Sunday, 20 December 2015

Pekin, Falisha beradu nasib dalam Mat Moto


Pekin Ibrahim ralat kerana arwah Azwan Annuar tidak dapat menonton filem Mat Moto hasil idea bersamanya dengan pelakon Hantu Kak Limah itu.

Biar pun ada dua filem judul Mat Moto bakal ditayangkan di pawagam iaitu arahan Pekin Ibrahim dan Ahmad Idham, namun Pekin menyifatkan filemnya itu memiliki keunikan yang tersendiri.

Tidak dinafikan, sudah banyak kisah mengenai permotoran diadaptasi ke layar perak. Bagaimanapun, filem arahan Pekin bersama Syafiq Datuk Yusof itu mengisahkan tentang kehidupan seorang mat motor bukannya mat rempit seperti yang ditebak segelintir barangkali.

Menggunakan tagline ‘Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit’, filem terbitan Skop Production Sdn. Bhd., Viper Studios dan Fimtab Professional Film itu turut menampilkan sekuntum bunga iaitu Falisha Crossley bersama bintang-bintang terkenal seperti Shaheizy Sam, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Syamsul Yusof dan Datuk Rosyam Nor.

Mat Moto yang bakal ditayangkan di pawagam pada 14 Januari depan mengisahkan tentang AL (Pekin), seorang pemilik sebuah syarikat suntingan filem yang mengembara ke empat buah negeri untuk menunaikan hajat memiliki empat jenis helmet istimewa yang amat berharga dan digilai oleh penggemar motosikal di tanah air.

Pada masa sama Sikha (Falisha), seorang pelajar praktikal di pejabat AL turut mengikuti lelaki itu dalam pengembaraan untuk mencari keempat-empat helmet tersebut dan ketika itu bermula bibit cinta di antara mereka.

Bersama Sensasi Bintang, Pekin dan Falisha mengulas mengenai keyakinan mereka terhadap filem Mat Moto sementelah terdapat dua filem serupa bakal ditayangkan di pawagam. Selain itu mereka turut berkongsi mengenai signifikan watak dalam filem tersebut dan perkembangan terkini masing-masing.


Boleh kongsikan tahap keyakinan terhadap filem Mat Moto versi lakonan kalian memandangkan ada dua filem dengan judul serupa?

PEKIN: Saya tidak rasa ia persaingan yang tidak sihat. Ini asam garam dalam industri perfileman. Kalau tidak ada persaingan tidak seronok juga. Ibarat kata Syafiq, kalau dekat luar memerlukan dua biji motor untuk berlumba, dalam industri perfileman juga memerlukan dua buah filem. Ia ibarat perlumbaan sebenar. Cuma, kekeliruan itu memang ada sebab judul serupa. Saya percaya jika teruskan promosi dari segi penulisan dan juga trailer filem, orang dapat membuat perbandingan antara kedua-duanya. Selebihnya, saya berserah pada rezeki Allah.

FALISHA: Insya-Allah, filem ini mampu menerima kutipan yang memberangsangkan disebabkan ia lain daripada filem permotoran yang pernah ditayangkan sebelum ini. Filem ini bukan berkisar mengenai mat rempit tetapi lebih kepada elemen persahabatan dan sikap mat motor yang gemar mengumpul aksesori motor yang mahal-mahal. Selain itu, filem ini juga menampilkan bintang-bintang terkenal seperti Sam, Faizal dan Rosyam Nor.


PEKIN dan Falisha yakin dengan kekuatan filem Mat Moto yang menampilkan cerita berbeza berbanding filem-filem permotoran sebelum ini.

Soalan untuk Pekin, apakah ketakutan terbesar anda memandangkan ini filem pertama arahan anda?

PEKIN: Saya sudah buat yang terbaik. Berapa banyak kutipannya saya anggap itulah rezeki saya. Kalau berjaya, ia bukan disebabkan saya seorang sebaliknya kerja berpasukan. Jika tidak memberangsangkan sekalipun, saya tetap akan buat filem pada masa akan datang tetapi saya mungkin tidak akan berkongsi mengenai judulnya sebab takut kena ambil nanti (ketawa).

Boleh kongsikan signifikan judul filem tersebut terhadap watak masing-masing?

PEKIN: Saya bawa kisah sebenar mengenai budak motor bernama AL. Dia mengizinkan saya menulis cerita tentang dia asalkan tidak memburukkannya. Mengenai pembabitan pelakon-pelakon popular lain, seperti Sam, Faizal dan Rosyam, mereka bawa watak masing-masing dalam filem yang berkisar tentang motor sebelum ini. Sebagai contoh, Rosyam bawa watak sebagai Shahrol yang pernah dipopularkannya dalam filem KL Menjerit. Ia sebagai tarikan filem Mat Moto.

FALISHA: Saya membawakan watak gadis punk bernama Sikha. Karakter ini memaksa saya mengubah penampilan dari atas hingga ke bawah. Saya juga terpaksa memotong rambut sehingga ke paras bahu. Saya tidak pernah berambut pendek tetapi ia tidak menjadi masalah kerana ini merupakan filem pertama saya dan juga kali pertama memegang watak sebagai heroin.

Bagaimana pula gandingan kalian dalam filem Mat Moto?

PEKIN: Dia (Falisha) mewakili gen Y yang barangkali menjadikan ideologi luar sebagai pegangan hidup. Sementara saya mewakili gen X yang masih memiliki sifat-sifat perjuangan dan patriotisme. Pertembungan kedua-dua gen ini ditonjolkan dalam filem Mat Moto. Tak semestinya gen Y ini tidak ada apa-apa. Ada juga benda yang saya belajar daripada dia dan begitu juga sebaliknya.

FALISHA: Ini merupakan gandingan kali kedua saya bersama Pekin. Sebelum ini saya dan Pekin pernah berlakon filem pendek bersama yang berjudul Isteri Saya. Saya bawa watak sebagai isteri dia tetapi untuk filem ini, selain berlakon dia juga mengarah. Jadi, dia nampak tegas dan tekankan dari segi lakonan saya.


Pekin dan Falisha sekali lagi bergandingan dalam Mat Moto selepas berlakon dalam filem pendek yang berjudul Isteri Saya.

Soalan berbeza untuk kalian, adakah filem Mat Moto merupakan platform untuk nama Falisha lebih dikenali? Untuk Pekin pula, sukar atau tidak mencari penerbit bagi menjayakan filem pertama anda?

PEKIN: Susah sebab kita masih baru di bidang pengarahan. Ramai orang yang tidak percaya dengan kemampuan mengarah dan idea yang kita berikan. Benda belum visual orang tak yakin tetapi Syafiq percaya saya. Mungkin Syafiq berjiwa muda, bahkan kami pernah bekerja bersama dalam filem Villa Nabila. Ia menjadikan saya dan dia serasi. Mungkin disebabkan itu dia tolong saya menerbitkan filem pertama saya.

FALISHA: Sebab itu saya berani potong rambut dan buat kelainan. Saya memang sukakan bidang ini (berlakon). Saya tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi sebab fokus saya adalah berlakon sahaja. Bila berlakon dalam filem Mat Moto saya cuba buat kelainan atas dorongan semua. Harapnya ia membuahkan hasil.

Kongsikan mengenai perkembangan terbaharu kalian?

PEKIN: Filem lakonan saya iaitu Rock 3, Tujuh, Munafik, Desolasi, Kampung Drift dan Rentas bakal keluar di pawagam tahun depan. Selain itu, saya juga bakal terlibat dalam penggambaran filem Suatu Ketika arahan Prakash. Dalam filem itu saya bergandingan dengan Rosyam Nor dan cerita itu berlatar belakang tahun 1952.

FALISHA: Saya baru sahaja selesai penggambaran telemovie untuk slot Cerekarama yang berjudul Bujang Terlajak Senang. Telefilem itu turut dibintangi oleh Shafie Naswip, Zarina Zainuddin dan Kaza. Selepas ini saya akan masuk set drama Bimbo untuk siaran Astro Ria terbitan Global Station. Drama ini turut dibintangi oleh Shaheizy Sam dan Nadiya Nisaa.

- Pekin, Falisha beradu nasib dalam Mat Moto

SHARING GOOD

0 Comment to "Pekin, Falisha beradu nasib dalam Mat Moto"

Post a Comment