Saturday, 12 September 2015

The Maze Runner Lebih aksi, lebih debaran!


Babak dalam filem The Maze Runner.

ENAM remaja yang baru sahaja meloloskan diri dari 'maze' atau lingkaran bahaya angkara ‘W.I.C.K.E.D.’ telah diselamatkan oleh sekumpulan tentera dengan menaiki sebuah helikopter. Mereka kemudiannya diberi penginapan baharu dan dijanjikan perlindungan serta kehidupan yang lebih baik.

Bagaimanapun ia bukanlah kesudahan yang baik buat buat Thomas (Dylan O’Brien) dan beberapa pengikutnya lakonan Ki Hong Lee, Dexter Darden, Thomas Brodie-Sangster, Alexander Flores dan Kaya Scodelario sebagai Teresa.

Penderitaan mereka menerusi The Maze Runner nampaknya belum berakhir setelah kembali diuji dengan lebih hebat menerusi sekuel kedua adaptasi novel popular ini.

Mendapat sentuhan pengarah sama, Wes Ball, filem sains fiksyen ini pernah disamakan dengan The Hunger Games dan Divergent yang mengangkat kisah kemanusiaan dan 'survival' dari adaptasi novel dengan judul sama.

Punya kekuatan dan jalan cerita tersendiri, sekuel kedua dengan judul, Maze Runner: Scorch Trials, bagaimanapun dilihat lebih hebat dengan jalinan plot yang lebih kuat.

Sejak awal penceritaan, filem ini sarat dengan aksi dan banyak babak yang mampu memberi kejutan demi kejutan kepada penonton.

Ia dapat dirasai sebaik sahaja kesemua 'survival' ini ditempatkan dalam sebuah organisasi baharu dengan timbulnya pelbagai kecurigaan. Sebagai ‘gladers’ atau wira, sifat ingin tahu masih mendalam menerusi diri Thomas, maka bermulalah penyiasatannya terhadap organisasi tersebut.

Setelah mendapat tahu bahawa organisasi itu juga merupakan sebahagian dari W.I.C.K.E.D., Thomas dan rakan-rakannya sekali lagi terpaksa menyelamatkan diri.

Namun ia bukanlah perkara mudah kerana cabaran di luar sana nyata lebih hebat. Jika dulu mereka hanya berdepan dengan misteri mez (maze) dengan ancaman dari haiwan pemangsa, kali ini mereka perlu berdepan dengan mayat hidup (zombie) dan
kelompok manusia yang semakin hilang kewarasannya. Malah cabaran-cabaran inilah yang memberikan kelainan buat filem ini. Kenapa? Penonton bukan sahaja dapat merasai debarannya, bahkan turut mengembara sama menerusi kelangsungan hidup manusia yang dibawa menerusi watak-watak ini.


Serangan zombie

Menepati filem bergenre aksi dan pengembaraan, sekuel kedua ini juga boleh dikatakan terlalu banyak elemen itu sehingga membuatkan anda tidak berganjak dari tempat duduk.

Babak melibatkan zombie terutamanya, dilihat agak 'real', di tambah pula dengan solekan dan penggunaan CGI menghidupkan lagi kewujudan spesies itu.

Seperti filem pertama dulu, pengarah masih mengekalkan elemen tanda tanya menerusi setiap naratif penceritaan sehingga penonton sukar meneka apakah yang akan berlaku seterusnya.

Ia dapat dilihat menerusi pengembaraan Thomas dan pengikutnya dalam mencari 'Right Arm', kumpulan penentang yang disebut-sebut mampu memberikan perlindungan kepada mereka.

Pujian juga harus diberikan terhadap seting dan lokasi penggambaran dalam menggambarkan dunia dalam kehancuran. Ia dapat dilihat menerusi bangunan tinggalan dengan tanah yang gersang.

Juga digambarkan keadaan populasi manusia yang merosot dengan kewujudan kasta antara mereka. Bagi golongan yang terpilih, kehidupan mereka lebih selesa. Sebaliknya pula bagi mereka yang terpinggir. Bukan sahaja serba kekurangan, malah sanggup berbunuhan demi kelangsungan hidup.

Bukan sekadar filem aksi semata-mata, filem ini punya kritikan dan mesej tersendiri mengenai sifat kemanusiaan. Di sebalik ancaman dunia, manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa mengorbankan populasi sendiri.

Beralih mengenai lakonan, nyata kesemua pelakon punya karakter tersendiri. Dylan O’Brien (Thomas) misalnya, berjaya menghayati karakter seorang ketua yang berjiwa kental dan sangat mementingkan sikap setia kawan. Malah kemunculan beberapa watak baharu juga mampu memberikan impak yang lebih hebat untuk sekuel ini.

Seperti filem pertama dulu, Maze Runner: Scorch Trials, turut memberikan kejutan di akhir cerita. Kali ini identiti sebenar Thomas dan Teresa didedahkan dan penonton akan faham perjuangan mereka di pihak mana. Dengan kewujudan 'Right Arm' maka tidak hairanlah perjuangan baharu mereka akan diteruskan bagi menentang kekejaman W.I.C.K.E.D. Situasi ini mungkin dapat dilihat dalam sekuel yang seterusnya nanti!



MAZE RUNNER: THE SCORCH TRIALS
PENGARAH: WES BALL
PELAKON: Dylan O’Brien, Thomas Brodie-Sangster, Ki Hong Lee, Kaya Scodelario, Rosa Salazar, Jacob Lofland, Aidan Gillen
Giancarlo Esposito, Barry Pepper, Lili Taylor, Patricia Clarkson
GENRE: SAINS FIKSYEN/ AKSI/PENGEMBARAAN
DURASI: 129 minit
TAYANGAN: 10 September
KESELURUHAN: ***** BOLEH TONTON LAGI

- The Maze Runner Lebih aksi, lebih debaran!

SHARING GOOD

0 Comment to "The Maze Runner Lebih aksi, lebih debaran!"

Post a Comment