Thursday, 10 September 2015

Elizabeth Tan jadi penari?



SELEPAS kelas vokal, bintang You Tube, Elizabeth Tan merancang untuk mengikuti kelas tarian, selepas ini lantaran bosan dengan gaya persembahannya di atas pentas.

Bagaimanapun, buat masa ini, rancangan terbabit terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada beberapa projek kempen selain sibuk mempromosikan filem terbaharunya, Usop Wilcha Mengongjang Makhluk Muzium.

Pada masa sama, hujung bulan ini, Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy akan terbang ke United Kingdom selama seminggu untuk memenuhi undangan persembahan bagi acara perasmian sebuah hotel berprestij di negara itu.

“Kritikan yang diterima tidak membuatkan saya serik sebaliknya menguatkan lagi usaha saya untuk memperbaiki kelemahan dan kerana itu, saya mengikuti kelas vokal.

“Tapi, bagi memberikan satu kelainan, saya perlukan sesuatu yang segar dan baharu. Sebab itu, saya pilih untuk menari dan merancang untuk mengikuti kelas tarian.

“Tambahan pula, saya mungkin muncul dengan genre muzik yang berentak rancak ala-ala KPOP,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas menjayakan Konsert Jajahan Johara Era, baru-baru ini.


Lizzy menjelaskan mahu kelihatan lebih bertenaga dan lincah di atas pentas, malah turut memasang angan-angan untuk menjadi sebaik Stacy namun menyedari terlalu banyak yang perlu dipelajarinya.

“Peminat menyukai saya menyanyi dan menari pada masa sama. Kata mereka, ia lebih menghiburkan.

“Saya pernah bertanya pada salah seorang penari Stacy, mereka mengambil masa sehingga sebulan untuk berlatih bagi satu lagu. Kalau saya, pasti akan mengambil tempoh lebih panjang (gelak).

“Tapi, satu hari nanti, saya mahu menjadi seperti Stacy yang mampu menyanyi dan menari dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Lizzy turut melahirkan perasaan terujanya apabila lakonannya diterima baik menerusi filem pertamanya, Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.

“Ramai yang kata saya berlakon dengan baik dan nampak semula jadi.

“Tapi, saya akui agak kekok dan segan melihat hasil lakonan sendiri,” katanya yang berminat berlakon sedari kecil.

Malah, pelantun lagu Knock Knock itu turut berharap dapat diberi peluang berlakon dalam filem aksi yang menjadi minatnya.

“Saya ada menerima beberapa tawaran, tapi buat masa ini, saya terpaksa menolaknya kerana mahu berfokus pada karier nyanyian.

“Kalau boleh, saya mahu sangat berlakon dalam filem aksi kerana saya sendiri suka akan aktiviti lasak.

“Tapi, bukan sekaranglah kerana saya perlu melakukan persediaan terlebih dahulu seperti memasuki kelas lakonan,” katanya.

- Elizabeth Tan jadi penari?

SHARING GOOD

0 Comment to "Elizabeth Tan jadi penari?"

Post a Comment