Syarul Ridzwan
MESKIPUN lakonannya sebagai Putera Raja menerusi pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah dikritik baru-baru ini, namun pelakon yang sedang popular menerusi drama bersiri Kau, Aku, Kita ini tidak pernah berkecil hati.
Menurut Syarul Ridzwan, sebagai pendatang baharu, dia akur dengan respons dan penerimaan penonton terhadap lakonannya.
"Saya anggap kritikan dan teguran mereka itu sebagai kata-kata semangat.
"Lagi pun, saya masih mentah dalam bidang teater dan kita sendiri tahu, teater memerlukan kerja kuat untuk memastikan watak yang dibawa dapat direalisasikan dengan baik," katanya.
Ujar pelakon 26 tahun itu, peluang yang diberikan untuk menjadi pelakon teater tidak mungkin ditolaknya walaupun percubaan kali keduanya ini masih tidak berhasil.
"Selepas Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, saya terus mendapat tawaran berlakon teater.
"Walaupun wataknya sekadar sampingan, namun ia pengalaman yang berharga kepada saya.
"Kerana itu, saya meminta mereka di luar sana untuk memberikan peluang kepada saya menebus kesilapan saya selepas ini," katanya.
Tambah Syarul, dia bagaimanapun sudah memberikan yang terbaik ketika menjadi Putera Raja.
"Setiap pandangan, persepsi dan penerimaan seseorang itu tidak sama. Ada yang suka lakonan saya.
"Apa pun, saya ambil semua komen negatif itu sebagai kayu pengukur dalam bidang ini dan untuk membaik pulih mutu lakonan saya," katanya.
Selain Syarul Ridzwan, teater yang dipentaskan di Istana Budaya bermula 3 hingga 8 Disember lalu turut menampilkan Ogy Ahmad Daud, Fazlina Ahmad Daud, Juliana Evans, Fathia Latiff, Beto Kusyairi dan Nabila Huda sebagai teraju utama.
Berkongsi pengalamannya menjayakan teater berkenaan bersama pelakon hebat Ogy Ahmad Daud, kata Syarul, dia selesa bekerja bersama Ogy kerana, dramatis terkenal itu seorang yang tidak lokek ilmu.
"Bila ada ruang saya pasti akan bertanya dan belajar dengannya.
"Bagi saya bukan sahaja Kak Ogy, malah pelakon lain juga sangat membantu," katanya.
0 Comment to "Lakonan Syarul Ridzwan dikritik"
Post a Comment