Tuesday, 1 September 2015

Lukisan rezeki Ayda Jebat


BUKAN magnet kontroversi... Ayda tidak menjadikan kontroversi sebagai tiket baginya untuk lebih dikenali.

SKEPTIKAL khalayak terhadap keupayaan lakonan anak seni bernama Ayda Jebat mungkin berpaksi pada untaian naskhah yang pernah dijayakannya sebelum ini.

Watak-watak yang disandang oleh wanita bertubuh genit itu seringkali berputar pada paksi selamat, menyebabkan kehadirannya dalam industri sering dipandang remeh.

Mula dikenali menerusi naskhah yang berbentuk santai iaitu drama rantaian komedi Rindu Awak 200%, bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu mengakui dia enggan terus kekal berada dalam zon selesa.

Ujar Ayda, biarlah peminat mengukur kredibilitinya sebagai pelakon berdasarkan bakat yang dimiliki, bukan populariti yang akan pudar dimamah masa.

“Kalau boleh, saya mahu penglibatan dalam industri lakonan dipandang serius oleh masyarakat,” kata Ayda memulakan bicara tentang kariernya yang dipandang enteng.

Tidak begitu mengambil hati, dia mengaku pandangan tersebut barangkali berlabuh kerana namanya mula dikenali menerusi drama bergenre komedi.

“Namun, itu tidak bermakna saya selesa untuk terus membawakan watak-watak seperti itu,” katanya lagi seperti memberi amaran bahawa kemampuan seorang Ayda Jebat boleh pergi lebih tinggi jika diberi peluang terbang bebas.

Biarpun skala popularitinya naik dengan mendadak usai drama yang turut dijayakan oleh pelakon Zul Ariffin itu melabuhkan tirai, namun Ayda percaya, berdirinya seseorang pelakon itu adalah disebabkan oleh bakat dan minat yang mendalam terhadap dunia lakonan.

“Semua orang mampu berlakon. Tetapi, piawaian lakonan dan variasi watak yang mampu dijayakan adalah kunci utama bagi mengukur kualiti yang ada dalam diri seseorang pelakon itu.

“Bagi saya, kelangsungan karier setiap pelakon tidak perlu bersandarkan pada populariti yang diraih semata-mata. Apa yang penting adalah bakat yang dicurahkan bagi mewarnai sesebuah karya yang telah dipertanggungjawabkan,” ujarnya yang tidak mempunyai asas lakonan secara formal.


Walaupun tidak mahu dilabel sebagai pelakon yang sering memainkan karakter klise, Ayda menegaskan, dia tidak pernah bersikap selektif dalam memilih watak yang ditawarkan kepadanya.

Hal ini kerana dia percaya bahawa setiap tawaran yang datang merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dilunaskan sebaik mungkin.

“Saya perlu pastikan untuk memenuhi amanah dengan baik, biar pada orang barangkali watak yang dibawa terlalu ringan dan tidak mencabar,” ujar penerima anugerah MeleTOP Era 2015 bagi kategori Top Top MeleTOP (Wanita) itu.

Sabar dan yakin

Jika diimbas kembali laluan seninya, Ayda bukanlah tergolong dalam kelompok pelakon yang cepat panas.

Sebelum namanya meledak menerusi drama Rindu Awak 200%, kewujudan Ayda yang menggalas predikat sebagai anak seni itu kurang diberi perhatian.

“Selepas disingkirkan daripada Akademi Fantasia musim kesembilan, saya pernah terfikir untuk menyambung pelajaran yang tertinggal.

“Namun, rezeki untuk berlakon pula datang menyapa. Jadi, saya mengambil peluang dan cuba untuk memberi sepenuh perhatian terhadap dunia lakonan,” kata pelantun lagu Siapa Diriku itu.

Begitupun, percaturannya untuk bergelar pelakon selepas gagal dalam pertandingan nyanyian tidak membawa sebarang pulangan segera kepadanya.

“Tiga tahun saya cuba untuk mencipta nama sebagai pelakon, tetapi tidak berjaya. Bukan gagal untuk mendapatkan tawaran, tetapi tidak berpeluang untuk menempatkan diri sebaris dengan pelakon lain.

“Selain itu, pengarah juga hanya memandang saya dengan sebelah mata. Kata mereka, saya tidak boleh meminta bayaran yang tinggi. Tidak sesuai untuk saya demand, tetapi cukup dengan apa yang ditawarkan untuk watak dan taraf saya pada waktu itu,” ujar Ayda tanpa selindung.

Begitupun, dia bersyukur kerana cabaran yang dilaluinya telah membuka banyak peluang selain mematangkan dirinya sebagai seorang pelakon pada hari ini.

Daripada sebutir bintang yang malap kelipnya, Ayda kini mampu menggaris senyuman pada wajah dan berdiri sebaris dengan pelakon pelapis lain.

Kontroversi untuk popular

“Apa yang boleh dikatakan, tempoh tiga tahun itu banyak memberikan pengajaran kepada saya. Sematkan perasaan sabar dan yakin dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

“Dia melukiskan rezeki kita dengan cara berbeza. Jika telah ditakdirkan peluang itu akan sampai, maka ia akan sampai,” ujar Ayda optimis.

Melanjutkan bicara mengenai populariti yang dikecapinya kini, Ayda berkata, dia cuba untuk tidak terjerumus dalam kancah kontroversi.

“Saya tidak mempunyai pengalaman yang banyak untuk bercakap tentang perkara ini, tetapi, saya cuba elakkan diri daripada mencipta sebarang kontroversi.

“Sejauh mana perkara yang tidak baik mampu mengekalkan populariti seseorang artis itu?

“Ya, mungkin namanya akan menjadi sebutan ramai dalam jangka masa tertentu. Tetapi, jika ada pelakon yang sengaja mencipta kontroversi semata-mata mahu dikenali, saya rasa itu merupakan cara yang salah,” katanya.

Lelaki idaman

Menyentuh mengenai perancangan hari tua, Ayda berkata, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk terus bekerja dan mengumpul aset bagi kemudahan pada masa hadapan.

“Pada usia 25 tahun, saya sangat bersyukur kerana sudah mampu untuk memiliki sebuah rumah dan kereta,” katanya.

Ketika ditanya perihal jodoh, Ayda menjelaskan, dia tidak menetapkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman bujangnya.

“Buat masa ini, saya belum terfikir untuk berpacaran. Jika ada jodoh, saya terima.

“Tetapi, buat masa ini saya mahu tumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya,” katanya.

Diusik adakah ciri-ciri lelaki idamannya ada pada Zul Ariffin, sambil tertawa, Ayda berkata: “Saya tidak pernah menetapkan ciri-ciri lelaki idaman yang bakal mengisi hati saya.

“Kadang-kadang, apa yang kita harap, tidak sama dengan apa yang telah dijodohkan oleh Allah. Justeru, apa sahaja yang telah ditentukan, saya terima dengan hati terbuka.”

- Lukisan rezeki Ayda Jebat

SHARING GOOD

0 Comment to "Lukisan rezeki Ayda Jebat"

Post a Comment