Friday, 2 October 2015

Kahwin November, Mila Jirin selesa sederhana



Sewaktu awal kemunculan penyanyi kecil molek, Mila Jirin, 27, di dalam industri hiburan, dia sudah mengukir sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia 5 (AF5) dan menjadi pelajar wanita pertama yang pernah memenangi program realiti tersebut.

Itu boleh dikategorikan sebagai sejarah manis buat Mila kerana setakat ini, hanya dia dan Stacy sahaja ‘wanita besi’ yang boleh membolosi penguasaan pelajar lelaki dalam pertandingan AF.

Lapan tahun berlalu sejak kejuaraan itu, pemilik nama sebenar Norsyarmilla Jirin agak tenggelam di sebalik bakat-bakat baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Kali terakhir dia mengeluarkan single sekitar setahun lalu yang merupakan duet bersama Nubhan bertajuk Cinta Kasih.

Senyap bukan bermakna hilang. Setelah sabar menanti, akhirnya single terkini Mila bertajuk Bukan Isteri Sempurna sudah mula berkumandang di corong-corong radio.

Anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu hadir di Studio Utusan bagi sesi fotografi sebagai langkah mempromosi single yang dihasilkan oleh Kunci Demak.

Menurut Mila, dia bersetuju menyanyikan lagu yang juga menjadi lagu runut bunyi drama Bukan Isteri Sempurna kerana liriknya yang mendalam dan juga sebagai satu cabaran terhadap vokalnya kerana jarang membawa lagu balada sepanjang kariernya.

Masih aktif

Mila mengakui sepanjang setahun lalu, dirinya agak menyepi daripada dunia hiburan namun menafikan kerana dia sudah tawar hati dengan lapangan yang memberi banyak rezeki kepadanya. Cuma bagi anak sulung daripada tiga adik beradik itu, dalam tempoh berdiam, dia memang tiada karya yang hendak dihebahkan.




“Saya bukan jenis yang mahu menjaja nama sendiri sekadar untuk diingati. Jika belum ada projek terbaharu, saya akan fokuskan pada keluarga dan juga perniagaan,” katanya yang kini boleh tersenyum bangga dengan tiga perniagaan yang diusahakan bersama keluarga.

Kecil-kecil cili padi, itu simbolik sesuai yang menggambarkan Mila kerana perniagaannya iaitu Bizz_Milla Katering, Baju Kurung Milla dan Restoran Embun Urai sedang berkembang pesat malah semakin kukuh tapaknya.

Namun di sebalik keghairahan membangunkan perniagaan, cinta Mila pada nyanyian masih tidak dapat dihapuskan. Kata Mila, menyanyi mengekalkan kewarasan dirinya setelah penat bekerja.

Jika dahulu Mila menyanyi untuk menyimpan duit bagi berniaga, kini dia menjadikan duit undangan nyanyian sebagai simpanan masa hadapan dan juga untuk melepaskan gian.

“Menyanyi adalah satu terapi bagi saya. Sewaktu berurusan sebagai seorang usahawan, saya harus serius kerana perlu menjadi ketua pada kakitangan saya.

“Bagaimanapun apabila berubah menjadi seorang penghibur, itu sedikit sebanyak membantu melepaskan tekanan kerja,” ujarnya yang memberitahu sepanjang tiada single baharu, undangan nyanyian tetap diterima seperti biasa.

Kurang betah jika tidak menyanyi, Mila berkata meskipun tidak dikategorikan dalam kelompok popular, dia sebenarnya lebih selesa begitu.

Bagi pelantun lagu Persis Mutiara itu, dia melihat menyanyi sebagai hobi yang berbayar. Dia tidak kisah berada pada tahap tengah-tengah di antara popular dan tidak kerana itu menjadikan masanya boleh diatur dengan lebih sempurna.

“Mungkin bagi selebriti lain mereka pentingkan populariti namun bagi saya, selagi ada peminat yang setia menyokong dan dalam masa sama tidak kehilangan waktu bersama keluarga, ianya sudah memadai,” tuturnya jujur.

Cinta lepas nikah

Selepas mula berhijab sejak Ogos tahun lalu, ternyata jodoh wanita itu turut sama mengetuk pintu hati apabila mengesahkan dirinya bakal disunting sebagai isteri hujung tahun ini.

Masih malu-malu saat ditebak tentang persediaan menjadi seorang isteri, Mila berkata dia sedang dalam proses menyesuaikan diri ke arah itu.

“Susah juga hendak melatih diri kerana saya anak mak. Bila terfikir akan tinggal berasingan selepas berkahwin, buat hati saya sedikit tersentuh walaupun rumah yang bakal saya didiami selepas berkahwin nanti hanya 10 minit dari rumah keluarga.



“Kami mula rapat sejak tiga tahun lalu, itupun bukan sebagai pasangan kekasih tetapi lebih sebagai rakan karib. Selepas dinasihatkan keluarga, kami bersetuju untuk menjadikan hubungan ini sebagai satu ikatan yang halal,” ujar Mila yang menyifatkan bakal suaminya memahami dirinya dan boleh memimpin dia dalam menempuh kehidupan.

Menyentuh tentang lelaki yang telah berjaya mencuri hatinya itu, Mila tanpa berselindung berkata mereka adalah kawan baik sejak dia berusia 18 tahun.

Bakal suaminya, Ahmad Ailis Mustapha, 36, atau mesra disapa Isz adalah rakan kongsi dalam perniagaan merangkap mentornya saat dia mula-mula berjinak dalam dunia keusahawanan.

Rancangan untuk bernikah disuarakan oleh keluarga kedua belah pihak kerana mereka terlalu kerap menghabiskan masa berdua terutamanya apabila berkaitan dengan hal kerja.

Berbicara lebih mendalam mengenai persiapan majlis ijab kabul yang dijangka berlangsung sekitar November ini, Mila dan Isz sepakat untuk tidak mengambil sebarang tajaan kerana enggan mengecewakan mana-mana pihak.

Bukan berlagak ataupun tidak sudi, tetapi Mila lebih berpuas hati jika dia dapat menggunakan wang titik peluhnya bagi merealisasikan majlis sekali seumur hidup itu.

“Jika mereka masih mahu menghulurkan bantuan dalam majlis itu boleh, cuma izinkan saya dan bakal suami untuk memberi token penghargaan pada kerja mereka.

“Kalau dapat harga istimewa, apa salahnya. Rezeki jangan ditolak,” ujarnya berseloroh dan menyimpul perbualan.

- Kahwin November, Mila Jirin selesa sederhana

SHARING GOOD

0 Comment to "Kahwin November, Mila Jirin selesa sederhana"

Post a Comment