NAMA pelakon remaja ini bukanlah asing dalam industri seni tempatan. Meskipun baru sahaja melibatkan diri dalam bidang seni namun pelakon cantik ini telah mendapat perhatian dan mempunyai peminat tersendiri.
Bukan kerana tempias kontroversi yang melibatkan keluarganya sebelum ini tetapi kerana bakatnya yang tersendiri dalam bidang seni.
Maka tidak hairanlah apabila Chacha Maembong yang juga adik kepada pelakon Emma Maembong ini semakin mendapat perhatian kini.
Dek kerana itu, apa sahaja yang dilakukan olehnya pasti mencuri tumpuan.
Mengakui pernah merasa tertekan kerana dilemparkan komen negatif berikutan tidak mendapat pendidikan di sekolah seperti orang lain, kata pelakon Mira Sofea ini, dia sudah lali dengan perkara seumpama itu.
“Di awal penglibatan saya, memang ada rasa sedih dan terkilan.
“Tetapi sekarang saya sudah yakin dengan hidup saya. Lagipun ia bukan alasan mengapa saya hendak menarik diri daripada bidang ini.
“Sebab itu saya tidak mahu ambil pusing mengenai perkara seperti itu atau pun yang melibatkan keluarga lagi,” katanya.
Ujar Chacha lagi, dia dan keluarganya menjadi tumpuan kerana mereka adalah golongan selebriti.
“Sebenarnya ada sahaja orang lain yang tidak ke sekolah, tetapi orang tidak tahu.
“Sebaliknya pula kepada saya dan kakak-kakak yang lain, kerana kami terlibat dalam bidang seni, ada sahaja yang orang akan katakan,” kata pelakon berusia 19 tahun ini.
Realiti kehidupan
Berkongsi mengenai program realiti yang bakal melibatkan dirinya, Emma dan Yaya pula, beritahu pelakon yang terkenal menerusi drama Setia Hujung Nyawa dan Mimpi Cinderella ini, semuanya diuruskan oleh kedua kakaknya itu.
“Memang benar program tersebut hampir sama dengan program popular Hollywood Keeping Up With Kardashian.
“Ia berkisarkan kisah sebenar kami adik-beradik seharian. Kami akan mulakan penggambaran 10 hingga 23 september ini,” katanya.
Ditanya apakah syarat-syarat yang ditetapkan menerusi program itu diterima sebaiknya oleh mereka, akui Chacha sebagai adik bongsu dia tidak membuat keputusan sebaliknya hanya menyerahkan kepada Emma dan Yaya.
“Apa-apa tanya bos (Emma), saya ikut sahaja,” katanya berseloroh.
Pada masa sama, penglibatan mereka dalam program itu juga pasti akan mendapat komen-komen daripada peminat seni sama ada baik atau buruk.
Jelas Chacha berhubung hal itu, dia tidak kisah kerana kehidupan mereka juga seperti orang biasa.
“Sebagai artis kehidupan kami sentiasa menjadi ikutan, kalau tidak dikongsi di televisyen pun, orang akan tahu.
“Lagipun program itu menunjukkan siapa kami sebenar, tiada yang ‘fake’,” katanya persetujuan daripada ayahnya mengenai program itu turut diuruskan oleh Emma.
Bercerita perkembangan terbarunya, Chacha kini sedang sibuk dengan penggambaran bagi drama tiga bangku kosong.
“Selain itu saya harap produksi memberi kepercayaan kepada pelakon baru seperti saya untuk memainkan peranan yang kuat seperti Mira Sofea.
“Saya sentiasa bersedia untuk cabaran seterusnya,” katanya berterima kasih kepada semua yang menyokongnya dari dahulu hingga kini.
0 Comment to "Chacha Maembong makin kebal"
Post a Comment