Monday 16 November 2015

Lisa Surihani sedia kembali aktif



Lisa dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem hasil lakonannya dalam filem seram-psiko, Dendam Orang Mati arahan Jason Chong.

DIAM tak diam, sudah hampir tiga bulan aktres cantik, Lisa Surihani bergelar ibu kepada puteri, Yahaira Leanne yang lahir pada 15 September lalu.

Biarpun masih baharu bergelar ibu, Lisa nampaknya tidak mengambil masa yang lama untuk kembali mewarnai industri seni.

Terbaharu, Lisa berkata, dia akan kembali aktif mulai hujung bulan ini dan bakal sibuk dengan penggambaran sebuah program berkonsep edu-taiment terbitan Red Communications.

Tidak tampil berseorangan, Lisa akan turut bergandingan dengan suaminya, Yusry Abdul Halim dalam rancangan yang akan disiarkan di saluran Astro itu.

“Hujung bulan ini saya akan mula bekerja bersama kerja suami untuk sebuah rancangan untuk Astro. Ia bukanlah sebuah program realiti tetapi pengisiannya untuk para ibu bapa kerana ia tentang perihal misalnya kehamilan ibu, proses berpantang dan sebagainya.

“Bukan juga tentang pengalaman kami sebagai ibu bapa tetapi konsep secara amnya, kami berborak dan berbincang serta mendapatkan rujukan daripada pakar antaranya pakar perubatan," katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Bagaimana ujar Lisa buat masa ini pihak pengurusannya iaitu Astro Management memberi kelonggaran kepadanya untuk memberi tumpuan kepada anak buat sementara waktu.

"Alhamdulillah Astro beri saya kelonggaran untuk menerima tawaran baik drama mahupun filem pada tahun depan.

"Buat masa ini mereka memberi ruang untuk saya uruskan anak sebab baru saja selesai proses berpantang, saya masih lagi menyesuaikan diri dari segi pengurusan masa dan sebagainya," jelasnya.


Lisa yang membuat kemunculan kali permata selepas bergelar ibu, pada malam Anugerah Skrin 2015 yang berlangsung di PWTC, pada Ahad, turut dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem hasil lakonannya dalam filem seram-psiko, Dendam Orang Mati arahan Jason Chong.

“Kebetulan sudah habis berpantang, jadi saya datanglah selain ingin berjumpa dengan teman-teman artis yang lain.

“Alhamdulillah, tak sangka menang. Rezeki anak juga agaknya ni,” katanya yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK2012 menerusi filem Ombak Rindu.

Berkongsi pengalamannya bergelar ibu, Lisa berkata, dia masih menikmati saat-saat indah bergelar ibu dan ayah.

Katanya, mereka gemar memanjakan puterinya itu dan kadang kala memanggilnya dengan nama Yahaira dan ada kala dengan nama Leanne.

"Nama panggilan memang macam-macam, selain nama sebenarnya, kadang kala kami turut panggilnya dengan nama manja. Saya rasa kami sama-sama memanjakannya. Tapi saya rasa dia daddy's girl.

"Kalau dulu kami hanya bertanya jadual masing-masing tapi sejak ada anak, dialah yang menjadi keutamaan kepada kami," ujar Lisa ketika ditemui baru-baru ini.


Belum sedia dedah gambar anak

Di tanya bilakah dia akan berkongsi gambar anaknya melalui media sosial, Lisa berkata, buat masa ini dia belum bersedia untuk berkongsi perkembangan anaknya melalui media sosial.

Apatah lagi ujar Lisa, semenjak mendedahkan dua foto anaknya di media sosial, timbul beberapa akaun media sosial menggunakan nama anaknya.

"Saya dan Yusry sudah pun berbincang mengenai hal ini dan kami rasa Yahaira masih terlalu muda unduk didedahkan kepada orang ramai. Akan tiba waktunya nanti saya perkenalkan kepada semua.

"Sebagai ibu bapa, ada sebab mengapa kami tidak dedahkan gambar anak. Antaranya ialah faktor keselamatan di laman sosial. Kecanggihan teknologi masa kini membuatkan kita tak boleh sekat ke mana gambar itu akan pergi.

"Kes gambar anak selebriti ke laman yang tidak sepatutnya membuatkan saya berasa agak bimbang. Selain itu, bayangkan dengan hanya dua gambar Yahaira yang dedahkan di laman sosial, kini sudah ada tujuh akaun atas namanya.

"Jadi kalau boleh biarlah dia sendiri nanti yang menentukan sama ada akan membuka laman sosial sendiri atau tidak,” jelasnya.

- Lisa Surihani sedia kembali aktif

SHARING GOOD

0 Comment to "Lisa Surihani sedia kembali aktif"

Post a Comment