RASANYA tidak henti-henti nama pelakon yang sedang meningkat naik, Zahirah MacWilson disebut-sebut. Bukan sekadar kisah dakwaan hubungan percintaannya dengan aktor Zul Ariffin sahaja, malah kisah hal keluarganya juga turut menjadi perhatian umum.
Mungkin ramai yang maklum, sewaktu Zahirah sedang hangat dilanda pelbagai cerita mengaitkan namanya, tiba-tiba muncul berita ada pergolakan dalam keluarga pelakon drama Mencintaimu itu melibatkan hubungan ibu bapanya yang dikatakan dingin.
Sehinggalah baru-baru ini, selepas disahkan bercerai pada awal bulan lalu, ibunya, Maslinda Yusof, 41, meluahkan apa yang sudah lama disimpan mengenai punca penceraian bersama suaminya yang juga bekas dramatis era 1980-an, Zainol MacWilson.
Menerusi apa yang dikongsikan, Maslinda memberitahu, perceraian itu dikatakan berpunca daripada seorang wanita bergelar ustazah yang seperti yang dikongsikan di akaun Instagram miliknya. Bahkan, ibu Zahirah itu juga turut berkongsi kepada pengikutnya paparan mesej antara wanita tersebut dengan bekas suaminya itu.
Sudah pasti, pergolakan yang berlaku ini sedikit sebanyak mengaitkan nama Zahirah secara tidak langsung. Ini kerana, menurut ibunya, wanita yang dikatakan punca kepada keretakan rumah tangganya itu juga seolah-olah mahu melaga-lagakan hubungannya dengan Zahirah.
Antara yang dikongsikan Maslinda menerusi kapsyen sekeping gambar berbunyi: “Sekarang dia cuba tabur fitnah hantar gambar/mesej pada bapa Zahirah tanpa selidik dulu. Kenapa nak jadi batu api? Cuba nak porak-perandakan hubungan anak saya Zahirah pula.”
Biarpun sedar dengan apa yang berlaku, Zahirah ketika dihubungi Sensasi Bintang untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai dakwaan wanita yang didakwa oleh ibunya mahu memporak-perandakan hubungannya dengan keluarga enggan memberikan sebarang komen.
“Apa yang saya boleh kongsikan, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan ibu bapa saya. Semuanya okey. Cuma mengenai perkara (wanita yang didakwa ibunya) itu, saya tak mahu komen,” katanya.
ZAHIRAH bersama ibunya, Maslinda.
Sungguhpun begitu, menurut Zahirah, dia yakin apa yang berlaku terhadap keluarganya mempunyai hikmah di sebaliknya. Ini kerana, kata Zahirah, hubungannya dengan ibu dan bapa jadi semakin kuat biarpun mereka sudah berpisah.
“Benda ini buat hubungan saya dengan mereka lebih kuat. Ibu saya di Perth, Australia untuk jaga adik-beradik saya yang lain di sana. Saya juga akan pulang ke sana jika ada kelapangan. Saya juga baru sahaja pulang dari Perth berjumpa ibu baru-baru ini. Sebelum ini, memang ibu saya ada bersama menemani saya di sini, cuma sekarang saya uruskan sendiri,” kongsinya.
Jelas Zahirah, selaku seorang anak, dia tetap bertanggungjawab ke atas kedua-dua orang tuanya. Jika sebelum ini, ada yang mengatakan bapanya pulang ke Malaysia kerana mahu menjaga Zahirah, tetapi menurut Zahirah, realitinya sebaliknya yang berlaku.
“Bukan ayah jaga saya, tetapi saya yang menjaga ayah. Ayah sudah mahu berlakon semula. Jadi, sebagai anak, sayalah yang bertanggungjawab menjaga ayah di sini. Sediakan apa yang patut untuknya seperti tempat tinggal dan lain-lain. Saya kena bantu dia,” katanya yang bakal muncul menerusi telemovie Husin Peninglah bersama bapanya.
0 Comment to "Zahirah MacWilson : Hubungan dengan ibu bapa jadi lebih kuat"
Post a Comment