Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Presiden Umno ketika sidang media selepas Mesyuarat Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Rabu.
Umno tidak terlibat dalam perhimpunan 'baju merah' yang dijadual diadakan di ibu negara pada 16 September ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun Presiden Umno itu menegaskan bahawa ahli-ahlinya bebas untuk menyertai perhimpunan berkenaan selagi ia tidak melanggar undang-undang sedia ada.
"Umno tidak terlibat dalam penajaan perhimpunan tersebut tetapi kita akui ada pemimin Umno yang mewakili NGO masing-masing merasakan mereka patut terlibat.
"Pendirian Umno, kita mesti patuh kepada undang-undang negara termasuk arahan daripada pihak polis. Apabila dapat arahan, kita mesti patuhi peraturan termasuk tempat dan perhimpunan oleh penganjur.
"Ini adalah negara yang bebas. Jadi sesiapa yang mahu menyertai mana-mana perhimpunan, kita kena patuh pada undang-undang," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn di sini, Rabu.
Bagaimanapun perdana menteri memberi amaran kepada penganjur supaya tidak menjadikan perhimpunan tersebut sebagai platform untuk mencetuskan semangat perkauman.
"Kita tidak boleh dan tidak benarkan kerosakan dari segi keamanan dan ketenteraman negara. Kita tidak boleh jadikan ia sebagai platform yang berbaur perkauman. Ini kita tolak sama sekali.
"Umno berada di atas prinsip bahawa kita berdiri sebagai satu parti bersama rakan-rakan dalam BN. Kita percaya kepelbagaian kaum adalah hubungan dan asas yang penting dalam menentukan kekuatan negara ini," katanya.
0 Comment to "Najib Razak: Umno Tidak Terlibat Perhimpunan Baju Merah"
Post a Comment