KUMPULAN dari Indonesia, Dadali mengakui selesa membawakan lagu-lagu yang berunsur jiwang dan patah hati.
Menganggap ia sebagai satu kelebihan, kumpulan yang dianggotai oleh Dyrga, Richad, Yuda, Oq, Rixx dan Fadel ini juga tidak kisah sekiranya mereka dilabelkan sebagai kumpulan jiwang.
“Kami mendapati genre ini lebih mendapat sambutan berbanding genre lain.
“Pastinya, semua orang akan merasai pengalaman putus cinta, kecewa dan sedih.
“Oleh itu, kami menghasilkan lagu seperti itu sebagai satu bentuk terjemahan perasaan,” kata Yuda selaku gitaris kumpulan itu.
Tambahnya, kekuatan Dadali adalah melalui lagu dan lirik yang dihasilkan.
“Kami sedar lagu-lagu sebegini berjaya meletakkan di mana kami sekarang.
“Oleh sebab itu, kami tidak kisah jika ramai muka baharu yang muncul mewarnai dunia hiburan,” katanya.
Tidak hanya itu, kumpulan ini juga pernah disangka sebagai artis Malaysia ketika di awal kemunculan mereka dalam industri seni hiburan di Indonesia, kira-kira tujuh tahun lalu.
Hakikatnya, mereka berasal dari Bogor, Indonesia.
“Awalnya dulu, ramai peminat di sana menganggap kami adalah kumpulan muzik dari Malaysia.
“Kami pun tak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul. Tetapi, mungkin juga kerana kami lebih terkenal di Malaysia.
“Namun, syukur kerana kini nama kami semakin stabil di negara sendiri bahkan juga di Malaysia,” katanya.
Malah, Dadali pernah berkunjung ke Malaysia bagi mempromosikan single pertama mereka, Disaat Aku Mencintaimu pada 2012.
Sehingga ke hari ini, lagu tersebut masih lagi menjadi siulan sekali gus melonjakkan populariti Dadali.
Album, single baharu
Kini, selepas tiga tahun, Dadali kembali semula ke Malaysia bagi mempromosikan album kedua, Disaat Sendiri dan single terbaru, Disaat Aku Tersakiti.
“Sebenarnya, album ini sudah berada dalam pasaran Malaysia dan Indonesia sejak Ogos tahun lalu.
“Namun, kekangan masa menyebabkan kami tidak berkesempatan untuk mengadakan promosi di sini,” katanya.
Kata Dyrga, album yang memuatkan 10 lagu itu menerima sambutan baik di kedua-dua negara.
“Album pertama kami menggunakan judul yang sama iaitu Disaat Aku Mencintaimu yang dikeluarkan pada 2010.
“Selepas empat tahun barulah kami berpeluang menghasilkan album kedua yang mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan kesemua 10 lagu itu,” katanya.
Lagu yang dimuatkan dalam album kedua Dadali ialah Disaat Sendiri, Bintang, Mendua, Mimpi Semata, Menjadi Pangeranmu, Aku Telah Berdua, Sakit Hatiku, Maafkanlah, Gadis Bukan Perawan dan Renungan Malam.
Dalam pada itu, berbicara mengenai single terbaharu, Disaat Aku Tersakiti, kata Dyrga, lagu terbabit juga berdasarkan pengalaman percintaan Yuda dan dicipta oleh gitaris itu sendiri selepas album kedua Dadali diterbitkan.
“Inspirasi menghasilkan single itu datang pada saat akhir, jadi ia tidak sempat dimuatkan dalam album kedua.
“Bagaimanapun, kami akan memuatkan lagu itu dalam album seterusnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dadali turut dalam perancangan untuk terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat bagi menghiburkan komuniti Indonesia di sana tidak lama lagi.
0 Comment to "Dadali tidak kisah dilabel artis jiwang"
Post a Comment