FASA percintaan Hazama (kiri) dan Genervie Kam sudah memasuki tempoh tiga tahun.
BUKAN sekali dua soalan bila tarikh menamatkan zaman bujang diajukan kepada penyanyi terkemuka, siapa lagi kalau bukan Hazama.
Sementelahan pula, hubungan cintanya bersama wanita pilihan, Genervie Kam bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat.
Baru-baru ini, pelantun lagu Sampai Mati itu turut menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah memaksa Genervie, 35, yang juga seorang pemuzik terkenal untuk memeluk agama Islam meskipun hampir tiga tahun menyulam kasih.
Bersama Sensasi Bintang, pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, 31, mengulas lanjut berhubung perkara itu, selain membicarakan mengenai persembahan solonya iaitu Hazama The Penglipur Lara yang bakal berlangsung di Hard Rock Cafe di ibu negara pada 20 Disember ini.
Sensasi Bintang: Baru-baru ini, anda mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan memaksa kekasih untuk memeluk Islam. Boleh ulas lanjut mengenai perkara itu?
HAZAMA: Saya tidak pernah memaksa dan tidak suka untuk bercerita perkara yang lebih mendalam mengenai Islam memandangkan saya juga masih belajar lagi. Cuma, saya banyak berkongsi cara pemikiran sebagai seorang Islam dengannya. Itu saja.
Hubungan anda sudah mencecah tiga tahun. Tidak terfikir untuk membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya?
Perkara ini terlalu mendalam untuk dibincangkan memandangkan ia bukan semata-mata kerana cinta, malahan berkaitan dengan pegangan agama. Jadi, biarlah masa yang menentukan segala-galanya.
Bagaimana pula dengan penerimaan keluarga berhubung hubungan kalian?
Keluarga Genervie okey, mereka sangat terbuka dengan hubungan kami. Pada masa sama, saya dapat mempelajari perkara baharu mengenai pemikiran orang bukan Islam. Saya yakin ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku. Keluarga saya juga tidak pernah memberikan tekanan terhadap hubungan kami. Terserahlah kepada jodoh.
Ada yang beranggapan bahawa hubungan kalian tidak serius. Komen?
Kami hanya merancang, selebihnya Tuhan yang akan menentukan. Perkahwinan bukan perkara main-main. Saya mahu berkahwin bukan semata-mata kerana trend atau mengikut jejak langkah rakan-rakan yang telah menamatkan zaman bujang. Jadi, saya berharap supaya peminat dapat mendoakan yang terbaik buat kami.
Cukup bercerita mengenai soal peribadi. Boleh ceritakan serba sedikit berhubung persembahan anda, Hazama The Penglipur Lara?
Ia bakal diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 20 Disember depan bermula pukul 9 malam. Sebanyak 14 lagu akan dipersembahkan pada hari itu termasuk duet bersama vokalis Slam iaitu Zamani.
Mengapa memilih Zamani?
Sebenarnya, kami berasal dari tempat yang sama iaitu Keramat, Kuala Lumpur. Rumah kami juga terletak berdekatan. Saya membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya, jadi saya cukup teruja apabila Zamani bersetuju untuk turut mengadakan persembahan pada hari itu. Kami juga memiliki banyak persamaan lain, cuma biarlah saya hanya mendedahkan perkara itu pada malam tersebut nanti.
Ini merupakan persembahan solo anda yang pertama dan sudah tentu anda teruja. Boleh kongsikan sesuatu bersama peminat yang bakal hadir kelak?
Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk mengadakan persembahan khas buat peminat. Sudah tentu saya cukup teruja dengan persembahan ini kerana seolah-olah impian menjadi kenyataan. Saya harap ia mendapat sambutan peminat dan optimis bahawa persembahan itu nanti lain daripada yang lain. Setiap lagu yang dipersembahkan juga memiliki kisahnya tersendiri, sekali gus menjadikan persembahan itu cukup istimewa.
Ada sebarang projek lain yang boleh dikongsikan bersama pembaca Kosmo! Ahad?
Saya bakal muncul dengan single terbaharu ciptaan Ajai dan Ad Samad yang berjudul Di Amaran Mama. Selain itu, saya juga akan berduet dan merakamkan semula lagu nyanyian asal Datuk Ramli Sarip iaitu Budaya dalam masa terdekat. Album kedua saya juga akan menyusul selewat-lewatnya tahun depan.
0 Comment to "Hazama, Biar masa yang tentukan"
Post a Comment