. Jadi, fokus saya sekarang adalah untuk mengambil peluang yang dipermudahkan ini untuk mengumpul aset demi jaminan masa hadapan keluarga. Pada masa sama, saya sangat berharap jalan ke arah itu (bertudung) turut dipermudahkan.

Tidak semua khalayak menerima anda. Ada yang mengeji, namun masih ada yang memuji, bagaimana situasi begitu didepani?

Memang betul. Kalau dahulu, tidak ada internet, Facebook, Instagram dan blog-blog hiburan, sekarang semuanya berbeza.

Masyarakat boleh membuat apa sahaja tanpa batasan kerana semuanya di hujung jari, termasuklah mengeji dan menghina. Saya tidak terlepas daripada menjadi mangsa cercaan di internet.

Pada awal kemunculan semula, saya sangat trauma, tertekan dan terkejut dengan reaksi masyarakat yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan saya. Sampai satu tahap, saya demam, menangis dan berasa mahu membalas semua kutukan orang.

Namun, sebagai seorang manusia saya masih waras, saya sabar. Saya banyak bertanya dan meminta nasihat daripada rakan artis yang lain. Selepas itu, saya jadi terbuka menerima segala pandangan negatif orang. Saya percaya, kalau ada yang membenci, tentu masih ada yang sayangkan saya.

Bagaimana pula dengan penerimaan anak-anak selepas mendapat tahu ibu mereka merupakan bekas ratu dangdut. Adakah antara mereka yang mengikut jejak langkah anda?

Pada awalnya, sudah tentulah mereka tidak percaya. Sebab selama 15 tahun saya hanya duduk di rumah dan menguruskan anak-anak. Mereka mulanya sukar untuk menerima kenyataan.

Lama-kelamaan, mereka menerima saya seadanya. Sama seperti saya, mereka juga agak marah apabila membaca kutukan orang di internet.

Jika diikutkan, saya tidak menggalakkan anak-anak terlibat dalam dunia seni. Saya tidak mahu mereka merasai apa yang saya rasa. Sedangkan melihat ibu dicaci, mereka sudah tidak boleh bersabar, bagaimana jika perkara itu terjadi kepada diri sendiri.

- Amelina belum sedia bertudung

SHARING GOOD

0 Comment to "Amelina belum sedia bertudung"

Post a Comment