“BUKAN wang ringgit yang saya perjuangkan. Kalau pun mahkamah putuskan 10 sen sahaja, saya tetap bersyukur sebab apa yang saya cari adalah kebenaran dan membela maruah saya sebagai wanita, isteri dan ibu yang tercalar,” tegas aktres jelita, Rita Rudaini ketika diminta mengulas mengenai kemenangannya dalam kes tuntutan mutaah terhadap suaminya, Aidil Zafuan, Isnin lalu.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah memerintahkan pemain pertahanan pasukan JDT itu membayar kepada bekas isterinya RM30,000 daripada tuntutan sebenar RM300,000 yang dipohon Rita sebagai mutaah.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Mawardi Che Man selepas berpuas hati plaintif, Rita layak membuat tuntutan tersebut.
Bersyukur dengan keputusan yang menyebelahinya, Rita percaya kuasa Tuhan sentiasa menyebelahi orang yang benar.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas kemenangan yang berpihak kepada saya. Sebelum ini pihak sana mengatakan saya tidak layak langsung untuk menerima apa-apa hak biarpun untuk satu sen.
“Syukur, mahkamah telah menolak dakwaan pihak sana dan mahkamah telah putuskan yang saya adalah isteri yang telah diaibkan melalui penceraian dan saya berhak dan layak dapat tuntutan itu,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Rita akui kemenangan yang diperolehnya itu juga telah membuktikan kritikan negatif yang dilemparkan sesetengah pihak adalah tidak benar.
“Segala tohmahan dan cacian dari pihak sana dan orang ramai selama ini tentang diri saya yang mendakwa sayalah punca penceraian berlaku dan tak layak langsung akhirnya terjawab.
“Saya percaya dan berpegang ALLAH sentiasa bersama orang yang benar dan teraniaya kerana Dia lebih mengetahui segala-galanya,” katanya panjang lebar.
Fokus pada anak
Dalam banyak kritikan negatif yang diterima, ada juga segelintir pihak terutamanya mereka yang senasib melihat perjuangan aktres ini sebagai satu inspirasi.
“Nasihat saya cuma jika ada kemahuan kena kita perlu bersabar, kuat dan tabah.
“Harga diri seorang wanita adalah maruahnya dan jangan sesekali kita susah dan derita hanya kerana manusia yang bernama lelaki kerana ia tidak berbaloi!,” tegasnya lagi.
Ditanya sama ada dia serik dalam perhubungan atau tidak, Rita akui mahu lebih fokus pada dua putera kesayangannya, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.
“Saya tak tahu apa yang saya rasa dan saya tak tahu bagaimana mahu gambarkannya.
“Cuma apa yang boleh saya katakan, saya mahu fokus pada anak-anak sahaja,” kongsinya.
Beralih pada perkembangan kariernya, Rita memberitahu bakal muncul dalam filem terbaharu Love Supermoon yang bakal ditayangkan pada 22 Oktober ini.
Selain itu, Rita juga sedang giat menjalankan perniagaan produk kecantikan ‘Rudaini Beaute Skincare’, malah dalam perancangan untuk melancarkan wangian jenama sendiri akhir tahun ini.
0 Comment to "Rita Rudaini Usaha berbaloi"
Post a Comment