Monday 16 November 2015

Ayda Jebat tepis dakwaan Lana Nodin



PELAKON popular, Ayda Jebat, meluahkan rasa terkejut berhubung kontroversi busana pengantin Lana Nodin rekaan Altelia Amani yang diguna pakainya bagi menjayakan sebuah rakaman iklan di kaca TV.

“Kalau dia rasa saya salah, biarkanlah. Tapi saya tak pasti di mana silapnya dan saya tak mahu memanjangkan lagi isu ini,” kata Ayda ketika ditemui pada majlis Anugerah Skrin 2015 (ASK2015), baru-baru ini.

Kontroversi itu tercetus setelah Lana meluahkan rasa kesalnya terhadap Ayda yang bertindak memakai busana perkahwinannya itu dan menyifatkan aktres tersebut tidak menghormati hari bersejarahnya.

Pun begitu, pelantun lagu Siapa Diriku itu mengakui mengetahui busana tersebut pernah dipakai oleh Lana ketika hari bersejarahnya itu. Malah, heroin drama bersiri M.A.I.D ini juga telah meminta izin daripada pereka busana tersebut.

“Saya tahu baju itu pernah dipakai oleh Lana ketika majlis perkahwinannya. Bahkan, saya juga bertanya pada pereka baju itu sama ada ia milik Lana atau baju rekaannya yang disimpan di butik.

“Saya tanya secara elok-elok kepada pereka itu dan dia kata tiada masalah, jadi saya pun pakailah,” katanya.


Pada masa sama, sebagai seorang selebriti, pelakon berusia 23 tahun ini berasa sangat dihargai kerana diberi peluang menggayakan busana daripada seorang pereka.

“Baju itu sangat cantik. Jadi bagi saya, adalah tidak salah untuk saya memakainya jika pereka baju itu sendiri yang mengizinkannya,” katanya.

Ketika ditanya adakah dia akan lebih berhati-hati lagi selepas ini dalam soal mendapatkan penajaan daripada pereka fesyen, Ayda menjawab: “Sebenarnya, tak perlu kerana banyak saja artis yang ulang pakai baju pereka.

“Saya sendiri pernah ulang pakai baju artis lain tapi mereka tidak cakap apa-apa pun. Bagi saya, tak perlu perbesarkan isu yang kecil,” katanya.

Kemenangan berharga

Dalam pada itu, pelakon telefilem Nawaitu Cinta ini turut melahirkan perasaan syukurnya apabila drama lakonannya, Rindu Awak 200% memenangi kategori Drama Rantaian Popular Media Sosial di ASK 2015.

“Kali ini, kehadiran saya ke ASK2015 adalah kerana terlibat dalam persembahan dengan Project Band di pentas ASK.

“Tapi, apabila drama ini diumumkan sebagai pemenang, Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada juga naskhah lakonan saya tercalon dan menang di ASK.

“Kemenangan ini juga adalah sesuatu yang sangat berharga buat saya,” katanya.

- Ayda Jebat tepis dakwaan Lana Nodin

SHARING GOOD

0 Comment to "Ayda Jebat tepis dakwaan Lana Nodin"

Post a Comment