Wednesday 18 November 2015

Aliff, Bella tunang setahun


KURANG sebulan dari sekarang, Aliff dan Bella akan melalui fasa perubahan dalam hubungan mereka selepas setahun menyulam kasih sebagai pasangan bercinta.

KURANG tempoh sebulan dari sekarang, penyanyi tinggi lampai, Aliff Aziz bakal bertukar status menjadi tunangan orang sementelah tarikh pertunangannya dengan kekasih hati semakin hampir.

Aliff atau nama sebenarnya, Mohammad Aliff Aziz, 24, bakal melangsungkan majlis pertunangan bersama kekasihnya, Bella Astillah, 21, pada 12 Disember depan bertempat di Plaza Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Mengakui teruja dan dalam masa sama berdebar untuk memikul gelaran baharu, pelantun lagu Sayang Sayang itu berkongsi rasa bahagianya ketika ditemui dalam satu majlis baru-baru ini.

Kurang sebulan Aliff bakal bergelar tunangan orang. Jadi, apa perasaan anda menanti detik bahagia itu?

Syukur, pejam celik sudah tidak lama lagi majlis itu akan tiba. Sudah tentu saya sangat gembira dan teruja, tetapi dalam masa sama saya tetap berdebar. Sebab ini majlis pertama seumpamanya dalam hidup saya (ketawa). Insya-Allah, dalam perancangan kami ingin mengikat tali pertunangan untuk tempoh setahun.


Bagaimanakah dengan persediaan kalian untuk majlis itu nanti?

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dari segi lokasi, persiapan barang, pakaian dan yang berkaitan. Semua persiapan majlis hampir siap sepenuhnya sebab keluarga kami masing-masing memberi komitmen untuk majlis itu nanti. Cuma, dari segi mental dan fizikal, kami perlu betul-betul bersedia bukan hanya untuk majlis ini. Pada tahun hadapan pun, akan ada majlis yang jauh lebih besar, jadi kami perlulah bersedia dari sekarang.

Bagaimana dengan tema dan untuk majlis ini nanti, adakah kalian menerima sebarang tajaan?

Untuk majlis itu nanti, kami memilih tema moden. Ia merupakan pilihan saya sebab saya hanya mahu majlis tersebut berjalan dalam keadaan cukup sederhana tetapi meriah. Mengenai tajaan, Alhamdulillah memang ada yang sudi menaja dan saya rasa sangat bersyukur sebab walaupun agak menyepi kebelakangan ini, masih ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan.

Walaupun masih terlalu awal untuk diperkatakan, tetapi sudahkah kalian memikirkan tentang perancangan majlis perkahwinan pula?

Setakat ini masih belum fikir, sebab apa-apa hal biar majlis pertunangan selesai dahulu. Cuma, kami ada merancang untuk mengadakan tiga buah majlis resepsi. Pertama, majlis pernikahan dan resepsi di Kuala Lumpur sebelum majlis kedua untuk meraikan keluarga dan sanak-saudara Bella yang tidak dapat hadir di Sandakan, Sabah. Kemudian, barulah majlis untuk keluarga saya pula diadakan di Singapura.

Beralih kepada perkembangan terkini, apa yang sedang anda lakukan sekarang?

Selain majlis pertunangan, saya juga sedang sibuk menunggu album baharu siap selewatnya pada hujung tahun ini. Hanya tarikh sebenar masih belum dapat dipastikan. Dalam masa sama, saya sedang giat mempromosi single baharu Selayaknya Aku yang dicipta oleh Faizal Tahir selain lagu duet bersama penyanyi Emma Suhaimi untuk lagu runut bunyi filem Love Supermoon berjudul Dan Lagi Cinta. Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada album ini kerana merupakan material terbaharu selepas agak menyepi daripada dunia seni.

- Aliff, Bella tunang setahun

SHARING GOOD

0 Comment to "Aliff, Bella tunang setahun"

Post a Comment