Fizo bakal meluaskan perniagaannya dengan membuka Fizo Mawar Kitchen pada 15 Disember ini.
PELAKON terkenal yang kini terus mencipta nama dalam dunia perniagaan, Fizo Omar mendedahkan projek terbaharunya iaitu pembukaan restoran Fizomawar Kitchen, sebagai hadiah buat ibu dan isterinya, Mawar Abdul Karim.
Malah hero filem Cinderella ini sanggup turun padang termasuk mengecat dinding premis bagi memastikan semua persiapan berjalan lancar dan mengikuti jadual.
“Perancangan restoran ini hanya beberapa bulan tapi mungkin terlaksana cepat kerana saya letak tepi semua perkara lain. Malam pun saya di sana untuk mengecat, mengemas sehingga 3 pagi. Ini hadiah saya kepada mak dan Mawar,” katanya kepada Sinar Online.
Menurut ceritanya, Fizomawar Kitchen yang terletak di Bangi itu seratus peratus berkonsepkan Thailand namun memandangkan kolaborasinya bersama jenama tudung terkenal, Fareeda, akan ada konsep Utara yang turut diselitkan dalam menu-menunya.
“Elemen Pulau Pinang itu kita ambil resipi-resipi kari khas daripada datuk Mawar sendiri,” katanya.
Apa yang menarik, pelanggan restoran ini akan dapat menyaksikan makanan mereka dimasak atas perahu yang ditempah khas dari Thailand hasil air tangan bapa saudara Fizo sendiri.
Restoran ini juga tidak menyediakan gelas mahupun pinggan untuk pelanggan.
Ketika diminta mengulas lanjut, Fizo berkata, “kalau nak tahu, kena datanglah. Alami sendiri.”
Bakal dibuka minggu depan, Fizo berkata, dia dan ibunya telah ke Thailand demi mempelajari ilmu masakan dari negeri jiran itu untuk menu restorannya nanti.
“Walaupun ada tim memasak nanti tapi saya nak saya sendiri pergi belajar sebab saya memang mahu supaya menu itu nanti saya sendiri yang jaga.
“Setakat ini tidak banyak menu lagi tapi perancangannya setiap tiga bulan, kita akan tambah menu baharu. Permulaan ini hanya dalam 14 menu dan air istimewa,” katanya.
Fizo turut menyasarkan dalam tempoh tiga bulan, Fizomawar Kitchen akan berkembang ke Lembah Klang sebelum ke Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.
Akui sedikit memilih dalam kerja seninya, Fizo kini terpaksa memilih tawaran-tawaran yang bersesuaian dengan kesibukannya dan naskhah yang berkualiti.
“Untuk drama, bukan saya tak nak berlakon cuma kalau komitmen yang panjang, saya tak dapat terima. Kalau setakat telefilem, ada juga sekali sekala saya buat.
“Saya minta maaf kerana saya memilih cerita yang betul-betul meninggalkan kesan kepada penonton. Cerita yang ada mesej dan manfaat sebab minat saya masih dalam lakonan cuma mungkin kerana apabila saya sudah beri tumpuan dengan program-program keusahawanan, jadi saya tak dapat nak beri tumpuan sangat dengan penggambaran,” katanya.
0 Comment to "Restoran Fizo Omar tak ada gelas, pinggan?"
Post a Comment