KEANGGUNAN Nora terserlah ketika menghadiri tayangan perdana filem Chowrasta baru-baru ini.
IBARAT irama dan lagu, kaitan antara golongan selebriti dan fesyen sememangnya tidak dapat dipisahkan sampai bila-bila.
Kebijaksanaan mana-mana artis memilih fesyen yang sesuai untuk digayakan ketika menghadiri majlis berbeza juga pastinya menarik perhatian khalayak.
Aktres terkemuka, Nora Danish contohnya dilihat bijak menyesuaikan diri ketika gayanya dirakamkan lensa Kosmo! Ahad di dua majlis berbeza baru-baru ini.
Tatkala menghadiri sidang akhbar program Ceria All Stars, gaya Nora tampak lebih kasual apabila mengenakan busana berwarna merah terang yang dipadankan bersama seluar jeans berwarna biru.
Nora juga sekadar bersolek nipis selain dandanan rambut yang ringkas, namun tetap kelihatan jelita.
Ia menyerlahkan pesona Nora yang tampak lebih muda daripada usianya yang sebenar lantaran bertindak sebagai juri tetap rancangan itu bersama Nabil Ahmad.
Lain pula ceritanya ketika Nora menghadiri tayangan perdana filem Chowrasta yang mula menjengah pawagam tempatan awal bulan ini.
Meskipun tampak ringkas tanpa sebarang aksesori berlebihan, Nora kelihatan cukup elegan apabila tampil dengan busana hitam yang menawan.
Dandanan rambut Nora pada malam itu juga berbeza, sekali gus menyerlahkan keanggunan Nora sebagai antara aktres popular dan berbakat di negara kita.
Dalam filem terbaharu garapan pengarah, Prof. Datuk A. Razak Mohaideen itu, Nora membawakan watak Haniza, kekasih Hamid (lakonan Chem Amar) ketika melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Filem itu diinspirasikan daripada kisah hidup Naib Cancelor UiTM, Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.
0 Comment to "Nora Danish bijak sesuaikan diri"
Post a Comment