Wednesday, 16 December 2015

Peluang bisnes Amy Mastura


Amy Mastura bersama pereka dan model pada majlis pelancaran koleksi tudung jenamanya di Shah Alam, baru-baru ini.

seorang selebriti yang baru berhijab pasti akan muncul dengan jenama tudung atau fesyen sendiri. Sama trend atau kebetulan, ia sukar untuk dipastikan.

Kelaziman situasi sebegitu adakalanya membuatkan peminat lali dengan taktik pemasaran dan penjenamaan fesyen muslimah rekaan tempatan. Lebih teruk lagi, segelintir khalayak dengan mudah beranggapan, penghijrahan imej yang berlaku kepada artis sebenarnya didorong oleh niat untuk memulakan perniagaan.

Meskipun begitu, bagi penyanyi yang terkenal dengan lagu Sha Na Na, Amy Mastura Suhaimi, dia tidak mahu terlalu mengambil peduli terhadap mulut-mulut liar apabila bersetuju untuk berkolaborasi dengan pereka fesyen tempatan, Ezalha bagi mengeluarkan koleksi tudung Amy Mastura by Ezalha.

Bahkan sekitar Jun lalu, ketika mula bertudung, ibu kepada dua cahaya mata itu pernah memberitahu, tiada sebarang perancangan untuk membuat bisnes tudung selepas berhijab. Namun, rezeki yang datang bukanlah di bawah kawalannya.

“Saya tidak tahu berniaga, sebab itu pernah mengatakan tiada niat untuk memulakan sebarang bisnes. Tetapi apabila Ezalha mengusulkan idea menggunakan nama Amy Mastura sebagai jenama tudung rekaan mereka, saya tidak melihat itu sebagai satu kesalahan.

“Jika diikutkan, ini adalah perniagaan mereka, saya cuma tumpang sekaki. Tetapi bolehlah saya belajar sedikit selok-belok perniagaan. Siapa tahu pada masa depan ilmu itu akan berguna,” katanya usai majlis pelancaran tudung Amy Mastura by Ezalha di Ruang, Shah Alam, baru-baru ini.

Tambah wanita berusia 44 tahun itu, persepsi artis memakai tudung kerana mahu berniaga pakaian muslimah adalah hak peribadi masyarakat dan dia tidak mampu menghalang pandangan tersebut.



SALAH seorang model memperagakan koleksi tudung Amy Mastura.

Sempat berseloroh, Amy berkata tiada salahnya artis berhijab berniaga tudung kerana selebriti yang tidak bertudung pun menjalankan perniagaan sama.

“Peluang ini satu pintu rezeki juga, takkan saya hendak tolak kerana fikirkan skeptikal orang. Saya hanya mahu mencuba, jika memang perniagaan bukan ditakdirkan untuk saya, ia tidak menjadi satu masalah.

“Ketika ini memang sudah banyak jenama yang popular, namun saya berharap masih ada ruang untuk tudung Amy Mastura by Ezalha menyelit dalam pasaran dan sama-sama memeriahkan pilihan hijab yang ada,” luahnya lagi.

Keyakinan

Sementara itu, dua orang yang bertanggungjawab menjadikan idea tudung ini realiti iaitu Alha dan Ezan (Ezalha) meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap nama penyanyi kecil molek itu untuk melariskan tudung rekaan mereka.

Kata Alha yang juga memiliki karier sebagai jurusolek profesional, dia dan rakan kongsinya, Ezan berasa terpanggil untuk menggayakan Amy dengan variasi tudung dan selendang lebih eksklusif kerana melihat ada kecantikan yang terlindung di sebalik wajah penyanyi itu.

“Saya mengenali Amy sejak lima tahun lalu apabila kerap menjadi jurusolek peribadinya. Pada masa sama, saya menjadi jurugaya setiap kali sesi fotografi.

“Idea untuk menghasilkan tudung Amy Mastura by Ezalha timbul apabila peminat sering bertanyakan di ruang komen laman sosial Amy tentang jenama tudung dan penggayaan dalam gambar,” ujarnya yang tidak menyangka perbualan kosong untuk menghasilkan tudung berkenaan akhirnya menjadi kenyataan.


AMY MASTURA mengakui hanya menumpang perniagaan yang dicetuskan oleh dua pereka, Alha dan Ezan.

- Peluang bisnes Amy Mastura

SHARING GOOD

0 Comment to "Peluang bisnes Amy Mastura"

Post a Comment