INSIDEN dipukul oleh pengarah, Azma Aizal Yusoof di set penggambaran drama yang berlaku pada awal November lalu sedikit sebanyak meninggalkan kesan buat pelakon, Ika Nabella.
Menurut Ika, kejadian tersebut menjadi satu iktibar pada dirinya agar lebih berhati-hati selepas ini.
“Ia memang pengajaran paling besar dalam hidup saya dan lain kali saya perlu bekerja keras untuk menghayati sesuatu watak.
“Secara tidak langsung, saya belajar untuk menghayati watak dengan lebih bagus agar tiada pihak yang tidak berpuas hati dengan kerja saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.
Ika atau nama sebenarnya, Ika Nabila Abdul Rahim berkata, selepas sebulan peristiwa itu berlaku, kini dia sudah sedia memaafkan Azma atau kini lebih dikenali dengan nama Isma.
“Saya secara profesional sudah maafkan dia, yang selebihnya biar dia dengan Tuhan.
“Namun bagi saya, cara itu (memukul) bukanlah teknik pembelajaran yang logik di negara ini,” katanya.
Selepas kejadian itu juga, Ika mengambil inisiatif untuk menarik diri daripada terus berlakon dalam drama Dawai Asmara.
“Saya memang ambil keputusan sendiri untuk tarik diri. Ia demi keselamatan dan tidak mahu besarkan hal tersebut.
“Pihak Suhan Movies juga bersetuju dengan tindakan saya setelah bertemu dan berbincang selepas kejadian tersebut,” katanya.
Selepas kejadian tersebut juga, Ika mengambil keputusan untuk mengambil cuti seketika bagi meredakan keadaan.
“Sekarang saya tengah bercuti sehingga 22 Disember ini.
“Sepanjang saya bercuti ibu dan keluarga ada menemani saya di rumah dan saya tidak tinggal keseorangan.
“Insya-ALLAH selepas ini saya akan kembali berlakon dan menunggu sebarang tawaran buat masa ini,” katanya.
0 Comment to "Ika Nabella: Saya sudah maafkan dia"
Post a Comment