Pemandangan Bangunan Perdana Putra dan Masjid Putra dari Jambatan Seri Wawasan agak terbatas akibat jerebu yang melanda Putrajaya apda Jumaat.
Pembenihan awan hanya akan dilakukan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesuatu kawasan mencatatkan tahap tidak sihat untuk tempoh 72 jam secara konsisten, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).
Ketua Pengarah MET, Datuk Che Gayah Ismail berkata, ia adalah sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
"Setakat ini, belum ada kawasan tertentu yang mencatatkan IPU tidak sihat secara konsisten 72 jam, namun MET bersiap sedia sekiranya ada keperluan untuk melakukan pembenihan awan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Tambahnya, terdapat beberapa syarat untuk melaksanakan pembenihan awan antaranya memerlukan keadaan atmosfera yang stabil, kandungan wap air yang banyak di udara serta penghasilan awan 'towering cumulus' yang tinggi dan besar.
Namun dengan cuaca kering dan kurangnya pembentukan awan yang berpotensi membawa hujan, pembenihan awan akan menyebabkan kerugian, katanya, menambah, kos bagi setiap operasi pembenihan awan adalah antara RM50,000 hingga RM80,000.
Che Gayah turut menjangkakan jerebu akan pulih menjelang Oktober berikutan peralihan monsun yang berlaku ketika itu.
Pagi Jumaat, lima kawasan mencatatkan IPU tidak sihat melebihi 100 iaitu Samarahan (177), Kuching (165), dan Sri Aman (164) di Sarawak dan Larkin Lama (111) serta Pasir Gudang (127) di Johor.
Mengikut standard bacaan IPU, 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya berkata, berdasarkan pemantauan kementerian di 17 klinik kesihatan, tidak ada peningkatan pesakit asma, jangkitan saluran pernafasan dan konjunktivitis akibat jerebu.
Beliau berkata, sebanyak 5,070 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan pada minggu ke-35 (30 Ogos-5 September) menurun, berbanding 6,502 kes pada minggu ke-34 (23-29 Ogos).
"Kes asma dan konjunktivitis pula masing-masing 736 kes direkodkan pada minggu ke-35 berbanding masing-masing 837 kes pada minggu sebelumnya," katanya.
0 Comment to "Tiada Keperluan Pembenihan Awan Setakat Ini"
Post a Comment