Friday, 2 October 2015

30 Pelajar Melayu, Dua Pelajar Cina Di SJK (C) Choon Hwa



Murid-murid di SJK (C) Choon Hwa Batu 18 meninggalkan bangunan sekolah apabila loceng dibunyikan.

Keyakinan ibu bapa bahawa sekolah Cina mampu memberikan keputusan yang lebih baik di samping kelebihan bahasa tambahan telah menjadikan SJK (C) Choon Hwa Batu 18 di sini berkembang.

Hanya dua daripada 32 orang murid di sekolah ini berbangsa Cina. Selebihnya adalah adalah pelajar Melayu dan Orang Asli.

Ibu bapa berbangsa Melayu di Kampung Batu 18 dan kampung-kampung berdekatan berkata sekolah Cina adalah lebih tegas dan boleh membantu anak-anak mereka mencapai keputusan akademik lebih baik.

"Selain itu, mereka percaya bahawa belajar bahasa Mandarin akan memberikan anak-anak mereka satu kelebihan dalam kehidupan," kata Guru Besar Chin Bee Foon.


Seorang penyokong setia pendidikan Cina, Rodziah Lutan, 41, menghantar tiga anaknya ke sekolah itu dan juga sedang merancang untuk mendaftarkan anak bongsunya tahun depan di sekolah sama.

Katanya, mengenali rakan berbangsa Cina telah memberikan anaknya yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi di Kolej Komuniti Hulu Langat lebih banyak peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kolej.

"Setiap kali kolej memerlukan seseorang untuk menterjemahkan bahasa Cina, mereka akan mencari anak sulung saya," katanya.

Melihat kejayaan anaknya yang berusia 19 tahun itu, semua anak Rodziah kini mahu dihantar ke sekolah Cina.

Rodziah berkata beliau sedar bahawa terdapat telah gesaan untuk sekolah-sekolah Cina ditutup.

"Saya tidak mahu sekolah-sekolah Cina ditutup," katanya.

"Saya bangga dengan anak-anak saya kerana mereka telah memperoleh bahasa tambahan."

Penurunan jumlah pelajar di sekolah ini bermula pada tahun 1990-an apabila keluarga Cina berpindah ke Kampung Kenangan 18, sebuah penempatan kediaman baru yang lebih dekat dengan bandar Kuala Lumpur.

Ramai ibu bapa kemudian memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke SJK (C) Batu 14, sebuah sekolah Cina yang terletak hampir 10 kilometer dari Batu 18.

Walau bagaimanapun, mempunyai lebih ramai murid bukan Cina di sekolah ini telah menimbulkan beberapa cabaran.

Wong Chew Li, yang juga penolong kanan (pentadbiran) sejak lapan tahun lalu, berkata bilik darjah adalah satu-satunya platform untuk murid-murid belajar dan bertutur dalam bahasa Cina.

"Apabila mereka pulang ke rumah, mereka biasanya kembali kepada bahasa ibunda mereka," katanya, sambil menambah ini membuatkan penguasaan terhadap bahasa ini menjadi lebih sukar.

Sebagai penyelesaian, kelas pemulihan diadakan selepas sekolah.

"Kami juga memastikan semua murid untuk mengambil bahagian dalam pertandingan bercerita bagi meningkatkan kemahiran bahasa dan bertutur mereka," katanya, sambil menambah ini tidak mungkin dapat dicapai di sekolah-sekolah yang lebih besar.

Chin berkata beliau kagum dengan sokongan ibu bapa, yang berkongsi makanan dengan kakitangan sekolah pada musim perayaan.

"Kanak-kanak juga berinteraksi dengan baik. Tidak ada jurang antara mereka. Mereka seperti bersaudara," katanya.

Sebahagian daripada bekas pelajar memberitahu Chin bahawa mereka merindui saat-saat ketika mereka belajar di sekolah ini.

"Mereka memberitahu saya apa yang paling dirindui mereka adalah guru. Setiap murid dilayan seperti anak sendiri," katanya.

- 30 Pelajar Melayu, Dua Pelajar Cina Di SJK (C) Choon Hwa

SHARING GOOD

0 Comment to "30 Pelajar Melayu, Dua Pelajar Cina Di SJK (C) Choon Hwa"

Post a Comment