Monday 16 November 2015

Akui kesilapan, Nora Danish lebih berhati-hati


SEPERTI mana selebriti lain, Nora Danish turut tidak ketinggalan melancarkan koleksi tudung menerusi jenamanya sendiri, Owl By ND.

Belum sempat jenamanya dikenali ramai, aktres jelita ini bagaimanapun dikecam hebat di laman sosial dek rekaan tudung yang digayakannya pada malam pelancaran tersebut dikatakan menyerupai rahib gereja.

Lebih hebat, penampilan pelakon Polis Evo itu bersama seekor burung hantu turut menjadi pertikaian.

Enggan memanjangkan lagi isu tersebut, Nora mengakui kesilapannya dan berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.

“Sebenarnya saya terlalu berfikiran positif. Setiap perkara yang saya buat, saya tidak akan berfikir kemungkinan yang lain.

“Bagi saya fesyen tiada hadnya melainkan jika orang terlalu melihatnya daripada sudut yang lebih negatif.

“Secara jujurnya, saya memang tidak sedar penampilan saya pada malam ini menyerupai seperti apa yang dikatakan.

“Saya akui kesilapan itu dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Nora juga tidak menafikan terkilan dengan apa yang berlaku namun menganggapnya sebagai cabaran untuk dirinya.

“Memang saya terkilan lebih-lebih lagi perkara ini berlaku ketika saya baru sahaja mahu memulakan perniagaan.

“Tapi tak apalah saya anggapnya sebagai lumrah dan cabaran dalam hidup. Lagi pun saya sudah biasa dan mahu jadikan apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran.

“Saya percaya saya bukanlah orang pertama yang dikritik seperti ini, ada juga beberapa artis lain yang mengalami perkara yang sama.

“Saya juga tidaklah kata saya dipihak yang betul tapi selepas ini saya akan lebih berwaspada dengan perkara-perkara yang sensitif seperti ini,” jelasnya panjang lebar.


Kagumi Erma Fatima

Berkongsi perkembangan terbaharu, Nora menjanjikan persembahan terbaik dalam pementasan teater Mak Cun arahan Erma Fatima di Panggung Sari, Istana Budaya bermula semalam sehingga 22 November ini.

“Ini adalah lakonan teater saya yang ke dua di mana sebelum ini saya pernah terlibat dalam naskhah Bahayanya Wanita.

“Biarpun kali ini persiapan agak kelam kabut kerana masa yang terhad, namun semuanya masih berjalan dengan baik tambahan pula pelakon yang terlibat bukanlah calang-calang.

“Penangan Erma memang luar biasa. Bagi saya dia bukan sahaja seorang pengarah, atau penulis skrip malah dia juga seorang pelakon yang berbakat besar.

“Dia sangat komited dengan kerjanya. Disebabkan itu bila saya bekerja dengannya, saya mahu buat yang terbaik,” katanya panjang lebar.

Pada masa sama, Nora turut terlibat dalam sebuah program kanak-kanak Ceria All Stars selaku juri bersama Nabil Ahmad.

“Ini kali pertama saya terlibat dalam program kanak-kanak dengan status saya sebagai seorang ibu saya rasa sesuai untuk terlibat sama.

“Bila saya menjadi seorang ibu, sebenarnya lebih susah untuk saya memilih peserta ke peringkat akhir kerana mereka semua sangat berbakat dan itu cabaran buat kami sebagai seorang juri,” kongsinya.

Ceria All Stars bakal bersiaran bermula 27 November ini pada setiap Jumaat pada jam 9.00 malam di saluran Astro Ceria dan Maya HD.

- Akui kesilapan, Nora Danish lebih berhati-hati

SHARING GOOD

0 Comment to "Akui kesilapan, Nora Danish lebih berhati-hati"

Post a Comment