Friday 18 September 2015

Penyatuan sains fiksyen, sejarah negara



Kapsul - Ketika penggambaran, Tun M pernah ditanya, apakah yang ditulis beliau di dalam kapsul yang kini ditanam di Monumen Alaf Baru, Putrajaya. Tun M menjawab, beliau juga sudah lupa kerana terlalu banyak pesanan yang ditulis.

Tak kenal maka tak cinta. Pepatah itu mungkin sesuai ditujukan buat generasi hari ini yang dilahirkan dalam suasana negara aman damai tanpa pernah mengenal betapa payahnya perjuangan menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu. Ibarat lahir ketika dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, segelintir anak muda hari ini mudah kehilangan jati diri dan tidak menebal semangat nasionalisme.

Mendasari dan menyedari jerih perih generasi terdahulu mempertahankan dan memperjuangkan kemerdekaan, Allahyarham Martias Ali telah terpanggil menghasilkan sebuah filem sejarah dalam wajah kontemporari bertajuk Kapsul.

Filem tersebut dilhamkan daripada kapsul Wawasan 2020 yang ditanam oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) suatu ketika dahulu. Kapsul tersebut mengandungi amanat Tun M yang hanya boleh dibuka pada tahun 2020.

Menggunakan lebih 200 pelakon pembantu yang bertindak sebagai undangan khas untuk mengisi watak dalam empat zaman berbeza menuju kemerdekaan Tanah Melayu, Kapsul ternyata bukan satu filem patriotik yang klise. Ia dibuat dengan visi yang cukup mampan.

Filem berkenaan bahkan menerima penghormatan paling besar apabila Tun M membuat kemunculan istimewa dalam satu babak khas sebagai tanda sokongan beliau terhadap usaha karyawan filem tempatan yang bersusah payah menghasilkan Kapsul.

Teraju utamanya, Faizal Hussein membawa watak Zohri, seorang anak muda yang memandang enteng kesenangan dan keamanan Malaysia sehinggalah dia menyahut cabaran rakannya untuk mencuri Kapsul Wawasan 2020. Misinya adalah membongkar wasiat Tun M itu sebelum tiba waktunya.

“Kapsul menjadikan sejarah itu seronok untuk dipelajari, ia bukan sekadar fakta tetapi sebuah penceritaan yang memberi keyakinan kepada saya bahawa ia akan difahami dengan mudah oleh penonton,” kata Faizal usai Malam Gala Filem Kapsul di Cathay Cineleisure, Damansara baru-baru ini.


Debaran Faizal Hussein

Sebetulnya, bagi mendapatkan persetujuan Tun M untuk membuat penampilan khas menerusi Kapsul bukan suatu kerja yang hasilnya diperoleh dalam sekelip mata.

Lebih setahun selepas filem berkenaan menamatkan penggambaran, barulah Tun M menyatakan kesudian untuk muncul pada babak yang didedikasikan khas buat beliau pada penghujung filem tersebut.

Berpeluang berlakon dengan Tun M dan berkongsi lokasi penggambaran sama dengan negarawan ulung itu, Faizal merasakan dialah antara pelakon paling bertuah kerana boleh berdialog dengan tokoh yang disegani itu.

“Pada hari penggambaran dengan Tun M, macam-macam perasaan bermain di fikiran saya. Teruja, berdebar dan tidak percaya semuanya ada. Saya terlampau gementar sehingga membawa anak lelaki saya, Fazrick menemankan saya di set penggambaran, selain mahu dia melihat sendiri siapa Tun M yang selama ini dilihat dalam kaca televisyen.

“Sebenarnya babak berdialog itu tidak dirancang. Tun M fikir, beliau hanya perlu melintas di hadapan saya dan berlalu pergi dengan menaiki sebuah kereta jenama Proton. Namun, entah keajaiban apa yang berlaku, Tun M berjaya dipujuk untuk bercakap dengan watak Zohri,” katanya yang beberapa kali berlatih pengucapan dialog dengan Tun M.

Bukan hanya untuk kelancaran penggambaran, ia juga sebagai proses mendapatkan keyakinan berdepan Bapa Pembangunan Malaysia itu.

Sepanjang dua tahun selepas penggambaran diselesaikan, banyak peristiwa yang tidak diduga telah berlaku dan sedikit sebanyak menambah elemen sentimental kepada produksi Kapsul.

Pengarahnya, Martias Ali meninggal dunia pada Mei tahun lalu akibat kanser darah, sekali gus tidak sempat menyaksikan impiannya membawa Tun M beraksi dalam filem Kapsul.

Bagi Faizal, pemergian Martias cukup dirasai kerana arwah merupakan individu yang paling bersungguh-sungguh mahukan Tun M berlakon dalam Kapsul. Di mata Faizal, Martias seorang anak Malaysia yang terlalu menghormati pemimpin negara tersebut sehingga membikin karya yang bercerita tentang Perdana Menteri Malaysia keempat itu.

“Terasa pelik apabila hadir ke sesebuah malam gala filem tanpa kemunculan pengarahnya. Ini impian arwah dan keseluruhan filem ini adalah hasil titik peluh Martias Ali.

“Walaupun sedih kerana arwah tiada bersama, namun saya harap penerimaan positif dan kehadiran Tun sendiri pada malam ini untuk menyaksikan Kapsul, sedikit sebanyak boleh membalas usaha gigih arwah sebelum meninggal dunia,” ujar Faizal mengenai filem yang memulakan tayangan di pawagam pada 17 September itu semalam.

Tun M puas hati



Pilihan - Tun M dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah jarang keluar menonton wayang kecuali filem Hollywood seperti Avatar. Kapsul kini tercatat dalam senarai filem yang menjadi pilihan pasangan itu untuk ditonton di panggung.

Usai lampu pawagam dihidupkan menandakan tamatnya tayangan perdana filem Kapsul tempoh hari, ramai menyangka Tun M dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah sudah pulang dan tidak turut serta dalam sidang akhbar bersama media.

Ternyata sangkaan itu meleset sama sekali apabila Tun M dengan senyuman terukir di bibir, perlahan-lahan mengatur langkah ke atas pentas untuk menyertai penerbit filem Kapsul, Amru Najmi Osman dan Faizal Hussein bagi soal jawab bersama media.

Suasana bingit seketika apabila para wartawan berlumba-lumba mengangkat tangan untuk bertanyakan soalan kepada Tun M yang kelihatan tenang duduk di kerusinya.

Ketika diajukan tentang perasaannya yang pertama kali berlakon filem, Tun M dengan raut penuh yakin menjawab, beliau sebenarnya cukup gementar.

“Saya ingatkan hanya perlu muncul dan naik kereta, tiba-tiba mereka semua meminta saya berdialog pula.

“Menggeletar juga ketika hendak mengutarakan dialog, Walaupun hanya beberapa patah perkataan, iaitu, ‘ingat, perjuangan kita belum selesai’. Rasanya, saya memang tidak boleh berlakon,” cerita Tun M sambil disambut dengan gelak tawa hadirin.

Menyentuh tentang jalan cerita Kapsul, Tun M berkata, beliau berpuas hati terhadap percubaan yang ditampilkan pengarah dalam mewujudkan kembali zaman kritikal sepanjang jalan menuju kemerdekaan.

Malah, Tun M memuji Kapsul dengan menyatakan ia sebuah filem yang berbeza berbanding filem-filem tempatan lain. Bukan sahaja mengimbau sejarah dari zaman sebelum merdeka tetapi ia turut mengetengahkan unsur sains fiksyen.

“Saya ada bertanya kepada pihak produksi, bilakah skrip filem ini ditulis dan mereka memberitahu, arwah pengarahnya telah menyiapkan skrip tersebut sekitar 2009.

“Saya bangga terhadap skrip dihasilkan kerana arwah boleh menjang­kakan apa akan terjadi, sama seperti saya selalu perkatakan. Di sini juga ingin saya tegaskan, filem ini tiada kaitan langsung de­ngan politik. Ia lebih kepada sejauh mana Wawasan 2020 boleh tercapai atau tidak,” tegas Tun M.

Kapsul mengisahkan pengembaraan seorang pemuda bernama Zohri yang mencuri amanat Tun M mengenai Wawasan 2020. Tanpa disangka, Zohri tiba-tiba telah disedut ke dalam kapsul tersebut dan bermulalah perjalanannya merentas empat zaman berbeza. Empat zaman berkenaan adalah era penjajahan Jepun, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan akhir sekali suasana Malaysia semasa pentadbiran Tun M.

Ketika melalui masa-masa yang sebelum ini hanya dibaca dalam buku sejarah di sekolah, Zohri mula menemui jati diri. Dia semakin mengenal erti kemerdekaan yang sebenar dan perjuangan orang dahulu menuntut kebebasan tanah air.

Slogan filem yang berbunyi, ‘Kau perlu merasai untuk memahami’ tepat menggambarkan visual yang dipaparkan dalam filem. Zohri hanya kenal harga sebuah kemerdekaan apabila melalui sendiri kesakitan generasi sebelum ini sepanjang kembaranya merentas masa.

- Penyatuan sains fiksyen, sejarah negara

SHARING GOOD

0 Comment to "Penyatuan sains fiksyen, sejarah negara"

Post a Comment