Monday, 9 November 2015

Firman bikin lagu untuk ibu


FIRMAN mahu lebih fokus dalam industri muzik bagi mengelakkan namanya terus tenggelam akibat persaingan sengit daripada penghibur baharu.

MUZIK itu bersifat universal. Menerusi muzik, pelbagai kisah dapat diterjemahkan menerusi penulisan lagu, lalu dirangkumkan menjadi sebuah karya yang bakal terpahat di ingatan sampai bila-bila.

Bagi penyanyi Firman, berpeluang menulis dan mendedikasikan lagu buat ibunya, Painah Tambanan sewaktu masih bergelar pelajar Akademi Fantasia 2014 (AF2014) tahun lalu merupakan satu perkara yang tidak mungkin akan dilupakan.

Kongsi juara AF2014 itu, karya yang diberi judul Kau Yang Satu digarap ketika pengetua program tersebut, Datuk Hattan meminta para pelajarnya untuk mencipta karya sendiri.

“Datuk Hattan ada meminta kami untuk menulis lagu sewaktu masih di dalam akademi. Pada waktu itu, saya terus teringat ibu saya dan mendapat ilham untuk menulis tentang pengorbanannya.

“Walaupun tidak dinyanyikan pada konsert akhir AF2014, namun, saya berbangga kerana karya tersebut terpilih untuk dimuatkan dalam album debut saya yang berjudul sama,” tutur Firman atau nama lengkapnya Mohd. Firman Bansir, 26, pada majlis pelancaran albumnya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melanjutkan bicara mengenai lagu tersebut, Firman menyifatkan Kau Yang Satu sebagai hadiah istimewa yang pernah diberikan untuk ibunya.

“Saya bukan manusia yang sempurna. Sejak kecil, banyak perkara yang dilakukan sehingga menyebabkan ibu susah hati.

“Jadi, lagu ini saya jadikan sebagai aspirasi untuk ibu dan dalam masa yang sama memberi kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepadanya,” ujar Firman lagi.

Ditanya adakah ibunya mengemari karya sulung ciptaannya itu, Firman berkata: “Walaupun ibu saya masih belum mendengar Kau Yang Satu, saya percaya, dia masih menjadikan lagu Kamelia nyanyian Datuk Ramli Sarip sebagai lagu kegemarannya,” ujar Firman berseloroh.



FIRMAN bersama ibunya, Painah Tambanan (kanan) dan ayahnya, Bansir Arban sewaktu meraikan kemenangannya sebagai juara Akademi Fantasia 2014 tahun lalu.

Peluang

Melihat pada statusnya sebagai juara AF2014, nama Firman seperti tenggelam dek bakat baharu yang jauh lebih dikenali daripadanya.

Bahkan, status juara yang digalas jejaka kelahiran Tawau, Sabah itu tidak mampu memberi jaminan untuk meletakkan dirinya sebaris dengan mereka yang telah selesa berada di atas puncak populariti.

Bercakap mengenai namanya yang agak suram sepanjang tempoh setahun bergelar penyanyi, Firman berpendapat, dia sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri agar lebih stabil pada masa akan datang.

“Bukan mudah untuk berada di puncak, lebih-lebih lagi dengan persaingan yang agak sengit dalam kalangan penghibur baharu.

“Akim (Akim & The Majistret) pernah memberitahu saya, dia juga mengambil masa untuk menggenggam apa yang dia ada sekarang.

“Jadi, saya hanya perlu menggandakan usaha dan tidak mudah putus asa jika mahu bergelar penyanyi berjaya,” katanya.

Berkongsi mengenai proses pembikinan album Kau Yang Satu, Firman berkata, dia berasa sungguh bertuah kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan komposer tersohor negara.

Antara komposer yang mencurahkan karya kreatif mereka termasuklah Edry Abdul Halim, M. Nasir dan Omar K.

“Jujur saya katakan, peluang bekerja dengan nama-nama besar sememangnya satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.

“Banyak perkara yang dikongsikan termasuk nasihat berguna seperti tidak mudah sombong dan sentiasa merendah diri walaupun sudah bergelar selebriti ternama,” katanya menutup bicara.

- Firman bikin lagu untuk ibu

SHARING GOOD

0 Comment to "Firman bikin lagu untuk ibu"

Post a Comment