Wednesday, 9 December 2015

Hazama tanpa prejudis


TIGA tahun bercinta, Hazama dan kekasihnya, Genervie Kam masih tidak menetapkan jangka masa tertentu untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

BAGAIKAN sudah menjadi lumrah, setiap individu pasti mempunyai idola dalam kehidupan dan lapangan karier masing-masing.

Selain dijadikan sebagai sumber inspirasi, mengidolakan seseorang turut memberi perspektif berbeza khususnya terhadap cara pemikiran dan penerimaan sesetengah individu.

Bagi juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama, memilih idolanya, penyanyi Zamani sebagai penghibur undangan untuk showcase Hazama The Penglipur Lara Live at Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 20 Disember depan dianggap sebagai satu pilihan yang tepat.

Meskipun sebelum ini Zamani sering dikaitkan dengan pelbagai masalah melibatkan penyalahgunaan dadah, namun isu tersebut tidak memberikan ruang buat Hazama untuk bersikap prejudis.

Menurut pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi itu, Zamani mempunyai keistimewaan tersendiri dan kisah peribadi vokalis kumpulan Slam itu seharusnya tidak dicampuradukkan dengan karier nyanyiannya.


“Saya memilih Zamani untuk berganding atas pentas kerana dia merupakan idola saya. Sejak dahulu lagi, dia merupakan antara penyanyi yang menjadi pujaan saya.

“Mungkin ramai yang skeptikal dengan pemilihan ini. Namun, saya percaya, Zamani mampu memberikan persembahan yang terbaik pada malam tersebut nanti,” katanya ketika ditemui di RedBox The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penghibur berusia 31 tahun itu berkata, selain memiliki kekuatan vokal yang luar biasa, Zamani turut berkongsi perjalanan hidup yang sama dengannya,

“Kisah hidupnya mirip dengan saya. Sebab itu saya memilih Zamani untuk berkolaborasi dalam showcase ini.

“Bagaimanapun, biarlah kisah itu menjadi kejutan pada hari persembahan nanti,” katanya yang enggan mendedahkan terlalu awal mengenai perancangan persembahannya.

Pada persembahan berkenaan, Hazama bakal menyampaikan 14 buah lagu termasuk lagu duet bersama Zamani.

Ditebak dengan jangkaan sambutan persembahan, Hazama berharap agar pentas Hard Rock nanti mampu memberi kepuasan kepada peminat.

“Ini merupakan persembahan berbayar pertama daripada saya. Justeru, saya berharap ia dapat memberi impak yang besar kepada peminat,” katanya lagi.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Hazama bakal muncul dengan single berjudul Di Amaran Mama.

“Lagu tersebut telah siap dirakam dan dijangka akan dilancarkan pada tahun hadapan.

“Saya juga sedang dalam perancangan merakamkan lagu bersama Datuk Ramli Sarip. Lagu berjudul Budaya tersebut merupakan lagu asal milik beliau dan saya berasa teruja untuk berkongsi karya bersamanya,” ujar Hazama.

Kahwin

Melanjutkan perbualan ke topik jodoh, biarpun usia hubungan cinta Hazama dan kekasihnya, Genervie Kam, 35, sudah mencecah tempoh selama tiga tahun, pelantun lagu Sampai Mati itu masih tidak mahu terlalu tergesa-gesa dalam memikirkan soal berumah tangga.

Apatah lagi, pemuzik wanita itu masih belum bersedia untuk memeluk agama Islam.

“Kalau boleh, saya tidak mahu membincangkan isu ini kerana ia terlalu sensitif.

“Berilah dia sedikit ruang. Jika sudah bersedia nanti, saya akan umumkan,” katanya.

Selama mengenali Genervie, banyak perubahan yang dialami oleh Hazama, terutama dalam menilai sesuatu perkara dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perhubungan yang melibatkan perbezaan agama telah banyak menyedarkan saya dalam segala hal. Saya lebih bersifat terbuka dan tidak terlalu terkongkong apabila berbicara tentang sesuatu perkara.

“Jadi, biarlah keinginan itu datang dengan sendiri tanpa menerima desakan daripada mana-mana pihak,” tutup Hazama.

- Hazama tanpa prejudis

SHARING GOOD

0 Comment to "Hazama tanpa prejudis"

Post a Comment