Tuesday 17 November 2015

Sikap prihatin Haha pikat peminat


HANYA mendendangkan tiga buah lagu, Haha membuat peminatnya histeria.

SEJAK berita penyanyi, pelawak dan pelakon popular Korea Selatan, Haha bakal datang ke Kuala Lumpur, ramai peminatnya meluahkan rasa tidak sabar mereka untuk menyaksikan penghibur itu dari jarak dekat.

Meskipun hanya hadir sebagai artis jemputan untuk acara Love 11 anjuran pusat beli-belah online, 11street pada Rabu lalu, suasananya tidak kalah seperti Haha membikin sebuah konsert.

Bayangkan, Haha dijangka muncul di atas pentas yang terletak di ruang legar pusat belah-belah Lot 10, Bukit Bintang pada pukul 6.15 petang, namun sejak pukul 3 petang lagi peminat telah membanjiri lokasi berkenaan.

Mereka sanggup berdiri hampir tiga jam bagi mendapat tempat paling dekat dengan pentas. Sebaik Haha, 36, berjalan masuk menuju ke pentas, suasana yang sunyi bertukar gamat dengan jeritan peminat.



HAHA bersama Emily bergambar pada majlis 11Street’s Inaugural “LOVE 1” Day Celebration di Lot 10, minggu lalu.

Sesekali Haha akan mengucapkan terima kasih dan sayangkan peminatnya dalam bahasa Korea yang akan diterjemahkan oleh penterjemah ke dalam bahasa Inggeris. Dia berada sungguh terharu kerana ramai peminat sanggup hadir ke majlis berkenaan. Selepas menyempurnakan tugas memberi hadiah kepada pemenang kuiz anjuran 11street, Haha kemudiannya bergambar dengan peminat bertuah.

Disebabkan lokasi pentas yang agak sempit, peminat terpaksa naik ke tingkat satu dan dua pusat beli-belah berkenaan untuk mendapat pandangan jelas Haha di atas pentas.

“Jaga-jaga semua yang berada di atas, jaga telefon anda dan keselamatan. Sangat berbahaya untuk berada di penjuru,” kata Haha tanda dia mengambil berat akan keselamatan peminatnya.

Sebelum memulakan persembahannya, Haha terlebih dahulu berkongsi makan Pepero, sejenis makanan ringan dari Korea Selatan bersama duta 11street iaitu aktres tempatan, Emily Chan sebagai simbolik kepada pelancaran Hari Love 11.

Pusat belah-belah online itu memilih tarikh 11 hari bulan setiap bulan sebagai Hari Love 11 untuk pengguna menikmati pemberian percuma yang bernilai.

Selepas acara simbolik berkenaan, pentas dihangatkan dengan persembahan Haha. Mempersembahkan tiga buah lagu bergenre reggae tanpa henti iaitu Busan Vacance, Rosa dan Story Of Short Kid, persembahannya wajar dipuji.


HAHA (tengah) bergambar bersama peminatnya yang hadir tiga jam awal sebelum kemunculannya.

Dalam tempoh masa yang sangat singkat, Haha yang juga hos program Running Man itu bijak memikat hati peminatnya dengan persembahan penuh bertenaga bersama rakannya, Skull.

Menariknya, persembahan dihentikan buat seketika supaya peminat dan pihak media dapat mengambil gambarnya.

“Saya akan hentikan persembahan kerana semua di sini terlalu fokus dengan telefon (merakam gambar) berbanding menikmati persembahan.

“Saya akan beri masa anda semua mengambil gambar. Selepas ini semua orang harus santai dan jangan sibuk dengan telefon,” kata Haha kepada peminat yang tidak henti mengambil gambar mahupun merakamkan video persembahannya.

Sebelum melangkah pulang, Haha juga sempat mengambil gambar selfie berlatar belakang pihak media dan peminatnya untuk dimuat naik dalam akaun Instagramnya.

Ini merupakan kehadiran kali kedua Haha di Malaysia. Sebelum ini dia pernah hadir ke Kuala Lumpur bersama hos program Running Man yang lain seperti Lee Kwang-soo, Ji-hyo, dan Jong-kook.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan iklan terbaharu 11street yang dibintangi oleh dutanya, iaitu Emily Chan dan Lee Min-ho.

- Sikap prihatin Haha pikat peminat

SHARING GOOD

0 Comment to "Sikap prihatin Haha pikat peminat"

Post a Comment