Monday 16 November 2015

Ramli Sarip: Isu tarik diri, tak bayar elaun selesai


DATUK Ramli Sarip diberi peranan sebagai Otai atau penasihat bagi membimbing bakat baharu dalam Rockers.

PROGRAM realiti Rockers tetap diteruskan meskipun pada awalnya dicemari isu penarikan diri beberapa peserta yang mengadu tidak dibayar elaun seperti yang dijanjikan pihak penerbitan.

Menyifatkan isu tersebut telah selesai, pihak KRU Studios diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Sahimy berkata, pihak mereka dan peserta yang terlibat sudah mencapai kata sepakat. Rockers harus terus dijalankan walau apa jua kontroversi yang berlaku.

“Saya rasa isu ini sudah selesai. Sebelum ini, kami telah tawarkan elaun kepada peserta, namun mereka masih enggan terlibat dalam pertandingan ini walaupun pada awalnya sudah setuju bahawa tiada elaun akan diberikan.

“Jadi, pihak kami tiada pilihan selain meneruskan kelangsungan program ini dan terpaksa melakukan uji bakat semula untuk menggantikan enam peserta yang menarik diri sebelum ini. Ia sekali gus menggenapkan bilangan peserta yang terpilih sebanyak 12 orang,” ujarnya pada sidang akhbar memperkenalkan 12 peserta Rockers di KRU Studios, Cyberjaya baru-baru ini.

Rizal turut memberitahu, Rockers juga seperti program-program realiti lain yang mempunyai misi sendiri.

“Sama seperti Akademi Fantasia, saya percaya pada awal pembikinan rancangan realiti tersebut ia bermula tanpa apa-apa sebelum menjadi fenomena rakyat Malaysia dengan sekelip mata musim demi musim.

“Rockers juga seperti itu. Insya-Allah, pada masa akan datang atau musim seterusnya ia akan bertambah baik dan segalanya akan mengikut perancangan seperti yang direncanakan,” katanya.

Sementara itu, Otai (penasihat) program realiti berkenaan, Datuk Ramli Sarip positif, peserta yang dipilih mempunyai bakat yang unik dan harus diketengahkan sebaik mungkin terutama dalam jalur muzik rock ‘n’ roll.





SERAMAI 12 peserta Rockers sedia berentap dalam pertarungan sulung program realiti tersebut.

“Untuk mencapai status penyanyi rock yang sebenar bukan mudah, mereka (peserta) harus mempunyai semangat juang yang tinggi. Mereka perlu tahu apa arah tuju dan kemahuan dalam muzik rock.

Faktor X

“Saya mencari peserta yang mempunyai faktor X yang lengkap dari segala segi untuk menjadi penyanyi rock disegani pada masa depan. Jadi, mereka akan diberikan suntikan ilmu pengetahuan dan pandangan sepanjang program ini berlangsung,” luahnya.

Tambah Ramli lagi, semua peserta yang terpilih masing-masing mempunyai bakat tersendiri dan tugasnya adalah untuk mengasah lagi bakat mereka supaya boleh bersinar sebagai bintang rock tanah air.

“Saya juga ketika bermula sebagai penyanyi adalah seperti mereka. Mereka mempunyai suara yang baik. Namun, suara yang baik sahaja tidak cukup untuk berjaya dalam industri terutama sebagai penyanyi rock.

“Muzik rock bukan sekadar menjerit tidak tentu pasal. Mereka perlu menghayati lagu yang disampaikan sebaik mungkin supaya penonton rasa persembahan dan percaya dengan bakat yang ada dalam diri mereka,” katanya.

Bercakap mengenai sama ada peserta hanya dihadkan dengan tugasan menyanyi lagu bergenre rock setiap hari, Ramli memberitahu, tugasan setiap minggu adalah berbeza termasuk menyanyikan lagu-lagu bukan rock. Namun, peserta sendiri harus mencari jalan untuk menjadikan lagu tugasan mempunyai jiwa rock.

Bakal disiarkan di saluran HyypSensasi (116) HyppTV, Rockers turut mengangkat bintang ternama tanah air seperti Tam Spider dan Kudsia Kahar sebagai juri tetap. Sementara itu, Sofi Jikan ditugaskan sebagai Abang Long (pembimbing peserta).

Seperti konsep program realiti lain, Journal Harian Rockers akan mula ditayangkan pada 23 November ini, manakala konsert mingguan pertama pada 19 November.

Dua belas peserta yang bakal menggegarkan pentas Rockers ialah Muhammad Redha Khairul (Redha), 19, Awal Fitri Abdullah (Awal), 27, Muhammad Iskandar Abdul Halim (Dans), 20, Mohd. Azwarul Asyraf Mad Nasir (Ash), 24, Muhammad Ikhtiman Che Ismail (Iman), 25, Shamin Iqwan Ahmad Khairi (Shamin), 23, Ayrool Azrul Mohd. Khairi (Ayroll), Mohd. Faizal Ismail (Jai), 24, Nor Suhaila Saadon (Sue), 25, Zarith Sofea Md. Yasin (Zarith), 23, Kamilia Razwanis Kamarudin (Liawanis), 25 dan Rasmawati Thamrin (Nona), 20.

- Ramli Sarip: Isu tarik diri, tak bayar elaun selesai

SHARING GOOD

0 Comment to "Ramli Sarip: Isu tarik diri, tak bayar elaun selesai"

Post a Comment