Wednesday, 2 September 2015

Nadiya Nisaa Bayaran mesti setimpal!


ACAP kali, bagi sesetengah selebriti yang pernah menerima beberapa anugerah akan dianggap bayaran mereka menjadi lebih tinggi daripada sebelum ini.

Situasi itu dilalui sendiri pelakon, Nadiya Nisaa yang telah pernah memenangi beberapa majlis anugerah hiburan dan namanya juga tercalon bagi beberapa kategori.

“Memang saya biasa dapat tanggapan sedemikian apabila pihak pengarah atau penerbit merasakan bayaran saya akan lebih tinggi setelah menang dan tercalon beberapa anugerah.

“Tetapi sebenarnya, saya bukanlah seperti itu iaitu terlalu 'demand' dengan harga. Apa yang saya mahu katakan, bayaran itu mestilah setimpal dengan apa saya berikan dalam lakonan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27), baru-baru ini.

Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 30 berkata, untuk mengelak salah faham pihak produksi terhadap dirinya, ibu kepada seorang anak ini memberitahu, dia akan terangkan keadaan sebenar kepada pihak mereka.

"Dunia hiburan negara yang kecil sahaja ini, tidak patut rasanya untuk 'demand' harga terlalu tinggi.

“Jadi ikut bayaran yang mampu diberikan produksi mengikut kualiti lakonan kita. Tambahan pastinya produksi faham sejauh mana lakonan kita,” katanya.


Sedia tambah anak

Beralih mengenai kehidupan peribadinya, pelakon yang pernah popular dalam filem Cun ini memberitahu, sebenarnya dia sudah lama bersedia untuk menambah cahaya mata.

“Pada usia anak pertama saya sudah memasuki dua tahun, saya dan suami sebenarnya telah merancang untuk mempunyai anak kedua, namun sehingga kini belum diberikan rezeki.

“Saya memang nak sangat ada anak lagi. Tetapi kami reda jika belum diberikan kesempatan itu,” katanya.

Mengulas pula perasaannya tercalon sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FFM 27 menerusi filem Terbaik Dari Langit, Nadiya berkata, ia menganggap pencalonan itu sebagai satu bayaran kepada penat lelahnya.

“Rasa bersalah saya meninggalkan suami dan anak menjalani penggambaran seperti terbayar selepas tercalon untuk kali ketiga ini.

“Pencalonan itu juga sedikit sebanyak membuang rasa bersalah saya apabila sering meninggalkan anak dan keluarga.

“Kadang-kadang bila saya dalam perjalanan pergi shooting saya akan rasa kasihan dengan anak saya kerana tidak sempat beri dia makan. Sebab itu, bila dimaklumkan berita ini (pencalonan) saya terus beritahu kepada suami dan ibu saya, mereka juga gembira,” katanya.

- Nadiya Nisaa Bayaran mesti setimpal!

SHARING GOOD

0 Comment to "Nadiya Nisaa Bayaran mesti setimpal!"

Post a Comment