Konsert M. Nasir...Kembara akan menutup tirainya pada 7 November depan.
Selepas beraksi di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang (24 Mei), Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September), sifu muzik terkenal Datuk M. Nasir akan mengakhiri sisi jelajah Konsert M. Nasir...Kembara di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 7 November depan.
Menariknya, untuk penutup kembara tahun ini, penganjur konsert, Luncai Emas Sdn. Bhd. mengumumkan diskaun harga sebanyak 20 peratus bagi pembelian secara online untuk semua kategori harga tiket. Pembelian dengan potongan harga berkenaan hanya sah sehingga 7 Oktober ini. Selepas tarikh berkenaan, harga tiket kekal asal.
“Potongan harga ini dibuat sebagai menghargai sokongan peminat setiap M. Nasir sejak berdekad lamanya dalam industri muzik di Malaysia. Ini sebagai insentif dan tarikan awal kepada peminat yang sudah lama merancang untuk menyaksikan edisi akhir Konsert M. Nasir...Kembara di Shah Alam, sejak dimulakan pada Mei lalu.
“Sebagai penerbit, sekali gus penganjur konsert, kami berharap kapasiti Stadium Malawati yang mampu memuatkan sehingga 7,000 penonton akan memberikan ruang lebih kepada peminat tegar M. Nasir untuk datang menonton,” jelas Penerbit Eksekutif Konsert M. Nasir...Kembara, Keon Omar kepada Artis Meletop!.
SELEPAS berjaya dengan jelajah konsertnya di tiga lokasi sebelum ini, Datuk M. Nasir mahu Konsert M. Nasir...Kembara ditutup penuh nostalgia.
Sehingga kini, tiket-tiket berharga RM50, RM100, RM200 dan RM350 telah dibuka untuk jualan secara online menerusi www.ticket2u.biz.
Menurut Keon, sepanjang tiga edisi konsert terdahulu, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang ditunjukkan peminat seluruh tanah air.
“Berbanding di Kuantan, Pasir Gudang dan Pulau Pinang, konsert di Pulau Mutiara pada 5 September lalu dirasakan paling memberangsangkan dari segi sambutan dan kemeriahan. Mungkin kerana ia berlangsung di dewan.
“Jadi, untuk konsert terakhir jelajah yang kembali ke stadium (Stadium Malawati) nanti, cabaran kami ialah strategi untuk menarik lebih banyak penonton.
“Dalam suasana sekarang, kami akui perkara itu agak sukar tetapi kami tidak beralah,” jelas Keon.
M. Nasir yang juga pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali sebelum ini pastinya meletakkan harapan tinggi terhadap konsert berkenaan.
FYNN Jamal akan membuat persembahan pada konsert di Shah Alam nanti.
“Saya mengharapkan konsert tersebut berjalan lancar. Selain persembahan terbaik dan pemilihan lagu-lagu yang digemari peminat, saya juga ada kejutan dengan penampilan artis jemputan pada malam berkenaan. Konsert ini bukan penutup kepada kerjaya seni saya kerana belum terniat di hati untuk bersara sebagai penyanyi. Besar harapan saya, Konsert M. Nasir...Kembara akan meninggalkan suatu kenangan manis, bukan sahaja untuk saya tetapi juga peminat,” kata M. Nasir.
Dijanjikan sebagai konsert penuh nostalgia dengan seleksi lagu hebat yang menjadi hit sepanjang zaman termasuklah Mentera Semerah Padi, Andalusia, Bonda, Apokalips, Tanya Sama Itu Hud Hud, Juwita (Citra Terindah), Raikan Cinta dan Mustika, sama seperti konsert di Johor Bahru, edisi penutup di Shah Alam nanti turut diberi suntikan muda dengan kehadiran penyanyi Fynn Jamal sebagai artis pembuka tirai.
“Setakat ini Fynn Jamal telah memberi persetujuan. Mengenai kemunculan kumpulan Kembara yang pernah dipersoalkan sebelum ini, perkara itu masih menjadi kejutan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Namun, sebelum ini kami mengundang salah seorang anggota Kembara iaitu Zoul yang juga adik M. Nasir untuk bersama-sama konsert di Kuantan dan Pasir Gudang,” jelas Keon.
Sebelum Konsert M. Nasir... Kembara yang turut dibawakan oleh Celcom ini, komposer yang cukup terkenal dengan watak Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang itu pernah menawan Istana Budaya menerusi dua buah konsert iaitu Konsert Sang Pencinta pada 2013 dan Konsert Hati Emas Kembara tahun lalu.
0 Comment to "Diskaun saksikan Konsert M. Nasir...Kembara"
Post a Comment