Mamat Khalid memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik FFM 27
Pengarah Mamat Khalid meminta pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk menghasilkan filem baharunya bertemakan ketuhanan bagi mengelak karya berkenaan melanggar peraturan tertentu dalam Islam.
Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid, berkata, filem itu banyak menyentuh tentang agama Islam dan perlu dipantau oleh individu yang arif dalam bidang tersebut.
"Saya meminta nasihat dan pandangan daripada Mufti Perak untuk filem terbaru berjudul Lebuhraya Ke Neraka, filem ini adalah filem pertama saya genre ketuhanan.
"Bagi mengelakkan sebarang kontroversi atau menyentuh sensitiviti agama, lebih baik saya minta orang yang pakar untuk menilai skrip dan filem itu dahulu kerana ada beberapa babak berdialog dengan jin.
"Setakat ini sudah dua kali beliau edit dan minta saya betulkan semula," ujarnya kepada mStar Online.
Mamat Khalid berkata, filem tersebut merupakan percubaan pertamanya untuk keluar dari genre yang sudah sebati dengannya iaitu komedi.
Jelas Mamat dia sudah puas mengarah filem-filem komedi seram dan mahu melakukan sesuatu lebih mencabar serta memberi kelainan dalam industri perfileman tanah air.
"Cukup-cukuplah saya buat cerita zombi, saya ingin juga buat kelainan dan hasilkan filem lebih mencabar. Sebab itu juga saya buat cerita ketuhanan yang berbeza sedikit, namun cerita kali ini perlu dihasilkan dengan begitu teliti," ujarnya.
Mamat berkata, filem lakonan Awie, Khir Rahman, Pekin Ibrahim dan Shah Jaszle itu akan ditayangkan pada Februari tahun depan.
Dalam pada itu, Mamat yang memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik menerusi Amir & Loqman Pergi Ke Laut di Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) pada Sabtu lalu menganggap kejayaan itu menuntutnya menghasilkan lakon layar lebih baik pada filem akan datang.
Katanya, kemenangan kali dua tahun berturut-turut dalam kategori yang sama sejak tahun lalu menerusi filem Rock Oo menunjukkan hasil kerjanya sentiasa diperhatikan.
"Ini kejayaan kedua saya dalam kategori sama tahu tahun lalu. Kemenangan ini juga mengingatkan saya agar buat yang terbaik untuk filem-filem seterusnya," ujar Mamat.
0 Comment to "Mamat Khalid Temui Mufti Perak Dapatkan Nasihat"
Post a Comment