Monday 16 November 2015

Berhijab, Syatilla Melvin elak sentuh pelakon lelaki


SYATILLA MELVIN berpendapat usia muda bukan halangan untuk berhijab.

SEJAK kebelakangan ini, ramai selebriti wanita dilihat mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengenakan hijab selepas mendirikan rumah tangga.

Tidak kurang juga ada segelintir yang terlebih dahulu menutup aurat sebelum melangsungkan majlis pernikahan.

Justeru apabila pelakon cantik, Syatilla Melvin mengambil keputusan untuk mengenakan hijab sekitar dua minggu lalu, ada segelintir yang berpendapat bahawa dia bakal menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi Kosmo!, Syatilla, atau nama lengkapnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 24, berkata, penghijrahannya itu tidak mempunyai kaitan dengan desakan atau permintaan mana-mana pihak.

Pelakon yang kerap dikaitkan mempunyai hubungan dengan Shaheizy Sam itu menambah, hasrat untuk mengenakan hijab telah lama datang beberapa bulan yang lalu.

Dalam pada itu, Syatilla turut melahirkan rasa syukur kerana diberi hidayah untuk mengenakan hijab pada usia yang muda.

Kosmo!: Tahniah Syatilla kerana kini sudah berhijab. Sejak bila sebenarnya anda benar-benar berhijab?

Syatilla: Terima kasih. Saya kini sudah berhijab sepenuhnya sejak dua minggu yang lalu.

Sejak mengenakan hijab, ada yang mengatakan anda bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Benarkah dakwaan tersebut?

Sebelum mengenakan hijab, saya sudah boleh agak soalan seperti ini akan diajukan. Bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa keinginan untuk berhijab datang daripada diri saya sendiri, bukan desakan orang lain. Bagi saya, jika mahu berhijab, mengapa perlu menunggu saat sebelum berkahwin? Hidayah itu datang dengan sendirinya.



PELAKON ini menegaskan, dia tidak berhijab kerana desakan orang lain atau mahu berkahwin.

Apakah yang mendorong anda untuk mengenakan hijab?

Rasa untuk berhijab datang sewaktu saya sedang menjayakan penggambaran drama bersiri Cinta Samar. Namun, hasrat hati terpaksa ditahan kerana saya perlu menjaga kesinambungan drama tersebut.

Bagaimanapun dari sehari ke sehari, rasa ingin berhijab semakin menebal. Alhamdulillah, sebaik sahaja tamat penggambaran, saya terus mengenakan hijab.

Apakah status hubungan anda dengan Shaheizy Sam?

Kalau boleh, saya tidak mahu bercerita dan mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

Pada pendapat anda, adakah tidak terlalu awal untuk mengenakan hijab pada usia 24 tahun?

Seperti kita sedia maklum, menutup aurat merupakan perkara yang dituntut oleh agama. Jadi, umur bukan alasan untuk melewatkan rasa ingin menutup aurat. Lagipun, sebelum ini saya sudah puas menggayakan pelbagai stail rambut. Saya percaya, setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya.

Tidak gusar tawaran berlakon berkurangan selepas berhijab?

Pada pandangan saya, itu bukan penghalang. Walaupun sudah berhijab, tawaran masih ada. Saya kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri untuk TV AlHijrah berjudul Kemboja Di Hati.

Adakah selepas ini anda bakal meletakkan syarat apabila digandingkan dengan pelakon lelaki dalam drama mahupun filem?

Apabila sudah bertudung, adab dan kesopanan sebagai seorang wanita perlu dijaga. Jika boleh, saya akan elak watak yang memerlukan bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Adakah anda merancang untuk terlibat dalam bisnes perniagaan pakaian?

Buat masa ini, saya akan mengembangkan perniagaan pakaian Muslimah, Bella Luna yang turut diusahakan oleh kakak saya.

- Berhijab, Syatilla Melvin elak sentuh pelakon lelaki

SHARING GOOD

0 Comment to "Berhijab, Syatilla Melvin elak sentuh pelakon lelaki"

Post a Comment