SETIAP insan tidak kiralah lelaki atau wanita pastinya mengimpikan sebuah perkahwinan dan keluarga yang sempurna bagi melengkapi kehidupan masing-masing.
Meluahkan perkara yang sama, pelakon berbakat besar, Nabila Huda menafikan kegagalan rumah tangga yang dibina sebelum ini menimbulkan ketakutan buat dirinya terus mencari kebahagiaan hidupnya.
“Saya tidak perlu takut atau fobia dengan apa yang berlaku sebelum ini malah itu semuanya adalah cerita lama.
“Saya pasti semua pasangan mahukan sebuah rumah tangga yang berkekalan, cuma mungkin saya tidak bernasib baik untuk perkahwinan pertama saya.
“Pada masa yang sama saya bersyukur kerana dikurniakan seorang cahaya mata yang sangat comel dan itu juga kebahagiaan saya.
“Bagi saya yang apa yang berlaku sebelum ini adalah pengalaman yang akan membantu saya menjadi yang lebih baik,” luahnya tenang ketika ditemui baru-baru ini.
Menyentuh mengenai tarikh perkahwinannya yang digembar-gemburkan akan berlangsung pada akhir Disember ini, Nabila yang mesra disapa Abil ini memberitahu ia hanyalah perancangan dan masih belum ditetapkan.
“Sebenarnya Disember itu hanyalah cakap-cakap mulut dan belum ditetapkan lagi.
“Saya hanya mampu merancang dan hanya Tuhan yang menentukan. Saya tidak boleh berkongsi perkara ini secara terperinci kerana saya sendiri masih belum dapat membayangkan bagaimana keadaannya buat masa ini.
“Lagi pun masih banyak urusan yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu dan bila semuanya sudah benar-benar ditetapkan saya akan menjemput mereka yang dekat dengan saya termasuklah pihak media,” katanya yang menafikan mahu merahsiakan perkahwinan keduanya itu.
Ketika ditanya mengenai hari bersejarahnya itu, pelakon drama Akulah Balqis mengimpikan perkahwinan yang sederhana.
“Apa yang saya bayangkan untuk majlis perkahwinan saya nanti adalah sesuatu yang sederhana dan ia hanya melibatkan pernikahan sahaja.
“Saya sangat berharap peminat akan mendoakan yang terbaik,” jelasnya ringkas.
Jadi nenek kebayan
Beralih pada perkembangan kariernya, Nabila kini dilihat lebih aktif menyertai lakonan teater.
“Kalau diberi tawaran untuk lebih ke lakonan teater, apa salahnya. Tapi saya akan lihat dulu sama ada watak yang diberi bersesuaian atau tidak.
“Dengan Erma Fatima saya sudah terbiasa bekerja dengannya sebab itu saya tidak kisah dengan apa sahaja watak yang diberikan kepada saya biarpun hanya sebagai seekor semut.
“Lagipun dia tahu sejauh mana lakonan saya dan itu lebih memudahkan, katanya.
Terbaharu, Nabila sedang sibuk membuat pementasan teater ‘Bawang Putih Bawang Merah’ arahan Erma Fatima yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya bermula Khamis lalu sehingga 8 Disember ini.
“Dalam teater ini saya diberi watak sebagai nenek kebayan dan cuma hanya ada dua babak sahaja. Kali ini anak saya, Keisha juga turut terlibat sama sebagai rama-rama.
“Kedua-dua watak ini hanya akan muncul dalam alam fantasi Bawang Merah yang dilakonkan oleh Tya Zainal.
“Saya memang suka lakonkan watak yang berbeza walaupun ia hanyalah picisan. Saya sangat gembira memegang watak ini dan sekurang-kurangnya saya belajar dan rasa sesuatu yang baharu contohnya dengan solekan dan suara nenek,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.
0 Comment to "Nabila Huda impi perkahwinan bahagia"
Post a Comment