Tuesday 17 November 2015

Analogi Bront & masa depan filem tempatan


TURUN dan naik prestasi industri perfileman tempatan boleh diibaratkan seperti kelompok awan yang berarak berat di dada langit. Biarpun ditemani dentuman guruh tanda membawa hujan, tidak semestinya mentari terus memencilkan sinarnya.

Sejak kebelakangan ini, penerimaan penonton terhadap naskhah yang diterbitkan oleh produksi tempatan dilihat semakin menggalakkan.

Rangkaian filem seperti The Journey, yang menerima kutipan sebanyak RM17.28 juta pada tahun lalu dan Polis Evo (RM17.3 juta) membuktikan bahawa masih ada naskhah tempatan berkualiti yang mampu menarik minat penonton untuk terus berbelanja dan menonton filem di panggung.

Bagi pelakon Bront Palarae, industri perfileman tempatan yang kembali panas dilihat sebagai hasil perkongsian kerja keras yang ditumpahkan pelakon, pihak produksi dan juga individu yang mengawal selia dalam hal ehwal pemasaran.

Ujarnya, kejayaan yang diraih oleh sesebuah filem tidak berlaku dengan sendiri. Bahkan, percaturan yang baik perlu dilakukan agar filem yang diterbitkan mampu memuaskan hati khalayak yang datang menonton.

“Sebenarnya, kejayaan sesebuah filem itu bergantung pada rangkuman beberapa elemen. Ia termasuklah kualiti yang ada pada sesebuah naskhah dan cara ia diterjemahkan oleh pengarah.

“Dalam masa sama, bajet yang ada perlu dibahagi sama banyak untuk proses pemasaran. Ini termasuk promosi filem sebelum dan selepas ia diterbitkan,” ujar pelaku seni berusia 36 tahun itu yang akan muncul dengan naskhah baharunya, Ola Bola.

Pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin itu menambah, situasi yang sama bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut dialami oleh penggiat filem antarabangsa terutama di Hollywood.



Bront lebih selesa untuk tidak berbicara tentang kisah rumah tangganya kepada umum.

“Saya boleh mengibaratkan proses penghasilan filem seperti perniagaan nasi lemak. Jika nasi lemak itu bagus, tetapi tidak dijual di kawasan yang strategik tanpa iklan yang kerap, siapa yang akan beli?

Memilih

“Ada juga peniaga nasi lemak yang memilih lokasi jualan dan cara pengiklanan yang baik, tetapi masih tidak mampu untuk menjual kerana resipinya tidak sedap.

“Bagi saya, atmosfera perfileman tempatan sama sahaja seperti di Hollywood. Ada pasang dan surutnya. Tidak dinafikan, banyak filem berkualiti di sana yang tidak mendapat tempat yang sepatutnya atau ditonton oleh khalayak. Ini kerana tiada pelan yang betul dirangka sebelum sesebuah filem diterbitkan,” ujarnya panjang lebar.

Kongsi Bront, sikap acuh tidak acuh sesetengah produksi yang kurang memberi perhatian terhadap proses penerbitan filem secara keseluruhan menyebabkan dia terpaksa bersikap memilih dalam setiap karya lakonannya.

“Dahulu, saya kurang peduli dan menerima setiap tawaran yang diberikan kerana percaya naskhah yang nampak bagus pada skrip bakal diangkat menjadi filem yang berkualiti.

“Namun, selepas ‘dikecewakan’ beberapa kali, saya mula ambil tahu siapakah yang bakal berlakon bersama, pengarah dan penyunting filem berkenaan.

“Biarpun filem itu tidak menerima kutipan pecah panggung, tetapi ia terhasil daripada usaha dan reputasi yang baik,” jelasnya.

Ditanya adakah sambutan yang diberikan oleh penonton terhadap karya tempatan bakal berpanjangan Bront berkata: “Penonton tidak bodoh. Mereka tahu apa yang perlu ada dalam sesebuah naskhah.

“Selama ini, kebanyakan filem arus perdana tempatan sering dilabel sampah kerana tiada kualiti. Saya percaya, jika sesebuah filem itu dijayakan dengan mengambil kira semua perkara termasuk produksi dan pemasaran, maka hasilnya juga pasti memberangsangkan,” tutur Bront positif.

Pengulas bola

Beralih pada penglibatan dalam filem terbaharunya, Ola Bola, karya garapan pengarah Chiu Keng Guan itu dianggap sebagai sebuah platform terbaik untuk mempersembahkan sisi berbezanya sebagai seorang pelakon.

Ujar penerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 bagi filem Belukar itu, watak pengulas sukan bola sepak yang digalasnya bukan sahaja mencabar, malah memerlukannya beraksi dengan menggunakan kekuatan vokal sahaja.

“Dalam filem Ola Bola, saya memegang watak Rahman, seorang pengulas sukan bola sepak yang bertugas di sebuah stesen radio. Walaupun ia merupakan watak yang kecil, tetapi saya agak lelah untuk menjayakannya.


Selepas berlakon drama siri televisyen terbitan HBO Asia berjudul Halfworlds bersama pelakon dan karyawan dari seberang, Bront diundang pula menjayakan sebuah filem Indonesia bertajuk My Stupid Boss bersama Reza Rahadian dan Bunga Citra Lestary.

“Bayangkan, watak tersebut memerlukan saya bermain dengan intonasi dan suasana bagi menggambarkan permainan yang sedang berlangsung.

“Saya cuba mencari sesuatu yang luar biasa dalam perkara biasa untuk membuatkan khalayak berasa luar biasa,” katanya yang mendapat tunjuk ajar daripada bekas pengulas sukan bola sepak negara, Abdullah Hashim selama sebulan.

Tambah Bront, cabaran paling sukar yang dilalui sepanjang membawakan watak Rahman adalah sewaktu merakamkan suara bagi keseluruhan perlawanan bola sepak dalam filem tersebut selama tiga hari berturut-turut.

“Saya perlu menghabiskan 40 babak dalam tiga hari sahaja. Bayangkan, saya perlu duduk di tempat pengulas sukan di Stadium Negara selama berjam-jam untuk menghabiskan rakaman.

“Memang memenatkan tetapi harus saya akui, ia merupakan pengalaman berharga buat karier saya,” katanya.

Menyifatkan watak tersebut sebagai unik dan tersendiri, Bront berharap lebih banyak penerbit yang berani untuk tampil dengan watak-watak berbeza dalam filem akan datang.

“Apabila mendapat tawaran daripada Chiu, saya tahu bahawa watak Rahman mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Bagi saya, kita sudah mula untuk mencipta trend baharu apabila watak-watak terpencil seperti pengulas sukan bola sepak diangkat ke layar lebar.

“Jika pendekatan ini diteruskan, saya percaya industri hiburan akan kembali bersinar dan terus bertumbuh dengan matang,” ujar Bront sambil tersenyum.

Berlatarbelakangkan era 1970-an, Ola Bola merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat setiakawan pemain bola sepak Malaysia yang pada waktu itu sedang dihimpit kekecewaan.

Kisah yang diilhamkan daripada peristiwa sebenar itu bukan sahaja memaparkan semangat juang dan maruah pasukan bola sepak negara, tetapi menyaksikan kepayahan dan kesungguhan barisan pemain mengatasi masalah peribadi masing-masing.

Selain Bront, Ola Bola turut dijayakan oleh Chee Jun Cheng yang memegang watak Chow Kwok Keong, Muhd. Luqman Hafidz Mohd. Fauzi (Ali) dan Saran Kumar (Muthu).

Isteri

Sejak mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2013, Bront lebih selesa mengunci mulut mengenai kehidupan rumah tangganya. Bahkan, gambar dan identiti isterinya juga tidak pernah didedahkan kepada umum.

Menurut pelakon filem Jwanita itu, keputusan itu diambil bagi menghormati permintaan isterinya.

“Sepanjang bergelar suami, saya tidak pernah sorok isteri daripada khalayak. Saya juga sering membawanya ke majlis-majlis hiburan.

“Cuma, dia tidak mahu berjalan di karpet merah dan lebih selesa duduk di tempat tetamu sahaja,” ujarnya.

Mengakui bahawa isterinya bukanlah seorang individu yang kuat cemburu, Bront bagaimanapun sering berterus-terang apabila berbicara perihal kerja yang melibatkan pelakon wanita.

“Biasanya, isteri saya mengenali pasangan pelakon yang bekerja dengan saya.

“Jika berlakon dengan aktres yang belum pernah saya bergandingan sebelum ini, saya akan bawa bertemu dan berkenalan dengan isteri saya dahulu,” ujarnya menutup bicara.

- Analogi Bront & masa depan filem tempatan

SHARING GOOD

0 Comment to "Analogi Bront & masa depan filem tempatan"

Post a Comment