Wednesday, 7 October 2015

Amar Baharin Yakin Punyai Aura Dalam Teater Pertamanya


Amar Baharin (tengah) dalam teater pertama lakonannya "Tenggelamnya Kapal Van Da Wijck".

Pelakon Amar Baharin yakin mempunyai aura tersendiri berbanding Remy Ishak yang sebelum ini disebut-sebut bakal membawakan watak utama dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Da Wijck.

Amar, 30, berkata, orang ramai perlu menonton terlebih dahulu pementasan tersebut sebelum memberi komen selain membandingkan keupayaannya di pentas teater.

"Semasa terima tawaran ini saya tepis semua perkara negatif termasuk kekuatan nama pelakon Remy Ishak yang dikatanya sepatutnya membawakan watak saya ini. Remy ada cara dia dan saya pula ada cara saya sendiri untuk tarik penonton.

"Pada saya setiap pelakon ada aura dan kekuatan mereka tersendiri dalam membawakan watak tersebut. Hanya penonton sahaja yang akan rasa aura tersebut pada malam pementasan nanti," ujarnya.

Amar berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media teater Tenggelamnya Kapal Van Da Wijck yang diadakan di Lambang Sari Istana Budaya, petang Selasa.



Berdiri dari kiri: Syarul Ridzwan, Amar Baharin, Amyra Rosli, Karl Shafek dan Nabila Huda (duduk) bakal beraksi dalam Tenggelamnya Kapal Van Da Wijck.

Amar memegang watak Zainuddin dalam teater itu yang akan dipentaskan dari 12 hingga 18 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya di sini.

Sementara itu, Amar berkata, pengarah teater tersebut Muhamad Azhar Zainal turut mempunyai teknik tersendiri bagi membantunya membawakan watak tersebut dengan baik.

"Ini teater pertama saya, banyak yang saya kena belajar dan Alhamdulillah pengarah tahu tentang kelemahan saya dan tidak mahu saya samakan lakonan dalam drama.

"Dia mahu saya memberikan kesungguhan lebih seratus peratus dalam watak ini. Dia juga tidak mahu saya belakon seperti di depan kamera," ujarnya.

Sementara itu, Amar berkata, cabaran utama adalah untuk menghafal skrip yang kebanyakkannya agak panjang dan dilontarkan dalam dialek Minangkabau.

Katanya, biarpun pada asalnya pengarah ingin memotong beberapa skrip agar memudahkannya untuk menghafal, namun dia menolak dan meminta diberikan skrip asal.

Selain itu, Amar berkata, bagi projek teater tersebut, dia telah menolak 10 buah tawaran drama semata-mata untuk memberi fokus terhadap pementasan tersebut.

Teater Tenggelamnya Kapal Van Da Wijck yang merupakan adaptasi sebuah novel tulisan Allahyarham Prof Hamka ini turut dibintangi oleh Nabila Huda, Karl Shafek, Amira Rusly dan Syarul Ridzwan.

Tiket dijual dengan harga RM37.10 sehingga RM170.30 yang boleh didapati secara dalam talian di www.AirAsiaRedTic.com

- Amar Baharin Yakin Punyai Aura Dalam Teater Pertamanya

SHARING GOOD

0 Comment to "Amar Baharin Yakin Punyai Aura Dalam Teater Pertamanya"

Post a Comment