EDISI khas Juara Parodi memperingati Yus Jambu di Shah Alam baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi daripada khalayak.
MESKIPUN tidak mempunyai pertalian darah, seluruh karyawan, pelawak dan artis yang terlibat dalam rogram Juara Parodi bagaikan sebuah keluarga besar. Mereka berkumpul dalam sebuah episod khas Juara Parodi Pak Yus Dalam Kenangan (JPPYDK) sempena mengenang Allahyarham Yussry Edoo atau Yus Jambu yang meninggal dunia pada 29 November lalu
Tidak bermaksud meratapi dan memuja si mati atau mempersoalkan takdir ketentuan Ilahi atas kehilangan pelawak yang dikasihi ramai itu, JPPYDK secara lebih murninya dianjurkan bagi mengenang perjuangan dan mengimbau kenangan manis bersama arwah daripada kaca mata rakan-rakan dan insan yang mengenali dirinya.
Biarpun begitu, niat penganjuran JPPYDK tidak terlepas daripada sentimen negatif pelbagai pihak. Dikritik sebagai keterlaluan menangisi pemergian Allahyarham Yus Jambu, Afdlin Shauki terpanggil memberikan penjelasan. Sebagai penerbit program, tujuannya mempersembahkan edisi khas Juara Parodi hanya kerana ingin memberikan penghormatan terakhir buat rakan baiknya, selain memberi ruang dan kepada rakan-rakan dan peserta berkongsi kenangan indah bersama arwah.
“Ini adalah salah satu cara buat kami mengimbau semula kenangan dan berkongsi rasa serta momen indah bersama mengenai Pak Yus.
“Tambahan, kami berasa tidak adil sekiranya meneruskan pertandingan, sementelah arwah baru sahaja meninggal dunia,” ujar Afdlin dalam nada sedih.
Diselubungi suasana pilu, malam JPPYDK yang berlangsung pada 4 November lalu tidak hanya diiringi lagu-lagu bersifat kerohanian dan ketuhanan, bahkan ia diisi dengan deklamasi sajak daripada kenalan rapat Pak Yus.
Kesedihan tidak hanya menyelimuti pentas JPPYDK, bahkan merebak ke segenap dewan Teater Shah Alam sehingga pipi para penonton dibasahi air mata.
Program yang dihoskan oleh Najip Ali dan Dina Nadzir itu turut memberi peluang kepada Datuk AC Mizal, Datuk Hattan, Mawi, Tomok, Zahid, Waris, Mark Adam serta Black memberi penghormatan terakhir buat Yus.
Tidak ketinggalan, pengacara Sherry Alhadad bersama gandingannya Zulin Aziz turut mengambil tempat mendeklamasi sajak yang didedikasikan buat juara Raja Lawak musim pertama itu.
BARISAN pelawak tempatan termasuk Tauke, Afdlin Shauki dan Abam berkongsi sebak pada edisi khas, Juara Parodi Pak Yus Dalam Kenangan.
Pelawak-pelawak seperti Azlee Senario, Fad Bocey, Sabri Yunus, Ajak Shiro dan Afdlin sendiri turut berkongsi detik indah bersama arwah.
Bagai helang yang patah sayapnya, regu Jambu, Tauke antara yang tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang ditanggungnya saat rakan-rakan lain mengambil tempat di atas pentas membuat persembahan.
Tanpa nyanyian atau deklamasi puisi, riak wajahnya sahaja sudah cukup menggambarkan kepiluan yang berselubung di jiwa. Lebih menyayat hati, Tauke beredar meninggalkan pentas JPPYDK kerana tidak dapat menahan perasaan melihat persembahan rakan artis yang terlibat.
“Saya tiada daya untuk berada di atas pentas. Tidak mampu rasanya hendak menonton rakan-rakan lain membuat persembahan dan berasa malu sekiranya kalian melihat saya menangis.
“Bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada rakan artis dan peminat kerana tidak henti mendoakan kesejahteraan arwah termasuk mereka yang hadir pada hari pengebumian Allahyarham Pak Yus,” jelas Tauke selepas kembali semula ke pentas sejurus selepas kesemua artis selesai membuat persembahan.
Berbeza dengan Misha Omar yang menjadi gandingan Tauke dan Yus sebagai Kobis Pedas dalam Juara Parodi. Penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu kelihatan sugul dan tidak berganjak dari tempat duduknya di atas pentas.
Mengenakan kaca mata dan pakaian serba hitam, Misha masih tidak dapat menahan sedih mengenangkan pertemuan singkatnya dengan Pak Yus yang terlebih dulu menyambut seruan Ilahi.
Mereka yang pergi tidak akan kembali, namun setiap kenangan akan terus mekar di hati semua. Semoga Pak Yus tenang di sana.
0 Comment to "Juara Parodi kenang memori indah Pak Yus"
Post a Comment