SELEPAS mengambil keputusan untuk berhijab pada awal Jun lalu, rezeki penyanyi yang juga pelakon kecil molek, Amy Mastura semakin terbuka luas.
Buktinya, Amy telah melancar tudung jenamanya sendiri AmyMastura By Ezalha dengan kerjasama pereka fesyen tempatan, Ezal dan Alha.
Meluahkan rasa kesyukuran atas kerjasama itu, Amy berharap keputusannya untuk menceburi bidang perniagaan kali ini mampu membuahkan hasil dan kejayaan tersendiri.
“Setakat ini, sebanyak 12 tudung telah direka untuk keluaran pertama, di mana kesemua nama tudung itu diambil daripada nama lagu saya.
“Antaranya Pujaan Ku, Bicara hati, Puteri, Kasih, Menari lerr, Sha na na, Bintang Hati, Cahaya, Cinta, Gemala, Jawapan kasih dan Istimewa,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung itu baru-baru ini.
Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 44, turut berkongsi, tercetusnya idea untuk menghasilkan tudung tersebut apabila ramai pihak bertanyakan kepadanya untuk mengeluarkan rekaan tudung sendiri apabila sudah berhijab.
“Ketika saya mula-mula berhijab, ramai yang bersua muka, bertanyakan sama ada tidak berkeinginan untuk menghasilkan tudung sendiri.
“Daripada pertanyaan itu terlintas idea untuk menghasilkan tudung sendiri walaupun saya ini sebenarnya tidak pandai untuk berniaga,” katanya.
Tambah pelakon Puteri Impian ini, keterlibatannya dalam dunia perniagaan buat pertama kali dalam hidupnya itu merupakan ruang untuknya belajar.
“Saya memang tidak pandai berniaga. Segala urusan saya serahkan kepada rakan perniagaan.
"Bagaimanapun, ia tetap memberi peluang untuk saya belajar berniaga,” katanya.
Terkenal dengan sikap sederhana, Amy mengakui pada mulanya dia tidak begitu mementingkan fesyen hijab sehinggalah dia mengenali rakan bisnesnya, Ezal dan Alha.
“Sebenarnya saya lebih selesa memakai tudung yang mudah dan ringkas sahaja. Tetapi Alhamdulillah sekarang saya sudah pandai sikit untuk bergaya.
“Apa yang saya suka dengan rekaan Ezalha ini juga apabila kebanyakan tudungnya adalah tudung segera, tinggal masukkan sahaja dan pin untuk dikemaskan,” katanya.
Hidup lebih seimbang
Akui semakin tenang setelah berhijab, Amy bagaimanapun tidak mahu menjadikan gambar mahupun filem lama lakonannya yang masih diulang tayang sebagai satu isu besar. Punya pandangan tersendiri, kata Amy, dia juga harus memikirkan tentang orang lain.
“Saya tidak kisah walaupun kini saya sudah berhijab, kerana saya kena fikir juga tentang sesetengah pihak yang punyai tanggungjawab untuk menayangkan semula.
“Kita tiada hak untuk menghentikannya. Tambahan saya ini baru bertudung, justeru bukan niat saya untuk menyusahkan mana-mana pihak,” katanya.
Meniti pula hari-hari terakhir untuk tahun 2015, Amy bersyukur kerana sepanjang tahun ini, kehidupannya berjalan dengan penuh seimbang.
“Kerjaya dan keluarga tahun ini saya simpulkan sebagai seimbang. Di mana kesemua aktiviti anak dapat saya hadiri, begitu juga menemani suami jika ada hal penting. Termasuk juga lakonan dan nyanyian.
“Tahun ini juga adalah tahun penghijrahan saya untuk berhijab,” katanya.
Menyentuh mengenai perancangannya untuk tahun 2016 pula, kata Amy, dia harus mengekalkan keseimbangan itu.
“Impian tahun baharu, biasanya tiada azam, jarang kehidupan saya ada perancangan. Kerana perancangan itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
“Cumanya mungkin berniaga ini jika diberi ruang adalah peluang yang boleh dicuba lagi tahun hadapan,” katanya.
0 Comment to "Amy Mastura: Rezeki berhijab"
Post a Comment