Wednesday, 30 September 2015

Kekasih Jim Carrey Ditemui Mati Bersama Nota Bunuh Diri



Jim Carrey dan kekasihnya Cathriona White. Cathriona ditemui mati dengan nota bunuh diri pada Isnin, 28 September di rumah sewanya di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

KEKASIH Jim Carrey, Cathriona White, 28, yang baru sahaja dilaporkan berpisah dengannya beberapa hari yang lalu telah ditemui mati dipercayai bunuh diri.

Cathriona ditemui oleh dua rakan setelah mereka pergi ke rumah sewanya pada malam Isnin untuk memeriksa keadaannya setelah beberapa hari tidak menjawab panggilan telefon.

Mendiang menyewa AS$5,000 sebulan di banglo bernilai lebih AS$1 juta itu yang terletak di pinggir bandar Los Angeles, California, Amerika Syarikat.



Cathriona yang merupakan jurusolek artis berasal dari Ireland, baru sahaja berpisah dengan aktor komedi terkenal Jim Carrey untuk kali yang kedua beberapa hari yang lalu.

Mayatnya ditemui bersama-sama nota kecil yang menyatakan hasratnya untuk membunuh diri.

Portal berita hiburan, TMZ melaporkan, nota tersebut turut menyebut kekecewaannya setelah terpaksa berpisah dengan Carrey untuk kali kedua pada 24 September baru-baru ini.

Pada hari yang sama dengan perpisahan itu, Cathriona telah memuat naikkan kata-kata yang membimbangkan dalam laman Twitternya.

"Saya dengan ini menutup laman Twitter saya. Saya berharap saya telah menjadi sumber cahaya kepada mereka yang rapat dan dekat di hati saya," tulisnya.



Selepas itu dia telah mengasingkan diri daripada semua orang termasuk rakan-rakan baiknya.

Timbalan Koroner Los Angeles, Ed Winter dipetik sebagai berkata, pihak berkuasa mengesyaki mendiang telah mengambil ubat-ubatan yang berlebihan bersandarkan beberapa pil yang ditemui bersama-sama mayatnya.

Ekoran kejadian itu, Carrey telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menyatakan rasa sedihnya dengan kematian Cathriona.

"Saya terkejut...saya berasa sedih yang amat sangat dengan kematian Cathriona," katanya sambil menambah "Dia adalah seorang yang berhati mulia, ibarat bunga Irish yang sangat sensitif untuk hidup subur di tanah ini (Amerika) hanya kasih sayangnya sahaja yang mampu memberi sinaran. Dan pemergiannya ibarat halilintar yang menyambar."

Cathriona dan Carrey pertama kali berpasangan pada akhir musim panas 2012, tetapi menjelang Mac tahun berikutnya mereka berpisah.

Bagaimanapun, mereka dilihat kembali bersama pada Mei lalu dengan gambar mereka dirakam berpegangan tangan di bandar New York selepas itu.

The Mail Online melaporkan yang gambar mesra Cathriona dan Carrey masih terdapat di atas meja di ruang tamu rumah sewanya itu ketika pihak polis dan koroner tiba untuk memeriksa mayatnya.

Tukang kebun Frank Nakama, 81, yang telah bekerja di kawasan mewah itu selama lebih 40 tahun ketika ditemui oleh wartawan Mail Online memberitahu, kali terakhir dia menyapa Cathriona ialah Jumaat lalu.

"Seperti biasa dia sentias bersopan santun dengan saya...," kata Nakama.

Nakama juga berkata yang dia beberapa kali melihat Jim Carrey datang berkunjung ke rumah Cathriona tetapi tidak menyedari langsung yang orang itu adalah seorang pelakon terkenal mungkin disebabkan penampilannya yang berjambang sejak kebelakangan ini.

Katanya lagi, Cathriona telah menyewa banglo itu lebih kurang empat bulan yang lalu dan merupakan seorang yang pendiam dan jarang bergaul dengan masyarakat sekitar tetapi dia tidak sombong apabila disapa.

Seorang jiran yang enggan namanya disebut berkata, dua rakan perempuan mendiang telah membantunya berpindah ke situ beberapa bulan yang lalu.

Katanya, Cathriona tinggal seorang diri di rumah itu.

"Kami tidak kenal latarbelakangnya tetapi kami mengesyaki dia mungkin terlibat dalam dunia perfileman kerana mampu menyewa kediaman yang mahal seperti itu," ujarnya lagi.



Gambar terakhir Cathriona yang dimuat naik ke laman Instgramnya lima hari sebelum membunuh diri.

Ketika berita dia berpacaran dengan Carrey menjadi heboh dan mendapat liputan meluas di seluruh dunia, jiran-jirannya di kampung asalnya di Ireland, terkejut besar kerana mereka tidak menyangka seorang gadis yang berasal dari kawasan yang didiami tidak sampai 400 orang menjadi kekasih kepada seorang bintang filem terkenal.

Rakan-rakan sekolahnya menyifatkan Cathriona sebagai seorang yang bercita-cita besar.

Selepas menamatkan pengajian menengahnya, Cathriona telah melanjutkan pengajian dalam bidang terapi kecantikan di Limerick College of Further Education.

Selepas tamat pengajian dia bekerja sebagai seorang juruhias di Tipperary, Ireland sebelum berhijrah ke Amerika pada 2009 untuk mencari peluang yang lebih baik.

Di LA, dengan kemahiran dan bakat yang dia ada, Cathriona berjaya memperolehi pekerjaan sebagai juruhias artis untuk siri televisyen The Online Gamer.

Namun begitu sejak 2013, dia tidak lagi menyenaraikan profil kariernya dalam semua laman sosial miliknya.

Sementara itu, Carrey sendiri adalah seorang yang pernah berhadapan dengan depresi dan pernah menjalani rawatan depresi untuk seketika.

Pada 2004, Carrey mendedahkan kepada media yang dia terpaksa mengambil ubat melawan depresi.

"Saya di bawah medikasi Prozac (sejenis ubat anti-depresi) untuk sekian lama," katanya.

Sejak dia berjuang mengatasi masalah depresi, Carrey mengakui yang dia telah berhenti mengambil alkohol sama sekali.

Carrey berkahwin dan bercerai sebanyak dua kali dan mendiang Cathriona adalah kekasihnya yang terkini.

Dia pernah memenangi dua anugerah Golden Globe - satu untuk peranannya dalam filem Man on the Moon dan selepas itu sebagai pelakon terbaik dalam filem The Truman Show.

- Kekasih Jim Carrey Ditemui Mati Bersama Nota Bunuh Diri

SHARING GOOD

0 Comment to "Kekasih Jim Carrey Ditemui Mati Bersama Nota Bunuh Diri"

Post a Comment