Friday, 11 September 2015

Transformasi karier, peribadi Akim Ahmad



Sejak ditubuhkan pada tahun lalu, band Akim & The Majistret telah membolot empat anugerah iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik ke-21, Artis Duo/Berkumpulan Popular (Anugerah Bintang Popular 2014) dan Band/Duo MeleTOP serta Lagu MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2015.

Berkaca mata hitam sambil tersenyum, penyanyi Akim Ahmad ramah melayani setiap pertanyaan daripada wakil media yang hadir pada majlis sidang akhbar konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta di Plaza Damas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Butir bicaranya ibarat disusun-susun tanda kematangan selepas enam tahun bergelar insan seni. Ya, Akim kini antara artis paling popular apabila dia menukar haluan daripada seorang penyanyi solo dan bergerak bersama band Akim & The Majistret.

Ironinya, selepas enam tahun bergelar penyanyi, baru kini dia tersedar, jiwa dan muziknya lebih serasi bersama band berbanding ketika bergerak secara solo. Buktinya single bersama band tersebut iaitu Mewangi dan Potret mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Bermula sekadar eksperimen pada tahun lalu, Akim mengaku, kini lebih selesa bergerak bersama band.

“Selepas enam tahun baru saya sedar bahawa saya lebih sesuai bersama band bukannya solo. Memang agak terlewat, tetapi pengalaman mendidik saya secara perlahan-lahan.

“Jujurnya, memang saya lebih selesa dan berkeyakinan apabila bersama Akim & The Majistret.

“Saya banyak belajar dan lebih bebas mencorakkan muzik. Apabila bersama band, semuanya dilakukan secara perbincangan bermula daripada proses rakaman sehinggalah persembahan pentas. Proses berkenaan banyak mematangkan saya sebagai pemuzik dan pengalaman itu tidak akan diperolehi ketika menjadi penyanyi solo,” ujarnya.

Akim & The Majistret yang terdiri daripada Akim selaku vokalis, Wan (dram), Beby (gitar utama), Gjie (gitar), Zimi (gitar), Faoq (bass) dan Afiez Azam (keyboard) merupakan hasil gabungan ahli tiga buah band berbeza iaitu Sixth Sense, Sofaz dan Hyper Act.

Tidak terlintas di fikirannya untuk melupakan kerjaya sebagai penyanyi solo, namun kebelakangan ini dia lebih banyak menerima undangan pentas bersama Akim & The Majistret.

“Saya mengaku lebih selesa apabila mengadakan persembahan secara langsung bersama band kerana nyanyian akan lebih berjiwa. Jika solo biasanya hanya menggunakan minus one, perasaan amat berbeza,” akui Akim.

Tambah anak kelahiran Johor itu, filosofi muziknya kini lebih jelas dan yakin dengan perjalanan kerjaya bersama Akim & The Majistret, meskipun anggota lain masih mempunyai komitmen bersama band asal. Dia juga cukup percaya band tersebut mampu bertahan lama.

“Perpecahan isu biasa dalam sebuah band, tetapi saya yakin dengan Akim & The Majistret. Saya sudah mengenali setiap anggota band cukup lama dan sebelum bergabung kami semua merupakan kawan baik. Saya faham komitmen ahli bersama band asal.

“Tidak timbul sebarang isu kerana kami sudah membuat perjanjian akan memberi komitmen kepada persembahan pentas yang ditawarkan terlebih dulu, tidak kiralah bersama band atau dengan Akim & The Majistret. Jika ada ahli yang tidak dapat memberi komitmen, tempat mereka akan diisi pemuzik gantian,” tuturnya.

Nampaknya Akim semakin yakin dengan hala tuju yang dipilih. Selepas Akim & The Majistret melahirkan album pertama berjudul Patriot pada Ogos lalu, mereka merancang untuk melebarkan muzik sehingga ke Indonesia.

Menariknya, tidak sampai setahun muncul dalam industri muzik tempatan, mereka telah menarik perhatian sebuah band gergasi Indonesia yang menawarkan kerjasama dalam sebuah lagu baharu.

“Saya tidak boleh beritahu band mana kerana belum ada perjanjian hitam putih. Apa yang boleh dikongsi, band dari Indonesia itu yang menghubungi kami terlebih dulu dan menawarkan untuk berduet dalam sebuah lagu.

“Diterima peminat Malaysia sudah satu kejutan, apabila dapat panggilan peribadi daripada salah seorang anggota band terkenal Indonesia dan menawarkan peluang kerjasama, kami seperti tidak percaya,” kata Akim.

Andai kerjasama bersama band terkenal Indonesia itu menjadi kenyataan, ia merupakan batu loncatan untuk Akim & The Majistret memasuki pasaran Indonesia dengan mudah.

“Kami akan ke Indonesia dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan. Tawaran yang datang itu merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada band yang baru setahun jagung seperti kami. Jika kerjasama itu berlaku, ia peluang terbaik dan pembuka jalan kami menjelajah Indonesia,” bicara Akim.


Konsert kerohanian

Beralih bicara kepada perkembangan terbaharu Akim & The Majistret, mereka akan terlibat dalam sebuah konsert amal, Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta pada 31 Oktober nanti di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

Menariknya, konsert anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn. Bhd. itu turut disertai nama-nama besar dari dalam dan luar negara seperti Raihan, Anuar Zain, Opick, Ebiet G Ade, Zain Bikha dan Humood Al-Khudeer.

Dipilih berkongsi pentas dengan nama besar dalam konsert berunsur kerohanian itu merupakan suatu kejutan buat Akim & The Majistret.

“Melihat senarai nama penyanyi lain, kami yang paling muda dan teras muziknya agak berbeza. Pemilihan itu satu penghormatan dan dakwah kami dalam bidang seni.

“Sungguhpun membawa muzik rock, namun lirik lagu kami sesuai dengan konsep kerohanian. Cuma kami akan menukar susunan muzik supaya kedengaran lebih santai dan sesuai dengan konsert tersebut,” ulasnya.

Tidak hanya menyanyikan lagu sendiri, Akim & The Majistret juga merancang mendendangkan lagu saduran daripada penyanyi lain. Apabila disoal lagu yang menjadi pilihan, Akim segera memilih lagu Pelangi Senja dendangan asal oleh Stacy.

Menafikan memilih lagu tersebut kerana Stacy kekasihnya, sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan maksud mendalam liriknya.

“Lagu yang paling saya suka adalah Pelangi Senja kerana liriknya mempunyai maksud tersirat sesuai dengan konsep konsert berkenaan. Tambahan, kami sudah biasa mendendangkan lagu daripada penyanyi wanita. Sebelum ini kami pernah menyanyikan lagu dendangan Ella, Zaiton Sameon dan Datuk Siti Nurhaliza dengan gaya tersendiri,” balasnya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai konsert berkenaan, kata Akim, pihak penganjur mensasarkan mengutip sebanyak RM5 juta untuk disalurkan kepada dua projek utama IRM di Malaysia iaitu Gift of Hope dan Desa Lestri serta disumbangkan ke negara yang memerlukan seperti Palestin, Syria, Bosnia, Bangladesh dan Kosovo.

Buat peminat yang ingin menonton konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta, tiket-tiket berharga antara RM73 sehingga RM383 boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web www.ticketpro.com.my atau hubungi talian 03-8912 6334.

Pengorbanan Stacy

Selain kerjaya cemerlang bersama Akim & The Majistret, nama Akim juga hangat dengan kisah peribadi apabila mendedahkan percintaan bersama Stacy yang kini sudah berusia enam tahun pada Februari lalu.

Bertambah hangat, Akim dikatakan bakal menikahi Stacy dalam masa terdekat apabila penyanyi lagu Pakai Buang itu memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru (JAIS) pada 24 Ogos lalu.

Menafikan khabar angin perkahwinan tersebut, Akim bagaimanapun mengakui bahagia dan gembira apabila kekasihnya terbuka hati memeluk agama Islam atas kehendaknya sendiri.

“Sudah tentu saya bahagia dan gembira dengan keputusan Stacy. Namun, dia masuk Islam bukan kerana ingin berkahwin, tetapi atas pilihan sendiri. Kami tidak akan berkahwin dalam masa terdekat. Beri dia ruang untuk memahami Islam dengan lebih mendalam sebelum perkahwinan berlaku,” pinta Akim.

Sedar pengislaman tersebut merupakan pengorbanan paling besar wanita kelahiran Sabah itu, Akim berjanji untuk mempersiapkan masa depan terbaik buat Stacy.

“Saya tidak pernah memaksanya memeluk Islam. Namun, bohonglah jika saya tidak pernah berfikir bahawa penghijrahannya adalah kerana saya. Pengorbanannya sangat besar. Selepas peluk Islam, banyak perkara yang harus ditinggalkan.

“Janji saya ialah memberikan kehidupan terbaik buatnya. Tiada wanita sempurna di mata saya selain Stacy,” ujar Akim tersenyum malu sebelum mengakhiri bicara.

- Transformasi karier, peribadi Akim Ahmad

SHARING GOOD

0 Comment to "Transformasi karier, peribadi Akim Ahmad"

Post a Comment