ROSSA teruja untuk menghiburkan peminatnya di selatan tanah air dalam rangka Konsert Pesona Cinta Rossa Di Johor pada 25 November depan.
Tahun ini, usia penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa sudah berusia 37 tahun. Tahun ini juga, lima tahun beliau meledani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada seorang cahaya mata berusia sembilan tahun, Rizki Langit Ramadan. Dalam masa sama, 2015 merupakan tahun ke-17 beliau aktif menyanyi sejak kali pertama memasuki industri hiburan republik itu pada 1988.
Hari ini, nama Rossa begitu harum bukan sahaja dalam kalangan peminat di Indonesia, tetapi juga Malaysia, Singapura dan Brunei. Untaian lagu cinta yang sering menjadi ‘pelurunya’ tidak pernah gagal menghiburkan khalayak. Jika dicampur usia dan nilai aktifnya sebagai pelaku seni, Rossa seharusnya sudah boleh menghembus nafas lega. Beliau sudah boleh memilih untuk tidak terus muncul dalam banyak acara, sebaliknya menjadi lebih eksklusif selain membikin album dengan jeda waktu yang agak jauh. Bagaimanapun, penyanyi yang sinonim dengan lagu Pudar itu tidak memilih cara sedemikian.
“Saya akan jadi malas, tidak produktif sekali gus hilang kreativiti jika tidak terus aktif. Hal itu yang saya tidak mahu kerana gembira menyanyi dan melalui pekerjaan inilah saya memperoleh kebahagiaan bukan sahaja dari segi material tetapi perhubungan dengan orang sekeliling,” begitu jawab Rossa saat ditanya tentang keperluannya bekerja keras sedangkan sudah mempunyai nama yang kukuh sebagai penghibur hebat.
Kata Rossa lagi yang ditemui dalam majlis santai sempena Konsert Pesona Cinta Datuk Rossa Di Johor, di Hotel Royale Chulan, Damansara, Kuala Lumpur, dengan dikelilingi banyak pendatang baharu dalam dunia muzik, beliau memiliki lebih banyak inspirasi untuk terus menghasilkan produk berkualiti.
Bagaimanapun, wanita itu tidak menolak kerjayanya akan sedikit dikendurkan jika berkahwin, namun untuk mengucapkan selamat tinggal terhadap bidang ini, tidak sama sekali. Kahwin, satu soalan klise yang sudah dihadam Rossa sejak beliau bercerai dengan pemain drum kumpulan Padi sekitar tahun 2000 dahulu. Biar akrab dan sering diasak mempunyai hubungan asmara dengan penyanyi Afgan, ternyata, bukan lelaki itu pilihannya.
Malah, akui Rossa yang sudah memiliki teman lelaki sejak tiga tahun lalu, beliau belum memikirkan halu tujunya untuk kembali berumah tangga.
Menjelaskan dirinya boleh untuk terus berdiri sendirian, tetapi beliau tidak boleh menolak hakikat setiap perempuan perlu memiliki seorang lelaki sebagai pendamping hidup.
“Sebagai seorang wanita yang pernah berumah tangga, memang ada rasa rindu untuk berkahwin semula, tapi saya tidak memikirkannya lagi buat masa ini. Biarlah dahulu tentang aturan jodoh, tapi yang pasti bukan Afgan. Kami tidak mempunyai hubungan istimewa kerana saya sendiri sudah tiga tahun memiliki teman lelaki. Saya juga menolak poligami!,” dedah Rossa yang turut memberitahu perhubungan cinta yang dirahsiakannya ini merupakan cinta keduanya selepas bercerai.
Diasak lagi tentang kehidupannya yang cukup sempurna pada mata orang lain, malah mampu menimbulkan hasat dengki, Rossa hanya ketawa. Ringkas jawapannya: “Kadang-kadang kita tidak punya apapun, orang dengki, Jadi jangan difikir sangat.”
Mengalih kemudi bicara kepada tujuan asal Rossa ke Malaysia, penyanyi itu teruja untuk menghiburkan peminatnya di Johor Bahru pada 25 November depan. Konsert tersebut selain persembahan besar sulung Rossa di selatan tanah air, merupakan rantaian daripada persembahannya di Istana Budaya beberapa bulan lalu. Justeru, Konsert Pesona Cinta Datuk Rossa Di Johor masih mengekalkan konsep sama dengan sedikit penambahbaikan dalam beberapa pemilihan lagu.
“Tidak banyak perubahan tentang konsep persembahan, namun saya mengubah sekitar 30 peratus pemilihan lagu. Misalnya untuk persembahan di Johor ini saya akan membawa lagu Tanjung Puteri untuk memikat hati peminat di negeri tersebut.
“Besar harapan saya konsert ini akan mampu menarik kedatangan peminat dari Singapura dan juga Batam,” katanya yang akan menghiburkan peminat selama dua jam.
Rossa turut memberitahu, konsert yang dianjurkan oleh Insight of Indonesia (IOI) itu sengaja memilih Johor sebagai destinasinya kerana negeri tersebut menjadi sempadan di antara Singapura dan Batam, sekali gus bertepatan dengan konsep Kementerian Pelancongan Indonesia.
“Sebenarnya selain Johor, kami juga mempunyai sasaran untuk memanjangkan konsert ini ke Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan. Semoga ia menjadi kenyataan,” katanya lagi menutup bicara.
0 Comment to "Rezeki cinta Rossa"
Post a Comment