Tuesday, 8 December 2015

Gelaran juara #GegarVaganza 2 milik siapa?


MINGGU separuh akhir Konsert Gegar Vaganza 2 menyaksikan tujuh peserta iaitu Acong Sweetchild), Azian Mazwan Sapuwan , Siti Nordiana, Ezad Lazim, Haiza, Nassier Wahab dan Faradhiya berentap untuk melayakkan diri ke final di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam Ahad depan.

Menerusi tema Karok Tarik, setiap peserta menunjukkan kehebatan masing-masing menerusi lagu yang menjadi pilihan peminat apabila berkaraoke.

Antara lagu yang dipersembahkan malam itu adalah Flora Cinta (Haiza), Mengapa (Siti Nordiana), Biasan (Acong Sweetchild), Sedalam Mana Cintamu (Azian Mazwan Sapuwan), Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu (Faradhiya),

Tiada Lagi Kidungmu (Ezad Lazim) dan Biar Putih Tulang (Nassier Wahab).

Pada minggu ini juga, Siti Nordiana (83 peratus), berjaya mendapat tempat teratas kerana kemantapan vokal dan kemampuannya menyanyikan lagu asal dendangan Nicky Astria itu dengan baik.

Ia diikuti Nassier Wahab (79 peratus), Ezad (77 peratus), Acong (76 peratus), Haiza (74 peratus), Faradhiya (72 peratus) dan Azian (68 peratus).

Kedudukan tersebut sekali gus melayakkan hanya enam teratas melayakkan diri ke pentas final Gegar Vaganza 2.

Berkongsi mengenai persembahan malam tersebut, rata-rata peserta mendapat pujian daripada juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan juri jemputan, Datuk Yusof Haslam.

Menurut Datuk Ramli, persembahan Siti Nordiana menerusi lagu Mengapa berjaya membuktikan dia seorang penyanyi yang hebat.


"Saya bimbang dia tidak lepas ketika menyanyikan lagu tersebut kerana ia sangat susah. Tetapi dia telah buktikan dia mampu dan ia merupakan ujiannya yang paling sukar yang pernah dia bawa sepanjang program ini," katanya.

Datuk Khadijah berkata, dia berbangga dengan Faradhiya kerana berjaya memberikan persembahan menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu sebaik mungkin pada malam itu.

"Walau pun kurang sihat kerana suaranya hilang, tetapi Faradhiya tetap meneruskan persembahannya dan menghangatkan pentas separuh akhir," katanya.

Sementara Datuk Yusof dalam komennya mengulas, Azian berjaya menghiburkan penonton pada malam itu menerusi lagu Sedalam Mana Cintamu.

"Lagu ini bukan mudah dan dia telah menyanyikannya dengan baik. Bagi saya, ia tidak mengecewakan," katanya.

Enam peserta akhir berkenaan bakal bersaing menerusi lagu pilihan serta acara ‘battle’ bagi menentukan siapakah yang layak bergelar juara Konsert Gegar Vaganza 2 sekali gus melayakkan mereka membawa pulang RM100,000 serta sebuah lagu baharu.

Persoalannya, milik siapakah kejuaraan itu?

Azian akur keputusan juri

Meski pun sedikit kecewa kerana tidak berjaya ke final, namun Azian memberitahu dia akur dengan keputusan juri.

Dua minggu berturut-turut berada di kedudukan terbawah membuatkan penyanyi berusia 39 tahun itu bersedia berhadapan perkara tersebut.

"Persaingan memang sengit daripada awal lagi. Masing-masing punya kehebatan dan keistimewaan tersendiri.

"Kami diberi ujian dengan lagu-lagu yang sangat sukar dan kemampuan setiap peserta memang tidak boleh dipertikaikan.

"Tidak layak ke final bukan bermakna seseorang kita tidak bagus, tetapi ada yang lebih baik daripada kita. Bagi saya, adat pertandingan ada yang kalah dan menang," katanya.

Berkongsi perasaannya, kata Azian, dia masih tidak faham mengapa imuniti juri digunakan pada minggu yang lalu.

"Saya masih tertanya-tanya, jika ia tidak digunakan sebelum ini, mungkin saya masih berpeluang ke final," katanya.

Dalam pada itu, Azian tetap akan meneruskan kerjaya tetapnya seperti biasa selepas ini dan pada masa sama meneruskan kariernya sebagai penyanyi jika masih diterima peminat seni.

Farahdiya tarik diri?

Siapa sangka dalam diam-diam rupanya pelantun lagu Bertakhta Di Hati ini berniat menarik diri pada hari terakhir minggu separuh akhir Konsert Gegar Vaganza 2 itu.

Jelasnya, daripada memalukan diri dan melakukan sesuatu yang bodoh di hadapan peserta, lebih baik dia tidak membuat persembahan pada konsert tersebut.

"Sebenarnya, masalah hilang suara ini sudah berlanjutan dari awal program ini lagi.

"Tetapi ia berjaya diatasi dan saya bersyukur kerana dapat meneruskan persembahan dari minggu ke minggu.

"Entah bagaimana, pagi ini (kelmarin), suara saya tidak keluar dan saya benar-benar cemas," katanya.

Kerana itu, dia membuat keputusan untuk menarik diri daripada program tersebut.

"Saya berjumpa Datuk Ramli dan memberitahu keputusan saya untuk menarik diri.

"Tetapi dia tidak membenarkannya dan cuba mencari penyelesaian. Jadi, untuk lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Datuk Ramli telah melakukan perubahan supaya lebih sesuai dengan kemampuan vokal saya," katanya.

Dalam pada itu, Faradhiya berharap peminat dapat mendoakan agar sakitnya itu akan sembuh menjelang final nanti.

"Saya tidak meletakkan sebarang harapan, doakan saya sembuh dan berjaya ke pentas final, itu sudah mencukupi," katanya.

- Gelaran juara #GegarVaganza 2 milik siapa?

SHARING GOOD

0 Comment to "Gelaran juara #GegarVaganza 2 milik siapa?"

Post a Comment