Saturday, 5 December 2015

Peluang imuniti Acong Sweet Child #GegarVaganza


Acong Sweet Child berjaya meneruskan perjuangan dalam GV2 berdasarkan imuniti yang diberikan oleh Vida hasil persetujuan bersama juri program.

WALAUPUN diumumkan sebagai peserta yang sepatutnya tersingkir pada minggu ketujuh program Gegar Vaganza musim kedua (GV2), vokalis kumpulan Sweet Child, Acong kembali menarik nafas lega apabila diberi imuniti oleh penaja utama, Qu Puteh dan barisan juri.

Imuniti tersebut membolehkan Acong atau nama sebenarnya, Ahmad Fauzi Manat, 34, menyambung kembali perjalanannya untuk berentap pada minggu separuh akhir GV2 esok.

“Saya sebenarnya berasa sedikit serba salah kerana rakan-rakan yang sudah terkeluar juga bagus dalam persembahan.

“Tambahan pula, saya mengalami sakit tekak beberapa hari sebelum konsert sehingga mengganggu mutu persembahan. Namun, saya menganggap imuniti ini sebagai rezeki untuk meneruskan perjuangan dalam GV2,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu ketujuh atau pentas suku akhir GV2 yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor Ahad lalu.

Menurut Acong, sakit tekak yang dialami sedikit sebanyak mengganggunya dalam melakukan persediaan sebelum persembahan bermula.

“Memang sakit tekak mengganggu sedikit persembahan kerana saya tidak boleh pergi jauh dalam melantunkan vokal.

“Rasa sedikit terkilan kerana saya tahu kemampuan vokal saya dalam membawakan lagu Hilang Naluri oleh Once ini,” katanya lagi.

Menerusi konsert yang membawakan tema RockDut (rock dan dangdut) tersebut, Acong disingkirkan apabila dia mendapat markah terendah berbanding daripada tujuh peserta lain.

Pengasas Qu Puteh, Datuk Seri Vida kemudiannya mengambil keputusan untuk menggunakan kuasa imunitinya dan menyerap Acong untuk kembali masuk ke dalam pertandingan dan melayakkan penyanyi itu berentap pada minggu seterusnya.



NABIL bersama Vida semasa mengumumkan imuniti milik Acong pada konsert suku akhir GV2 di Shah Alam, minggu lalu.

Bagaimanapun, terdahulu keputusan tersebut telah dipersetujui oleh ketua juri iaitu Datuk Ramli MS.

Ditanya siapakah pesaing terdekatnya setakat ini, Acong berkata: “Siti Nordiana dan Faradhiya merupakan dua penyanyi yang bagus.

“Saban minggu, graf persembahan mereka tidak pernah menurun. Mereka adalah dua pencabar terdekat saya setakat ini,” katanya lagi.

Sementara itu, selaku individu yang bertanggungjawab memberi harapan baharu kepada Acong, Vida berkata, imuniti yang diberikan kepada penyanyi itu merupakan suatu keputusan yang tepat.

Vida atau nama lengkapnya Hasniza Othman, 43, berkata, Acong tidak pernah gagal menghiburkan peminat sepanjang terlibat dalam GV2.

“Tidak dinafikan, peserta lain yang telah terkeluar mempunyai keistimewaan masing-masing.

“Namun, sehingga minggu ketujuh, Acong tidak pernah melakukan kesilapan. Jadi, saya berpendapat, dia layak untuk menerima imuniti pada minggu ini,” katanya.

Melihat kepada sambutan yang diberikan penonton, Vida merancang untuk mengumpulkan para peserta yang telah tersingkir dalam sebuah persembahan suatu masa nanti.

“Saya sendiri tidak puas melihat persembahan daripada peserta yang sudah tersingkir.

“Insya-Allah, saya akan usahakan sebuah persembahan istimewa khas daripada mereka untuk peminat setia program ini,” katanya.

- Peluang imuniti Acong Sweet Child #GegarVaganza

SHARING GOOD

0 Comment to "Peluang imuniti Acong Sweet Child #GegarVaganza"

Post a Comment