Monday 16 November 2015

Arah bisnes Nora Danish



GOLONGAN selebriti dan lapangan perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Sejak dahulu, kebanyakan selebriti mengambil inisiatif untuk menjalankan perniagaan bagi menambah pendapatan sampingan.

Ditambah dengan kebanjiran platform media sosial dan kemestian sambungan internet dalam masyarakat, menjadikan bisnes golongan selebriti menerusi Instagram masing-masing contohnya, pantas mendapat sambutan umum.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat bahawa selebriti tempatan sekadar menggunakan nama dan populariti untuk melariskan produk atau servis yang ditawarkan kepada pelanggan.

Skeptikal itu bertambah ketara apabila produk perniagaan yang dijalankan agak ‘bertentangan’ dengan personaliti empunya badan.

Sebagaimana bisnes yang baru diteroka oleh Nora Danish, umum mengetahui aktres itu tidak tampil sebagai wanita berhijab tetapi muncul sebagai peniaga tudung yang disifatkan sebagai bertentangan dengan imejnya.

Hal itu juga meletakkan Nora dalam zon seorang usawahan yang oportunis atau bijak mengambil peluang mengikut trend.

Daripada dua bola mata Nora, perkembangan tersebut dilihat sebagai satu monopoli yang positif. Dia yang baru sahaja melancarkan koleksi tudung baharunya, Owl by Nora Danish itu berkata, platform sebagai seorang anak seni seharusnya digunakan sebaik mungkin agar manfaatnya dapat dikongsi bersama peminat dan khalayak umum.

“Bagi saya, ia merupakan perkara normal yang sering berlaku dalam atmosfera dunia hiburan tempatan.

“Jika mahu berjaya, kita perlu bijak menggunakan peluang yang ada. Ditambah dengan nilai yang ada pada produk, setiap apa yang kita usahakan pasti akan berjalan dengan sempurna,” tutur Nora membuka bicara usai majlis pelancaran koleksi sulung tudungnya di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd. Danish Hanif berkata, monopoli itu seharusnya dilihat secara positif memandangkan produk yang dipasarkan mampu membawa kebaikan kepada orang ramai.

“Saya lihat perniagaan tudung ini sebagai satu perkara yang sangat positif. Saya mahu apa yang dipasarkan dapat memberi kebaikan kepada orang lain.

“Lebih membanggakan, ada juga dalam kalangan peminat yang sebelum ini belum bertudung terbuka hati untuk menutup aurat kerana membeli tudung yang dijual golongan artis,” katanya yang menyifatkan bisnes tudung sebagai salah amal kebajikannya sebagai seorang manusia.



Nora menyifatkan burung hantu sebagai simbolik misteri dan kebijaksanaan serta mempunyai daya pemerhatian yang tajam.

Persepsi masyarakat pastinya berbelah bahagi apabila wanita berusia 33 tahun itu mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan menjual tudung. Ironi, pelakon filem Suami Aku Ustaz itu sendiri belum bersedia untuk menutup aurat sepenuhnya.

Mengakui mencari peluang untuk berubah ke arah kebaikan, Nora melihat langkah mulanya sebagai pengusaha tudung mampu membuka pintu jiwanya untuk berhijab suatu hari kelak.

“Perniagaan tudung merupakan satu perniagaan yang baik dan ramai orang akan mendapat manfaat daripadanya. Jadi, saya berharap dengan adanya perniagaan ini, saya sendiri akan terbuka hati untuk bertudung, insya-Allah,” ujarnya sambil tersenyum.

Burung hantu

Berbicara mengenai burung hantu sebagai simbol jenama koleksi tudungnya, Nora berkata, pemilihan tersebut tiada kaitan dengan mitos atau kepercayaan karut sesetengah kaum mengenai haiwan jenis karnivor itu.

Ungkap Nora, burung hantu merupakan simbolik terhadap kebijaksanaan selain turut melambangkan sikap yang suka memerhati.

“Saya suka sifat yang ada pada burung hantu. Ia penuh misteri dan matanya yang besar turut melambangkan kebijaksanaan dan sikap yang suka memerhati. Bagi saya ia merupakan satu pilihan jenama yang unik,” ujar Nora yang tidak mahu menggunakan namanya semata-mata untuk dijadikan jenama produk.


Sibuk memberi fokus terhadap bisnes, Nora bercadang untuk memperlahankan karier lakonannya selepas kontrak dengan MIG tamat penghujung tahun ini.

Melanjutkan perbualan mengenai koleksi tudungnya itu, Nora memberitahu, Owl by Nora Danish mula memasuki proses produksi sejak awal September lalu.

“Selain tujuh rekaan tudung, saya turut memasarkan tiga jenis jubah Muslimah yang boleh disuai padan mengikut acara. Buat masa ini, kesemua rekaan tudung dan jubah Owl by Nora Danish boleh didapati secara online menerusi akaun Instaram @owlbynd. Pada yang sama, saya juga telah melantik 33 stokis bagi memasarkan rangkaian koleksi ini di seluruh negara termasuk Singapura,” katanya lagi.

Kontrak MIG

Sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan sekitar 10 tahun lalu, bacaan graf kerjaya seni Nora tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bakal menurun.

Selepas berjaya mencipta nama menerusi sitkom Puteri yang pernah disiarkan pada 2005, Nora kemudian mencuba nasib sebagai pelakon layar perak menerusi naskhah debutnya berjudul Gila-Gila Pengantin Popular.

Bertitik tolak daripada situ, dia terus dikenali sebagai pemain filem dan antara filem-filem yang pernah dijayakannya termasuklah Aku Terima Nikahnya, Seru, Bencinta dan terbaharu Polis Evo.

Mengakui sudah tiba masanya untuk beralih angin, kata Nora, dia bakal memperlahankan kariernya sebagai pelakon selepas kontraknya bersama MIG tamat pada akhir tahun ini.

“Sejak menceburi bidang perniagaan, saya memang bercadang untuk memperlahankan langkah saya dalam bidang lakonan. Lebih-lebih lagi kontrak saya bersama MIG akan tamat tidak lama lagi.

“Selepas kontrak tamat, saya bercadang untuk bergerak sendiri dan mungkin menjadi lebih selektif terhadap karya-karya yang ditawarkan,” jelas Nora.

Tidak berasa keputusan yang diambil itu agak tergesa-gesa, Nora berkata, dia mahu memberi fokus sepenuhnya kepada bidang perniagaan yang sedang diusahakan.

Ujar Nora, dia percaya bahawa pilihan yang dibuat tepat dan seiring dengan cita-citanya selama ini.

“Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk bergelar usahawan. Saya sendiri membesar dengan rezeki jualan kedai makan yang diusahakan oleh ibu saya. Ini adalah masa yang sesuai untuk saya lebih bertanggungjawab kepada keluarga dan anak,” ujar ibu kepada Putera Rayqal Ramli Rizal Ashram itu.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya itu, Nora berkata, dia mendapat sokongan padu, terutamanya daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Alhamdulillah, keluarga saya sangat menggalakkan saya menceburi bidang perniagaan.

“Selain itu, sahabat handai juga tidak henti-henti memberikan sokongan moral. Saya berasa sungguh bertuah,” katanya yang bakal muncul dengan filem arahan Prof. Datuk A. Razak Mohaideen berjudul Chowrasta menjelang Disember nanti.

- Arah bisnes Nora Danish

SHARING GOOD

0 Comment to "Arah bisnes Nora Danish"

Post a Comment